Zambry tokoh pejuang setaraf Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela?

15 Mei, 2009 8:56 PM
Zambry Kadir

Zambry Kadir

Menteri Besar BN Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir melihat dirinya ibarat pemimpin terkenal Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela dalam menegakkan kebenaran di Perak.

Jelas Zambry, beliau dan rakan-rakannya yang lain akan meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan membela rakyat kerana ia adalah tradisi dan intipati perjuangan Barisan Nasional.

Nelson Mandela

Nelson Mandela

Mandela, seorang pemimpin kulit hitam berjuang untuk membebaskan rakyat Afrika Selatan dari cengkaman apartheid yang dipelopori oleh golongan kulit putih. Beliau memperjuangkan hak kesamarataan dan hidup tanpa diskriminasi kepada seluruh rakyat asal yang berkulit hitam.

Mahatma Gandhi

Mahatma Gandhi

Manakala Mahatma Ghandi pula mengorbankan nyawanya untuk memastikan kemerdekaan India serta rakyatnya dapat hidup aman tanpa sempadan kasta dan agama.

Jadi, jika Zambry menganggap dirinya setaraf dengan dua orang pejuang rakyat tersebut, sila buktikan bahawa diri anda berada di tahap yang mana sekarang? Adakah anda sebagai seorang pemimpin mementingkan suara dan kehendak rakyat Perak terlebih dahulu? Di manakah kedudukan rakyat negeri Perak dalam diri anda, di tempat pertama atau kedua?

Jika anda mendengar denyut nadi kemahuan rakyat, mengapa tidak berani bubarkan DUN Perak? Andai anda tidak berani melakukannya, anggap sahaja impian anda untuk diletakkan sebaris dengan dua orang pemimpin ulung dunia itu sebagai satu angan-angan Mat Jenin.

Penulis beranggapan bahawa anda tidak layak berada di tahap tersebut kerana perbezaan diri anda dengan mereka umpama langit dan bumi! Usah bermimpi di siang hari kerana peribadi anda jauh panggang dari api.


PRK DUN Penanti: Mainan politik atau BN tidak yakin akan menang?

18 April, 2009 1:19 PM
Mohon Restu Rakyat

Adakah BN akan Mohon Restu Rakyat sekali lagi di pilihan raya kecil DUN Penanti?.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan perletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti pada 16.04.2009 lalu sebagai satu mainan politik. Najib berkata, keputusan yang dibuat oleh Mohammad Fairus itu adalah satu keputusan politik.

Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya, adalah di antara luahan DS Najib. Beliau juga mengulas lanjut bahawa rakyat pada dasarnya tidak suka kepada pilihan raya kecil yang sengaja diadakan. Najib juga berkata, terlalu banyak ‘politiking’ yang berlaku dalam negara boleh menjejaskan tumpuan terhadap pembangunan negara.

Jika BN rasa mereka adalah sebuah parti yang kuat dan mendapat sokongan padu rakyat berbilang bangsa di Malaysia, DS Najib tidak harus memberikan pelbagai alasan jika mereka perlu menghadapi satu lagi PRK tidak lama lagi. Kata-kata yang dilontarkan seolah-olah menunjukkan bahawa beliau tidak yakin bahawa BN akan menang dalam perebutan kerusi DUN tersebut.

Atau, DS Najib sedar bahawa BN mempunyai pelbagai masalah yang harus diatasi terlebih dahulu seperti isu-isu Menteri Besar di Terengganu dan Perlis, isu TPM menyinggung perasaan ahli-ahli parti dalam MCA, isu MIC ingin menarik diri daripada menganggotai Kabinet dan lain-lain lagi.

Masalah dalaman parti-parti komponen BN seakan menunjukkan bahawa mereka tidak bersatu untuk menghadapi suasana politik di Malaysia. Sebaik-baiknya DS Najib memperkenalkan slogan Satu BN pula selepas ini.

Jangan berasa pelik kerana memang terlalu banyak politiking di negara ini. Jika tidak kerana politiking jugalah, tidak mungkin 3 orang ADUN yang dahulunya mewakili parti-parti gabungan PR melompat keluar menjadi ADUN Bebas manakala seorang lagi ADUN melompat masuk semula ke dalam parti asal beliau.

Apakah isu di negeri Perak bukan kerana satu keputusan politik juga?. Siapa yang memulakannya terlebih dahulu?. Tidak perlulah diulas panjang lebar kisah tersebut di sini. Biar rakyat Perak sahaja menjadi hakim sebenar dalam PRU ke 13 nanti.

Adakah BN akan Mohon Restu Rakyat sekali lagi dalam PRK DUN Penanti?. Berjayakah BN memenangi hati rakyat seterusnya menterjemahkan ia dalam bentuk undi yang memihak kepada mereka?. Rakyat Penanti pasti lebih mengetahui yang mana kaca dan yang mana permata.


Zamry tidak terkejut pencalonan Dato’ Seri Nizar

26 Mac, 2009 6:29 PM
Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Menteri Besar BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak terkejut dengan pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pakatan DAP-PAS-Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) akan menghadapi siapa jua yang dipertaruhkan oleh pembangkang kerana ia adalah pilihan parti berkenaan untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai calon.

“Pilihan itu adalah hak mereka. Nanti kita akan tengok pandangan rakyat terhadap pilihan mereka itu semasa pilihan raya nanti. Pilihan mereka itu tidak mengejutkan,” katanya.

Kerajaan Perak pimpinan pakatan DAP-PAS-PKR tumbang pada awal Februari lalu apabila tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dua anggota PKR dan seorang DAP keluar meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan BN.

Malam Isnin lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohammad Nizar sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada satu perhimpunan PAS di Taman Kota Jaya di Taiping, Perak.

BN telah menamakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian, 49, sebagai calon bagi kerusi itu.

Bagi kebanyakan pihak, pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menjadi pengukur senario politik negeri Perak.


Nizar lambang pembela rakyat Perak

25 Mac, 2009 7:09 PM
Dato' Seri Anwar Ibrahim

Dato' Seri Anwar Ibrahim

Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan calon terbaik pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, 7 April depan.

Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Mohammad Nizar berdasarkan pengalaman, pendidikan dan kesungguhan beliau semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini sehingga menjadi lambang pembela nasib rakyat pelbagai kaum di Perak.

“Kalau dilihat secara objektif sambutan terhadap Nizar di Bukit Gantang terutamanya di Perak, perlu diakui bahawa beliau menonjol sebagai tokoh yang disenangi rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan beliau yang bersih dan menjaga kepentingan orang Melayu, Cina, serta India di Perak.

“Kita dalam PKR telah mengerahkan seluruh kekuatan kita di Perak dan negeri berhampiran untuk membantu calon PAS dan insyaAllah Nizar akan menang di Bukit Gantang dengan undi yang lebih besar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu pada majlis mengumumkan calon di padang Taman Kota Jaya, Simpang, Taiping, Perak, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata, pemilihan Mohammad Nizar sebagai calon diputuskan selepas tinjauan terhadap rakyat Perak termasuklah di peringkat dalaman parti itu sendiri.

Beliau berkata, kemenangan PAS di Bukit Gantang amat penting untuk memberi satu nilai tambah yang lebih besar kepada parti itu selepas kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

“Situasi pilihan raya kecil kali ini ialah krisis politik yang berlaku di Perak, jadi krisis politik itu harus melibatkan orang yang berada dalam krisis itu sendiri supaya rakyat boleh membuat penilaian terhadap krisis ini.

“Kita rasa bahawa potensi untuk menang dengan satu kemenangan yang memberangsangkan itu ada pada Nizar,” katanya.

Mahfuz turut menafikan keputusan itu tidak direstui Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Koo Ham berkata, DAP menyokong siapa sahaja pilihan PAS tetapi pemilihan Mohammad Nizar merupakan calon paling tepat.

Menurutnya, pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan petunjuk penting adakah rakyat menerima tindakan Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengambil alih kerajaan PR tanpa mengikut lunas undang-udang.

