Camry simbol ‘kerajaan sah’ – Nizar

28 Februari, 2009 12:15 PM

Setelah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar pada Ahad lalu, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyerahkan kereta rasmi jenis Toyota Camry dengan alasan kenderaan itu adalah simbol ‘kerajaan negeri yang sah’.

Pegawai khas beliau, Amran Harun berkata, keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan rasmi itu bukan bertujuan mengingkari arahan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim tetapi ingin menjadikan kereta bernombor AGS 10 itu sebagai simbol kerajaan negeri yang sah.

Menurutnya, kereta itu akan digunakan Mohammad Nizar sehingga mahkamah membuat keputusan sama ada beliau atau Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar yang sah.

“Beliau bersedia memulangkannya jika mahkamah mengisytiharkan Zambry adalah Menteri Besar yang sah selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Amran mewakili Mohammad Nizar menyerahkan kunci kediaman rasmi itu kepada Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman di kediaman rasmi itu.

Sumber berita : Kosmo! Online


LNJ tersingkir, Amir lebih bertuah mara ke final RL3

28 Februari, 2009 11:53 AM

Malam semalam aku berkesempatan menonton rancangan Raja Lawak Astro musim ke 3. Hanya tinggal 4 sahaja peserta, masing-masing 2 peserta solo dan 2 peserta berkumpulan. Mereka ialah Sepah, LNJ, Jihan dan Amir.

Sebelum bermulanya rancangan tersebut, ketika bersarapan pagi dengan rakan-rakan sepejabat, masing-masing bertanyakan siapakah yang bakal tersingkir dalam rancangan malam nanti. Apa taknya, malam semalam adalah minggu ke sembilan dan ini bermakna minggu depan merupakan minggu ke sepuluh yang juga merupakan minggu terakhir untuk menobatkan juara Raja Lawak yang baru.

Semasa program berlangsung, Amir telah dipilih untuk memulakan persembahan. Aku perasan lawak Amir memang tidak menjadi bagi segmen pertama dan juga kedua. Aku dapat dengar penonton tidak ramai yang bergelak ketawa dengan lawak yang Amir cuba sampaikan. Jika penonton tidak ketawa, aku pun tidak rasa persembahan Amir boleh membuatkan aku tergelak sama. I’m sorry Amir.

Kumpulan Sepah melakukan penampilan sebagai peserta kedua. Seperti biasa, mereka membuat persembahan dengan bersahaja dan selamba. Aku lihat mereka bukan seperti berada di atas pentas lawak tetapi seperti berbual-bual dengan rakan masing-masing sahaja lagaknya. Penampilan mereka bertiga semulajadi. Lawak-lawak yang dilontarkan menjadi, punch line banyak dan ramai penonton yang dapat sama-sama bergelak ketawa termasuk diri aku sekali yang menonton di hadapan kaca tv! Tahniah Sepah! Anda bertiga memang berbakat dan bakal berjaya dalam industri hiburan apabila keluar daripada program realiti tersebut selepas ini. InsyaAllah.

Jihan dan LNJ pula, lawak mereka memang OK. Aku senang dengan persembahan mereka malam semalam.

Tiba waktu untuk mengumumkan siapa yang layak ke pusingan akhir minggu depan. Waktu ini, aku jangkakan Sepah, Jihan dan LNJ akan ke final. Nama Amir memang tiada dalam senarai aku langsung. Apabila diumumkan Sepah dan Jihan terpilih, aku gembira. Ketika tinggal satu lagi tempat untuk diketahui, hanya tingga LNJ dan Amir sahaja yang berdiri di atas pentas.

Apabila Fauziah Nawi mengumumkan Amir layak ke peringkat akhir, aku rasa tak setuju dan mungkin ramai juga penonton di dalam studio mahupun di luar yang sependapat dengan aku. Amir kelihatan seperti tidak percaya, seakan mengalirkan air mata walaupun pada awalnya dilihat berada dalam keadaan sedih, sugul kerana komen-komen juri tidak berpihak kepada dirinya selepas tamat membuat persembahan.

Apa boleh buat, keputusan undian SMS adalah muktamad. Aku rasa undian SMS ini juga boleh disifatkan kejam kerana berkuasa untuk menyingkirkan peserta yang berbakat dan layak untuk meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

Cadangan aku, undian SMS bagi rancangan realiti seperti Raja Lawak ini dihapuskan sepenuhnya atau hanya mewakili sebanyak 30 peratus undian daripada penonton sahaja pada masa hadapan. Lebih elok jika juri-juri diberi kuasa penuh untuk menyingkirkan peserta yang gagal memberikan persembahan yang berkualiti. Kita ingin cari kualiti bukan kuantiti.

