Salam Ramadan Al Mubarak 1430 Hijrah

22 Ogos, 2009 2:13 PM

Hari ini 1 Ramadan 1430 Hijrah, umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan bulan yang mulia dan penuh barakah ini secara sederhana. Malam tadi penulis telah berpeluang menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di sebuah masjid yang berdekatan dengan kediaman.

Semasa penulis ingin mengambil wuduk, barulah penulis perasan bahawa tempat mengambil wuduk bagi jemaah lelaki yang biasa digunakan sedang dalam proses pengubahsuaian. Maka, ramailah jemaah lelaki yang perlu mengambil wuduk di luar masjid di mana kebanyakan paip air disediakan di situ.

Inilah kesannya apabila penulis jarang mengunjungi masjid pada hari-hari biasa. Ia adalah kerana pada hari-hari biasa penulis sibuk dengan urusan kerja atau peribadi yang menuntut diri ini pulang lewat ke rumah. Oleh itu jarang sekali penulis dapat berpeluang solat berjemaah dengan ahli kariah yang lain di masjid itu.

Namun, sesungguhnya bulan Ramadan mempunyai pelbagai keistimewaannya yang tersendiri. Apabila tibanya bulan Ramdan, rutin harian penulis boleh pula berubah. Penulis atau mungkin juga para jemaah yang jarang menjejakkan kaki ke masjid pada bulan-bulan yang lain, mula beramai-ramai menuju ke masjid dan surau. Penulis mempunyai banyak masa ke masjid untuk melakukan solat fardu dan solat sunat.

Pelik kan? Kenapa hanya pada bulan Ramadan sahaja penulis atau kita dapat meluangkan masa ke masjid atau surau tetapi apabila berakhirnya bulan Ramadan, kita pun berhenti melakukan ibadah di sana? MasyaAllah! Adakah ibadah puasa kita pada bulan Ramadan tidak dapat mentarbiahkan diri untuk terus istiqamah menunaikan solat di masjid atau surau? Adakah kita tidak mendapat keberkatan dan hidayah di bulan Ramadan sehingga kita terus bertukar kepada seorang individu yang melupakan masjid dan surau apabila berakhirnya bulan Ramadan? Wallahu’alam.

Penulis merasakan permasalahan ini dapat diatasi melalui azam yang kuat, disiplin dan kalbu. Jika kalbu kita percaya kepada janji-janji Allah dan takut akan azab Allah pada hari akhirat, nescaya kita mampu mengubah diri sendiri menjadi seorang insan yang bertakwa. InsyaAllah.

Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapakan selamat menjalani ibadah puasa. Semoga segala puasa dan ibadah-ibadah kita yang lain pada bulan ini dilipat gandakan ganjaran pahalanya dan diberkati oleh Allah S.W.T. Amin. Ingatlah bahawa bulan Ramadan mempunyai 3 hikmah. Permulaan Ramadan adalah rahmat, pertengahan Ramadan adalah pengampunan dan pengakhirannya adalah terlepas daripada azab api neraka. Subhanallah.


Bulan Sya’ban 1430 Hijrah telah sampai ke penghujungnya

21 Ogos, 2009 7:10 PM

Sudah lama penulis tidak mengemaskini entri di dalam blog ini kerana sibuk dengan kerja dan juga menghadiri kelas. Entri terakhir sebelum ini adalah pada 20 Jun 2009 yang lalu. Ini bermakna telah 2 bulan penulis meninggalkan blog peribadi ini tanpa sebarang catatan.

Pejam celik, pejam celik bulan Sya’ban 1430 Hijrah telah sampai ke penghujungnya pada hari ini. Esok seluruh umat Islam di Malaysia dan beberapa buah negara di dunia akan menyambut ketibaan bulan Ramadan pula. Begitu cepat masa berlalu. Tidak sedar yang kita akan melangkah ke bulan yang baru. Hari-hari yang dilalui dalam seminggu juga pantas ditinggalkan. Usia pula semakin meningkat dan bisa mendekatkan kita dengan kematian.

Pada masa yang sama, negara kita dan banyak negara di dunia telah dilanda dengan wabak penyakit influenza A H1N1. Ada yang menyebut dan memanggilnya penyakit selsema babi. Apa pun sebutan dan panggilan namanya, langkah berjaga-jaga telah diumumkan oleh pihak berwajib.

Wabak penyakit ini telah menyedarkan orang ramai tentang pentingnya menjaga kebersihan diri, makanan dan kawasan persekitaran. Ada sebabnya Allah S.W.T. menurunkan penyakit berjangkit kepada manusia agar mereka sedar dan menginsafi diri di atas perbuatan mungkar yang telah dilakukan. Ada hikmahnya juga mengapa Allah S.W.T. mengharamkan babi sebagai makanan umat Islam. Apabila penyakit seperti ini melanda, ia merupakan satu peringatan dan pengarajan kepada manusia yang ingin berfikir.

Sama-samalah kita muhasabahkan diri kerana yang baik itu datangnya daripada Allah, manakala yang buruk itu adalah kelemahan diri kita sendiri. Wallahu’alam.