“Oleh kerana Barisan Nasional takut untuk berhadapn dengan rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), pilihan raya kecil Bukit Gantang ini adalah peluang terbaik sebagai tanda protes kepada kerajaan BN di Perak,” katanya. Sinar Harian


25 NGO Perak mohon perkenan bubar DUN

11 Mac, 2009 2:52 PM

Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak sepakat menghantar Referendum Kembalikan Hak Rakyat kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Pengerusi Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Negeri, Zulkifly Ibrahim berkata, referendum itu untuk menzahirkan kekecewaan rakyat terhadap keputusan Sultan Azlan Shah yang dianggap tidak telus dalam pelantikan kerajaan baru.

“Rakyat bukan bermaksud untuk melawan atau menderhaka kepada Sultan Azlan Shah, tetapi mereka (rakyat) hanya mahukan hak sebagai untuk menentukan pemimpin yang diyakini boleh membela nasib rakyat.

“Pengambilalihan kerajaan oleh Barisan Nasional (BN) daripada Pakatan Rakyat (PR) adalah satu pelanggaran perlembagaan yang dianggap sebagai kemuncak penderhakaan serta pengkhianatan rakyat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Zulkifli berkata, Sultan Perak perlu menimbangkan lima usul iaitu mendapatkan mandat baru dari rakyat supaya DUN dibubarkan dengan mengadakan pilihan raya umum negeri.

Katanya, rmereka juga mahu pelantikan Menteri Besar, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri digantung sehingga DUN bersidang untuk menentukan usul undi tidak percaya kepada Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diluluskan selaras peruntukan Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri.

“Kita memohon supaya pihak keselamatan berlaku adil dan menjalankan tugas secara profesional demi mengelakkan rakyat diperlakukan secara kasar serta tidak berperikemanusiaan.

“Seterusnya, 25 NGO ini menyeru perintah Paduka Seri Sultan agar semua media perdana menghentikan penyebaran fitnah dan menghasut kerajaan sedia ada yang boleh membangkitkan perasaan perkauman serta boleh mengancam keamanan awam,” katanya.

Setiausaha Kumpulan Prihatin Negeri, Mohd Nazri Sahat berkata, bermula 19 Februari lalu rakyat telah dipertontonkan dengan pelbagai adegan dan proses rampasan kuasa yang menyayat hati.

“Penyelesaian terbaik dicadangkan, ialah pembubaran DUN dan menyerahkan kembali hak menentukan kerajaan di tangan rakyat melalui pilihan raya,” katanya.

Berita asal : Sinar Harian


Kami tidak bermusuh dengan Sultan – MB Nizar

6 Mac, 2009 5:40 PM

“Jangan sekali-kali tuduh kami mengkhianati Sultan. Kami tidak pernah memusuhi baginda, oleh itu tiada sebab kami menaruh kebencian terhadapnya.

“Musuh kami bukan Sultan. Musuh kami bukan Istana, tetapi Najib Tun Razak, kata Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semasa berceramah dalam rangka lawatannya ke seluruh negeri Perak di Sayong Tengah dekat sini kelmarin.

Tegasnya, Najib bersama UMNO-Barisan Nasional yang telah mengkhianati Sultan menggunakan “kuasa Istana” untuk merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah dari tangan rakyat.

Katanya, Najiblah yang merobek, merompak tiga orang ADUN Pakatan Rakyat dan menimbulkan kemelut krisis antara Sultan dengan rakyat Perak.

“Padahal semasa kami memerintah hampir sebelas bulan Pakatan Rakyat Perak, hubungan saya dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah cukup intim di mana pada setiap minggu saya datang mengunjungi Baginda. Begitu juga kemesraan saya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah cukup baik,” tegasnya.

Kerana itu, kata Nizar, mereka cemburu. Mereka tidak sanggup melihat pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak menguruskan kerajaannya dengan baik yang dapat diterima oleh Sultan dan pelbagai keturunan rakyat.

Katanya, UMNO-BN tidak sanggup melihat kempimpinan kami begitu menarik diterima rakyat berteraskan konsep tugasan dengan keadilan, ketelusan dan kebajikan.

Sehubungan itu Nizar menyeru saki-baki ahli UMNO supaya keluar daripada kerajaan haram sekarang dan masuk Pakatan Rakyat, kerajaan yang sah di sisi undang-undang.

“Jangan sokong kerajaan haram, DUN haram, Exco haram,” tegas Nizar.