Secara peribadi dan sejujurnya, aku memilih kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak Astro musim ke 3 yang akan berlangsung pada minggu depan. Kepada Amir, apa yang buat aku berpaling tadah dengan sokongan aku tu pasal, Amir hanya bisa membuat aku ketawa pada dua minngu yang awal sahaja iaitu sewaktu temanya Bebas dan Azam. Minggu-minggu seterusnya persembahan Amir mendatar, percakapan tidak lancar, persembahan seperti membaca skrip, tidak berjaya membuatkan para penonton ketawa dan hanya bernasib baik tidak tersingkir daripada diundi keluar. Harap Amir dan semua penyokongnya tidak berputus angsa ya dengan komen yang aku berikan ini.

Kepada anda yang akan menghantar undian SMS untuk minngu ke sepuluh nanti, nasihat aku mengundilah dengan bijak. Pilihlah peserta yang berbakat untuk ditabalkan sebagai juara semoga industri hiburan Malaysia khususnya pelawak-pelawak yang dilahirkan dapat menyemarakkan lagi persada seni tanahair.

Siapakah peserta pilihan anda? Lu pikirlah sendiri.


Peluang BN kalah “cerah” di Bukit Gantang dan Bukit Selambau jika kadar tol naik?

27 Februari, 2009 7:41 PM

Tak tetap pendirian! Semalam umumkan kenaikan kadar tol mulai 1 Mac 2009, hari ini umumkan pula penangguhannya. Boleh pula buat keputusan macam itu? Bila kerajaan dah umumkan penangguhan tersebut, berapa banyak pula ganti rugi yang perlu dibayar kepada syarikat-syarikat konsesi selepas ini?

Inilah caca marba politik di Malaysia. Sekejap boleh, sekejap tidak boleh. Inilah semangat Malaysia Boleh yang sebenar! Apakah keputusan yang dibuat secara kelam kabut ini ada udang di sebalik batu?

Adakah BN sudah terbayang atau dapat merasakan bahawa peluang mereka kalah “cerah” di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Itukah puncanya sehingga mereka membuat satu pusingan U yang besar? Sebelum buat keputusan tidak mahu fikir dulu kesannya kepada kebanyakan rakyat Malaysia, sudah terhantuk baru nak terngadah?

Memang isu kenaikan kadar tol ini akan diguna oleh PR, jadi untuk mengurangkan risiko kekalahan undi majoriti yang besar, rancangan ini terpaksa ditangguhkan dahulu sehingga akhir tahun. Oh Malaysiaku yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang, atau banyak temberang?


Speaker tetapkan 3 Mac sidang tergempar DUN Perak

27 Februari, 2009 7:15 PM

IPOH: Speaker Perak, V Sivakumar berkata beliau akan memanggil sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 Mac ini bagi membincangkan dua usul berkaitan krisis Perlembagaan di negeri itu.

Sumber berita: Berita Harian


Guna Facebook boleh bawa risiko kanser

27 Februari, 2009 7:04 PM

LONDON: Laman web sosial seperti Facebook boleh meningkatkan risiko kesihatan serius dengan mengurangkan tahap hubungan wajah ke wajah, dakwa seorang doktor.

Menghantar e-mel kepada rakan berbanding bersemuka dengan mereka mungkin memberi kesan biologi yang negatif pada kadar tinggi, kata pakar psikologi, Dr Aric Sigman.

Peningkatan masalah keterasingan akan mengubah suai gen cara bekerja dan menjejaskan reaksi imun, paras hormon dan fungsi arteri malah turut memberi kesan kepada persembahan mental.

Ia boleh meningkatkan risiko masalah lebih serius seperti barah, angin ahmar, sakit jantung dan nyanyuk, kata Dr Sigman dalam Biologist, jurnal Institut Biologi.

Laman web sosial seperti MySpace dan Facebook membolehkan orang ramai berhubungan dengan rakan menerusi internet. Mereka boleh bertukar-tukar gambar, bermain permainan dan meninggalkan mesej.

Namun, walaupun ia dicipta untuk mendekatkan hubungan, Dr Sigman berkata laman web berkenaan sebenarnya menjadikan pengunjungnya lebih terasing.

Penyelidikan menunjukkan bilangan jam yang diperuntukkan untuk berbual secara bersemuka jatuh mendadak sejak 1987 apabila penggunaan media elektronik meningkat.

“Memang ada perbezaan antara ‘kehadiran sebenar’ dan kepelbagaian maya,” kata Dr Sigman.

Sesetengah gen, termasuk yang terbabit dengan sistem imun dan reaksi kepada tekanan, bertindak secara berbeza mengikut sejauh mana seseorang itu berinteraksi secara sosial dengan orang lain. – Agensi


MB Selangor dedah Dr Khir terima Harrier dari PNSB

27 Februari, 2009 4:52 PM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan kesalahan Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Menurutnya, Dr Khir didakwa mendapat faedah dan imbuhan selaku Pengerusi PNSB termasuk kemudahan kereta berjenama Toyota Harrier, bersama pemandu tetapi perkara itu didakwa gagal diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, turut dikesan adalah penyelenggaraan dan kemudahan petrol untuk kenderaan tersebut telah ditanggung oleh PNSB tetapi tidak menyatakan kemudahan yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu dalam borang taksiran (EA) yang diserahkan anak syarikat kerajaan negeri itu sebelum ini.

“Selama beberapa tahun PNSB ada memberikan faedah dan keuntungan kepada pekerjanya termasuk Pengerusinya, Ahli Lembaga Pengarah dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut.

“Antaranya, kereta dan pemandu untuk Ketua Eksekutif, Pengarah, Pengurus Kanan dan Pengurus manakala faedah melancong di dalam dan luar negara diberikan kepada semua kakitangan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.

Perkara tersebut katanya, antara dikesan sekumpulan penasihat lantikan MBI (Perbadanan Menteri Besar) yang kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB.

Abdul Khalid berkata, PNSB juga dikesan tidak mengisi borang EA bagi mengisyhtiharkan keuntungan beberapa tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sehubungan itu, MBI semalam telah mengarahkan PNSB supaya menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada pekerjanya pada tahun lepas kepada LHDN,” katanya.

Abdul Khalid meminta kakitangan PNSB agar bersabar dan menunggu LHDN menaikkan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan berikutan pengurusan PNSB yang tidak mengisytiharkan pendapatan dalam borang EA sebelum ini.

Sebelum ini Abdul Khalid mendedahkan Lembaga Pengarah PNSB sekarang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah ‘Al Marwa Tower Makkah’ di bawah nama menteri besar ketika itu, Dr Khir – yang dibangkitkan oleh auditor luar.

Abdul Khalid juga mendakwa pembelian 12 unit pangsapuri itu melibatkan transaksi RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah didakwa meluluskan RM8 juta untuk membeli lima unit tersebut.

Sumber berita : Sinar Harian


Ekonomi merudum tapi kadar tol naik?

26 Februari, 2009 7:20 PM

Kadar tol akan dinaikkan sehingga 33 peratus mulai 1 Mac ini, antaranya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya Dato’ Ir Mohamad Zin Mohamad, empat lagi lebuhraya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Keputusan yang diambil oleh kerajaan BN adalah tidak bijak, tidak wajar dan bukan pada masa yang sesuai. Di zaman ekonomi merudum, ramai pekerja kilang diberhentikan kerja, kadar pengangguran dijangka meningkat tapi kadar tol pula dinaikkan! Inikah salah satu daripada pakej ransangan ekonomi yang diwar-warkan kepada rakyat?

Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Ini bukan pakej ransangan ekonomi namanya tapi pakej penguncupan ekonomi kepada jutaan rakyat! Habislah semua wang rakyat, tiada yang tinggal berbaki selepas dapat gaji macam ini. Sudahlah dengan harga barangan keperluan pengguna yang sukar turun, beban mereka ditambah pula dengan kadar tol yang baru sahaja diumumkan.

Adakah kerajaan mengharapkan agar rakyat dibiarkan terperap di dalam rumah sahaja selepas ini? Ia seolah-olah menyekat perjalanan rakyat marhain daripada pulang ke kampung halaman atau melakukan percutian domestik dengan menggunakan kenderaan persendirian? Apakah itu maksud sebenarnya?

Pelik benar tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan BN ini. Cogankata Tradisi Membela Rakyat pada tahun 1980an dahulu patut ditukarkan kepada Tradisi Membebankan Rakyat sahajalah.

Adakah kita semua akan bertukar kenderaan dengan menaiki basikal pula selepas ini? Nak buat protes? Jom kita pakat ramai-ramai tunggang basikal pula selepas ini. Mari berkayuh bersama-sama semua!


Ibrahim Ali tidak berubah

26 Februari, 2009 6:38 PM

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali menipu PAS Kelantan kononnya sudah berubah sebelum dicalonkan atas tiket PAS pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Beliau berkata, menurut laporan daripada ahli PAS, Ibrahim kerap mengadakan ceramah-ceramah di kawasan kampung dengan memburukkan kerajaan negeri Kelantan tentang isu pembangunan yang menurut dakwaannya lambat ditunaikan.

