Tuah masih belum berpihak kepada Datuk Lee Chong Wei

20 Januari, 2009 7:50 PM
Wajah kecewa Datuk Lee Chong Wei selepas tewas.

Wajah kecewa Datuk Lee Chong Wei selepas tewas.

Impian Datuk Lee Chong Wei untuk bergelar pemain negara pertama mengungguli perseorangan lelaki di dalam Kejohanan Badminton Super Series Terbuka Korea Selatan tidak kesampaian apabila kecundang pada saingan final, Ahad lalu.

Kegagalan untuk merangkul dua gelaran berturut-turut itu, selepas kejayaan Terbuka Malaysia minggu lalu, terjelma angkara kekalahan kepada jaguh veteran Denmark, Peter Gade menerusi pertentangan sengit tiga set, 18-21, 21-10, 17-21.

Namun, ia jelas tidak menerbitkan bimbang Chong Wei yang meluahkan rasa puas hati kerana berjaya melakarkan pencapaian terbaik selepas dua kali tersekat pada suku akhir sebelumnya. Namun, Chong Wei juga punya alasan untuk tambah bergembira selepas diumumkan sebagai penerima anugerah Fairplay buat kejohanan kali ini.

Apa yang jelas, Gade lawan yang ditewaskan dalam separuh akhir Terbuka Malaysia, memperolehi kelebihan selepas mendapat kemenangan percuma pada peringkat separuh akhir dan memanfaatkan kelebihan itu dalam pertarungan selama 53 minit.

Kedua-dua pemain bersaing sengit pada set pertama sebelum Gade menang 21-18 dan Chong Wei tampak seolah sudah menjumpai sentuhan terbaik apabila menenggelamkan lawan dari Denmark itu dalam laluan menang set kedua 21-10.

Tetapi permainan kemas serta faktor lebih cergas membantu Gade untuk menyerap asakan Chong Wei dan akhirnya menang 21-17 pada set penentuan. Apa pun, tahniah diucapkan kepada beliau kerana terus berusaha untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.


Syabas Datuk Lee Chong Wei!

12 Januari, 2009 7:45 PM

Datuk Lee Chong Wei

Pemain badminton perseorangan lelaki nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya mempertahankan gelaran juara dalam Kejohanan Badminton Super Series Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Chong Wei merekodkan gelaran kelimanya dalam Terbuka Malaysia apabila menundukkan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan pada perlawanan akhir dengan kemenangan straight set 21-14, 21-13. Chong Wei yang juga juara bagi edisi 2004, 2005, 2006 dan 2008 hanya mengambil masa 39 minit untuk menewaskan Sung Hwan buat kali kelapan daripada sembilan pertemuan.

Sebagai catatan rekod, Chong Wei turut menundukkan Sung Hwan bagi meraih kejuaraan Terbuka Malaysia pertamanya pada edisi 2004 selain pada Terbuka Switzerland dan Terbuka China tahun lepas.

Lima gelaran dalam tempoh enam tahun membuktikan Datuk Lee Chong Wei sememangnya kebal apabila beraksi di gelanggang sendiri. Tahniah dan syabas diucapkan kepada beliau. 🙂


Vietnam juara tapi Malaysia di mana?

29 Disember, 2008 5:35 PM

logo Asean Football Federation

Tarikh 28 Disember 2008 merupakan kemuncak pertandingan Piala Suzuki AFF 2008 di mana perlawanan akhir pusingan kedua dilangsungkan di antara negara Vietnam bertemu Thailand. Pertemuan kedua-dua buah negara itu telah diadakan di stadium bolasepak Hanoi. Berbekalkan kelebihan satu gol ketika bermain di stadium Bangkok pada minggu sebelumnya, pasukan Vietnam dilihat tertekan dengan asakan daripada para pemain Thailand.

Namun mereka tidak sedikit pun menunjukkan rasa goyah. Pasukan Vietnam kemas bertahan dan pantas melakukan serangan balas. Thailand mendahului 1-0 sejak dari separuh masa pertama dan mengikut aggregate keputusan terikat pada kedudukan 2-2. Namun, semua itu berubah apabila Vietnam memperolehi sepakan percuma pada minit ketiga semasa waktu kecederaan setelah tempoh 90 minit tamat. Sepakan yang diambil telah ditanduk masuk oleh pemain Vietnam berjersi nombor 9 lalu seluruh stadium berpesta meraikan kemenangan pasukan negara mereka buat kali pertama dalam sejarah kejohanan tersebut.

Pasukan kerdil Vietnam boleh muncul juara tetapi pasukan bolasepak Malaysia masih lagi dalam pencarian untuk merangkul gelaran sulung. Di manakah silapnya skuad bolasepak Malaysia? Kita lebih maju daripada skuad Vietnam kerana Malaysia mempunyai liga bolasepak professional yang dikenali sebagai Liga M sejak beberapa tahun yang lalu. Persoalannya, kenapa pasukan kita masih belum boleh menyaingi pasukan-pasukan dari negara lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam ini?

Sepatutnya, dengan adanya liga professional di negara kita, pasukan bolasepak kita merupakan satu kuasa besar dalam kancah bolasepak di peringkat Asean. Namun sebaliknya pula berlaku. Kita sepatutnya malu dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan kerana satu ketika dahulu mereka merupakan pasukan belasahan Malaysia. Tetapi kini, dengan wujudnya liga bolasepak professional di negara mereka, dua buah pasukan ini semakin digeruni dan dihormati di peringkat Asia.