Berita asal : HarakahDaily.Net


Nizar minta rakyat bertenang

6 Mac, 2009 4:46 PM

Dalam keadaan politik di Perak yang dilihat agak tidak stabil kini, diharap masyarakat dapat bertenang dan bertindak aman supaya tidak merumitkan lagi keadaan.

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dalam kemelut politik di Perak, hak rakyat dinafikan dan dirampas oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

“Rakyat mempunyai hak mereka sendiri dan tidak sewajarnya hak itu diketepikan, perkara berkenaan juga adalah penganiayaan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program penutup pertandingan futsal Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta pelancaran Gelanggang Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Turut hadir, Yang Dipertua PSSPGM selaku Pengarah Guru Latih Tertinggi PSSPGM, Dato’ Abdul Majid Mat Isa.

Pada majlis sama, Mohammad Nizar berkata, beliau berharap belia dapat menyertai lebih banyak program dan aktiviti seperti ini supaya dapat melahirkan lebih ramai belia berkualiti.

“Perkara yang paling utama ialah sebagai khalifah di dunia ini, kita seharusnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” katanya.

Pada majlis itu, Mohammad Nizar turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan futsal peringkat DUN Kubu Gajah, pelajar-pelajar cemerlang UPSR dan PMR.

Berita asal : Sinar Harian


Pemimpin UMNO perlu belajar sejarah

4 Mac, 2009 6:38 PM

Dakwaan mengatakan PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) merupakan dalang kepada punca pergolakan politik di negara ini merupakan kenyataan dangkal daripada Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pemimpin UMNO perlu belajar sejarah sebelum menuduh pakatan pembangkang berbuat demikian.

Menurutnya, mereka juga jangan jadi hipokrit kerana sejarah membuktikan UMNO menjadi pelopor dalam menentang Sultan dengan mendesak supaya Akta Kekebalan Raja-Raja dimansuhkan.

“Jadi, jangan menuding jari kepada PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan tuduh kita jadi dalang kepada pergolakan politik yang berlaku hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Ali kelmarin yang mendakwa PAS dan PKR merupakan dalang kepada punca pergolakan politik semasa di negara ini.

Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya yang menjadi merupakan punca pergolakan politik di negara ini.

“Jika kita lihat apa yang berlaku di Perak sekarang, siapa yang memulakan situasi berkenaan. Jangan berpura-pura tidak mengetahui sejarah yang berlaku di negara kita.

“Malah, kita (PAS dan PKR) tidak pernah mempunyai rekod sama ada derhaka atau menentang Sultan atau kerabat diraja seperti yang didakwa oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, Yaakob Sapari berkata, dakwaan Mohd Ali itu dilihat sebagai satu propaganda politik yang sering dimainkan oleh Barisan Nasional (BN).

“Mereka seolah-olah ketandusan idea untuk menarik perhatian rakyat sebab itu beliau keluarkan kenyataan sedemikian. Saya nasihatkan supaya beliau (Mohd Ali) belajar semula sejarah negara ini.

“Cuba lihat sejarah, ketika Tun Dr Mahathir meminda Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan kita tengok banyak artikel-artikel di dalamnya menghina Raja-Raja. Jadi, siapa yang derhaka kepada Sultan?” katanya.

Menurutnya, Sultan serta kerabat diraja tidak sepatutnya ‘diheret’ ke dalam kancah politik sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka sendiri.

“Biar pilihan raya yang tentukan siapa yang layak ‘pegang’ Perak dan jika ia (pilihan raya) dibuat pasti tidak akan berlaku situasi yang terjadi seperti sekarang,” katanya.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mazli Saring berkata, kenyataan Mohd Ali tidak lebih untuk meraih populariti menjelang pemilihan UMNO hujung bulan ini.

Sumber berita : Sinar Harian


Najib bakal PM terakhir

4 Mac, 2009 2:45 PM

Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Dato’ Seri Najib Tun Razak bakal menjadi Perdana Menteri terakhir kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya Timbalan Perdana Menteri itu tidak dapat memenuhi harapan rakyat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha DAP, Lim Guan Eng berkata, Najib yang bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri keenam negara hujung bulan ini perlu bersedia menjayakan dan melalui lima cabaran utama sekiranya mahu rakyat menerima kepimpinan beliau.