“Kita sudah terima banyak maklumat apa yang dilakukan di Pasir Mas daripada ahli kita. Dia (Ibrahim) memburukkan kita kononnya kerajaan negeri lambat membawa pembangunan. Kenapa dia perlu membuatkan kenyataan kepada umum. Sebaliknya benda ini boleh dibuat secara terus kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli, antara kerajaan negeri dan syarikat swasta, bangunan asrama 10 tingkat untuk pelajar Kelantan di Kaherah, Mesir bernilai RM17 juta, di sini semalam.

Takiyuddin sebelum ini berkata, PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik parti itu.

Beliau turut menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan Ahli Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Takiyuddin berkata, walaupun tiada perjanjian yang dibuat antara PAS dan Ibrahim sebelum pilihan raya umum namun Ibrahim menyatakan beliau sudah berubah.

“Atas sebab kita yakin Ibrahim telah berubah kita terima dia untuk bertanding atas tiket PAS di Pasir Mas. Tetapi rupa-rupanya dia tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata, Ibrahim juga ketika di Parlimen mengkritik bukan dengan cara berhemat dengan menggunakan kata-kata kesat terhadap Anggota Parlimen Pakatan Rakyat dan PAS.

“Dia kena ingat apabila dia di Parlimen dia membawa lambang PAS Kelantan. Jika cara mengkritiknya itu tidak betul ia mencerminkan PAS Kelantan dan ini tidak elok. Nanti apa pandangan orang dan dia telah jejaskan imej PAS Kelantan,” katanya.

Katanya, Ibrahim seharusnya bertemu dengan PAS dan Pakatan Rakyat jika beliau tidak berpuas hati terhadap mana-mana isu. Pada majlis yang sama, ketika diminta mengulas mengenai Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata: “Ikut dialah, dia orang bebas.”

Sumber berita : Sinar Harian


PPSMI: A Samad Said rela gelaran Sasterawan Negara ditarik balik

26 Februari, 2009 5:46 PM

Dato’ A Samad Said tetap meneruskan perjuangan mendaulatkan bahasa ibunda biar pun gelaran Sasterawan Negara yang diberi kerajaan ditarik balik. Beliau sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.

“Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah ‘Sasterawan Rakyat’ yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.”

“Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti.”

A Samad yang dikenali dengan panggilan Pak Samad terkenal dengan penulisan yang kritis mendedahkan sebelum ini beliau sering menutup mulut dalam pelbagai isu yang dilakukan kerajaan.

“Tetapi selepas saya ke Mekah dan bertaubat, kini saya akan bercakap benar dalam segala hal, biar pun ia amat pahit di pihak kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau juga berkata, penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar subjek Matematik dan Sains jelas melanggar akta pelajaran Malaysia kerana tidak membantu peningkatan penggunaan bahasa Melayu.

“Setakat ini hanya PAS yang menganjurkan ceramah untuk menjelaskan kepincangan PPSMI dan sebab itulah saya memilih platform ini untuk menjelaskan kepada seluruh masyarakat,” katanya.


PPSMI: A Samad Said nafi dibeli pembangkang

26 Februari, 2009 5:33 PM

Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said menafikan dirinya dibeli pembangkang dalam usahanya memperjuang Bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang digunakan sekarang.

Beliau berkata, kehadirannya dalam beberapa siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap oleh masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum tentang isu Bahasa Melayu.

“Itu yang saya perjuangkan dan bagi saya adalah halal untuk bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun.”

“Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya Bahasa Melayu di muka bumi.”

PPSMI sejak kebelakangan ini menjadi perhatian umum yang tidak senang apabila Samad berceramah di pentas politik. Mengulas lanjut mengenai PPSMI, beliau mahu Bahasa Melayu diteruskan kerana ia sememangnya sudah ada dalam perlembagaan.

Beliau yang juga salah seorang penasihat dalam Gerakan Mansuhkan PPMSI (GMP) berkata, dari awal lagi beliau telah menulis dalam Bahasa Melayu dan ia seharusnya dinobatkan.

Pak Samad berpendapat Bahasa Melayu harus diteruskan dan percaya kalau Bahasa Melayu itu lemah dan rendah adalah menjadi tugas kita untuk memartabatkannya serta memungkinkannya.

Beliau berkata, kita sepatutnya tidak mengakui Bahasa Melayu lemah dan menyingkirkannya kerana kalau kita sendiri yang menolaknya siapa lagi yang akan memperjuangkan Bahasa Melayu?