Berbalik kepada pasukan Vietnam semula, apa yang dapat aku perhatikan ialah para pemain mereka rajin, berdisiplin dan tidak pernah putus asa untuk mengejar bola di setiap sudut padang. Di bawah bimbingan jurulatih Portugal, Calisto, corak permainan pasukan Vietnam meningkat dan nyata berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain di atas padang tidak ubah seperti tentera Vietkong bertempur dengan tentera Amerika ketika perang Amerika-Vietnam meletus satu ketika dahulu.

Adakah para pemain Malaysia perlu menempuh kesusahan seperti ini terlebih dahulu, baru mereka mengerti erti kepayahan hidup dan belajar untuk memajukan diri dan seterusnya menjadi cemerlang pada masa akan datang? Persoalan ini aku lontarkan kepada pengunjung dan pembaca sekalian untuk menjawapnya. Renung-renungkan dan selamat berfikir…


Chelsea 2 Malaysia 0…

30 Julai, 2008 7:09 PM

Semalam, 29.07.2008 bertempat di Stadium Shah Alam, Selangor, Chelsea hanya berjaya menundukkan Malaysia dengan keputusan 2-0 pada perlawanan itu. Ini merupakan perlawanan pra musim EPL 2008/2009 mereka dalam siri jelajah Chelsea Asian Tour 2008.

Pasukan Malaysia melalui cubaan pemain yang mewakili negeri Selangor, Amirul Hadi Zainal mempunyai 3 peluang untuk membolosi pintu gol Chelsea. Namun, 2 peluang yang diperolehi di separuh masa pertama dan 1 lagi peluang pada separuh masa kedua gagal disempurnakan dengan jaringan gol.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang Malaysia, Mohd Helmi Eliza Elias yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada para pemain Chelsea yang berstatus bintang. Satu percubaan first timer volley yang dilakukan oleh Deco, berjaya ditepis keluar oleh Helmi.

Namun, pintu gol Malaysia bolos juga pada minit ke 36 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Ashley Cole menjaringkan gol kedua Chelsea pada minit ke 52. Apa pun, syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan pasukan Malaysia kerana berjaya mengekang Chelsea daripada berkenduri gol pada malam itu.


Al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil…

16 Julai, 2008 3:24 PM

Bekas Pengurus pasukan bolasepak Kedah dan juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ahmad Basri Akil telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah pada petang Selasa 15.07.2008.

Allahyarham dikatakan rebah ketika berada di Istana Anak Bukit untuk menghadiri majlis pelancaran setem Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah jam 2.30 petang sebelum dihantar ke hospital. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-Fatihah…


Tahniah Dato’ Nicol Ann David!…

14 Julai, 2008 7:37 PM

Sabtu lepas 12.07.2008, pemain skuasy wanita nombor 1 dunia, Nicol Ann David telah dianugerahkan gelaran Dato’ oleh Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang sempena hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke 70 tahun. Nicol dipercayai sebagai atlit paling muda negara yang menerima darjah kebesaran seperti itu. Beliau hanya berusia 24 tahun sahaja. Faktor umur tidak menghalang Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk menghargai jasa dan pengorbanan beliau dalam mengharumkan nama negara di mata dunia dalam sukan skuasy. Tahniah Dato’ Nicol! 🙂


Mokhtar Dahari dalam Kenangan…

14 Julai, 2008 7:26 PM

Jumaat lepas, 11.07.2008 genaplah 17 tahun kembalinya kerahmatullah lagenda bolasepak negeri Selangor dan Malaysia, Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau telah meniggal dunia pada 11.07.1991 setelah menderita penyakit saraf.

Apa yang menyedihkan aku ialah tiadanya sebarang pengiktirafan yang diberikan oleh pihak kerajaan Malaysia di atas jasa dan sumbangan beliau mengharumkan nama negara dalam sukan bolasepak. Jika Seniman Agung P.Ramlee layak menerima gelaran Tan Sri, setidak-tidaknya Mokhtar Dahari juga layak untuk menerima gelaran Dato’ atau Dato’ Seri daripada mana-mana Sultan atau Yang DiPertua Negeri. Tetapi sehingga ke hari ini apa yang aku harapkan masih tidak menjadi realiti.

Seperkara lagi, jika bekas Penghibur Nombor 1 Asia iaitu Allahyarham Sudirman Haji Arshad boleh dikenang setiap tahun oleh rakan-rakan artis yang lain dengan mengadakan majlis bacaan tahlil, kenapa Allahyarham Mokhtar Dahari tidak mendapat keistimewaan seperti itu? Cukup menghairankan apabila pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) langsung tidak mengambil berat atau melakukan satu usaha untuk mengingati jasa Allahyarham dalam sejarah bolasepak negara! Adakah sukar untuk mengumpulkan bekas rakan sepasukan beliau dahulu atau pemain-pemain bolasepak zaman sekarang untuk sekurang-kurangnya menjayakan satu majlis tahlil untuk seorang wira negara seperti beliau?

Entahlah, aku pun tak tahu apa sebabnya sehingga tiada seorang pun yang terfikir untuk mengambil sebarang inisiatif apa yang cuba aku coretkan di sini. Aku akan terus menunggu detik itu tiba satu hari nanti.?

Secara peribadi, aku memang kagum dengan bakat dan kemahiran yang beliau miliki. Allahyarham Mokhtar Dahari memang tiada gantinya. Tiada pemain Malaysia yang setanding dan sehebat beliau di atas padang bolasepak. Jika beliau masih lagi hidup, sudah tentu banyak ilmu yang akan dicurahkan kepada generasi pemain bolasepak Malaysia sekarang.