Menurutnya, cabaran pertama adalah untuk mengembalikan amalan prinsip demokrasi di negara ini selepas kejadian di negeri Perak yang didakwa Pakatan Rakyat (PR) sebagai satu rampasan kuasa daripada kerajaan BN.

Beliau berkata, kredibiliti Najib sebagai bakal Perdana Menteri tercalar dengan keadaan di Perak kerana mendakwa Pengerusi Badan Perhubungan BN Perak itu adalah perancang utama kepada adegan rampasan kuasa itu.

“Demokrasi sepatutnya prinsip undang-undang di mana majoriti mengatasi minoriti, ini (keadaan di Perak) merupakan fakta jelas beliau telah melanggar prinsip amalan demokrasi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Kedua, katanya, Najib perlu mengembalikan kekayaan hasil bumi negara ini kepada rakyat di mana hasil kekayaan Petronas yang mengaut keuntungan beratus bilion wajar disalurkan kepada rakyat Malaysia.

“Ketiga, Najib perlu bersedia untuk menghormati dan meningkatkan kualiti, kuantiti peguam dan pegawai undang-undang serta memantau proses undang-udang di negara ini.

“Beliau harus memastikan sesiapa sahaja terlibat dalam kes berprofil tinggi dikenakan tindakan. Contohnya isu pendedahan video Lingam, kenapa tidak ada tindakan sampai sekarang?” katanya.

Menurutnya, peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga katanya perlu diperhalusi lagi kerana mendakwa ketika ini suruhanjaya itu membuat penyiasatan terpilih untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

Menurutnya, Najib juga perlu perlu bersedia membersihkan isu rasuah dan kroni-kroni dalam BN dan UMNO.

“Beliau mempunyai pilihan sama ada mahu membersihkan rasuah dan kroni-kroni walaupun menanggung risiko melenyapkan BN dan UMNO atau tidak berbuat demikian untuk menyelamatkan BN dan UMNO tetapi memusnahkan negara ini,” katanya.

Guan Eng berkata, Najib selepas menjadi Perdana Menteri nanti perlu bersedia meletakkan perpaduan dalam negara di tahap tertinggi.

Sumber berita : Sinar Harian


DUN Perak cipta rekod baru dunia berdasarkan slogan Malaysia Boleh!

3 Mac, 2009 5:39 PM

Hari ini sejarah tercipta di negeri Perak khasnya dan juga negara Malaysia amnya. Sidang tergempar DUN Perak tidak dapatkan diadakan di dalam bangunan Perak Darul Ridzuan disebabkan ianya ditutup kepada orang ramai dan terdapat ramai anggota polis dan FRU yang berkawal di hadapan pintu utama bangunan tersebut pagi tadi.

Walaubagaimanapun, sidang tergempar itu berjaya juga diadakan apabila tempatnya telah beralih di bawah pokok di kawasan letak kereta berhampiran bangunan sekretariat kerajaan negeri di Ipoh.

Sebelum ini, belum pernah kita mendengar apatah lagi melihat sidang DUN dibuat di luar kawasan bangunan yang telah dikhaskan. Tetapi hari ini rakyat Perak dan Malaysia telah berjaya mencipta satu rekod dipercayai rekod dunia, kerana belum ada satu negara pun yang pernah mengadakan satu sidang di bawah pokok! Inilah semangat Malaysia Boleh yang tulen.

Difahamkan beberapa orang wartawan daripada media asing juga turut serta mengikuti perkembangan politik yang berlaku di Perak pagi tadi. Mana kita nak letak muka jika berita ini tersebar ke serata dunia dan boleh ditonton oleh berjuta-juta orang? Malulah bila jadi macam ni.

Perkara ini tidak akan terjadi jika negara kita mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi mengikut perlembagaan yang sebenar. Apa yang telah berlaku biarkan sahaja ia berlalu. Yang pasti tarikh hari ini akan dicatat dalam lipatan sejarah politik negara untuk ditatap oleh anak, cucu dan cicit kita pada masa akan datang.