Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Jangan buat kacau minta PAS bertanding di DUN Penanti – Nik Aziz

4 Mei, 2009 7:55 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam pakatan PAS-DAP-PKR dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan Parti KeADILan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini.

“Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.” “Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah,” katanya.

Beliau mengulas desakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Semalam, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang turut mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR, Dr Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) tahun lepas dan memenanginya.


Nik Aziz minta Nik Abduh padamkan kekeliruan dalam blog

30 April, 2009 5:31 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta anaknya, Nik Abduh supaya menjelaskan kekeliruan dan jangan biarkan kekeruhan bertapak lama berhubung isu dakwaan beliau terhadap pembantu ‘sesat’ bapanya yang dikatakan melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh dalam blognya mencatatkan beliau telah dihubungi ayahandanya dari Mekah, meminta beliau supaya ‘memadamkan kekeliruan’ dan ‘jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama’ berhubung isu itu.

“Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

“Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya katakan kepadanya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu. Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda.

“Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai.

“Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!” katanya yang dipetik daripada blognya.

Nik Abduh dalam blognya sebelum ini, bercerita mengenai pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi. – Sinar Harian


PRK DUN Penanti: Anwar Ibrahim umum calon malam ini di Yayasan Aman, Penanti

28 April, 2009 6:57 PM

Pilihan raya kecil DUN Penanti

Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR yang akan bertanding di DUN N12 Penanti sempena ceramah beliau di Yayasan Aman, Penanti pada jam 9 malam ini.

Ceramah yang dijangka akan dihadiri oleh ribuan penyokong Pakatan Rakyat bagi meraikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, wakil Menter Besar Kedah dan pimpinan PKR negeri-negeri lain.

Lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon PKR dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen di Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan UMNO masih terus mempertimbangkan sama ada mahu bertanding atau tidak. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa UMNO tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja.

Namun, amat sukar buat Najib untuk mengenepikan saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap bertarung demi maruah dan tradisi UMNO-BN.


Perlantikan Najib sebagai PM diselubungi petisyen Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

2 April, 2009 8:08 PM
Dato' Seri Najib Tun Razak

Bakal Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dikhabarkan akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada pagi esok di Istana Negara, diselubungi petisyen daripada 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengusulkan agar majlis perlantikan tersebut ditangguhkan.

Petisyen itu, yang diserahkan kepada Istana Negara semalam, ditandatangani oleh Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyatakan pelantikan tersebut harus ditunda sehingga satu suruhanjaya bebas dibentuk untuk membersihkan Najib daripada segala tuduhan salah laku.

Mereka juga berkata Najib wajar disiasat berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang menjadi bahan berita media asing sejak akhir-akhir ini seperti akhbar Liberation di Perancis, Kompas di Indonesia malah negara England dan Korea Selatan juga turut melaporkan berita mengenai Presiden UMNO yang baru dilantik dalam PAU yang berakhir pada 28 Mac 2009 yang lalu.


Zamry tidak terkejut pencalonan Dato’ Seri Nizar

26 Mac, 2009 6:29 PM
Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Menteri Besar BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak terkejut dengan pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pakatan DAP-PAS-Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) akan menghadapi siapa jua yang dipertaruhkan oleh pembangkang kerana ia adalah pilihan parti berkenaan untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai calon.

“Pilihan itu adalah hak mereka. Nanti kita akan tengok pandangan rakyat terhadap pilihan mereka itu semasa pilihan raya nanti. Pilihan mereka itu tidak mengejutkan,” katanya.

Kerajaan Perak pimpinan pakatan DAP-PAS-PKR tumbang pada awal Februari lalu apabila tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dua anggota PKR dan seorang DAP keluar meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan BN.

Malam Isnin lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohammad Nizar sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada satu perhimpunan PAS di Taman Kota Jaya di Taiping, Perak.

BN telah menamakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian, 49, sebagai calon bagi kerusi itu.

Bagi kebanyakan pihak, pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menjadi pengukur senario politik negeri Perak.


Pemilihan saya sebagai calon, doa rakyat – Dato’ Seri Nizar

25 Mac, 2009 8:01 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Calon PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepemimpinan PAS dan rakyat kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang pada 7 April ini.

Sambil menyifatkan pemilihannya sebagai doa rakyat, beliau berkata, usaha PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR) menampakkan perkembangan positif ke arah beroleh kemenangan.

“Segala doa dan usaha rakyat sejak peristiwa peralihan kuasa daripada PR kepada Barisan Nasional (BN) bulan lalu telah menampakkan positifnya.

“Dengan ini, saya merakamkan penghargaan kepada PR dan PAS kerana memilih saya sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di sini, malam kelmarin.

Menurut Mohammad Nizar, beliau akan memenuhi kehendak dan hasrat kerajaan rakyat serta segala janji dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, simpati dan sokongan pengundi Parlimen Bukit Gantang bermula daripada Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering dan kawasan berhampiran amat dialu-alukan.

“Setelah berhempas pulas naik dan turun mahkamah, mereka telah memberikan keputusan di mana juri menyokong PR. Oleh itu, 7 April ini akan diterjemahkan niat kemenangan dan inilah hadiah untuk seluruh rakyat Perak,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak