Kerajaan Perpaduan: PAS tiada minat bincang dengan UMNO

20 Jun, 2009 11:46 AM

PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Mustafa Ali.

“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan UMNO termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini,” kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan dua hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).


Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Tuduhan PAS boneka DAP tidak berasas – Misbahul

5 Jun, 2009 8:20 PM

Fitnah UMNO yang mengatakan PAS adalah boneka DAP adalah tidak berasas kerana dalam tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak, DAP banyak memberikan kerjasama.

Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, DAP banyak memberikan kerjasama dalam sebarang keputusan terutama yang melibatkan orang Melayu, jadi tidak timbul masalah di mana PAS adalah boneka kepada DAP.

Menurutnya, semua dasar ketika PR memerintah negeri Perak, dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat yang diwakili PAS, DAP dan PKR, setelah itu barulah dibawa ke mesyuarat Exco.

“Pada pilihan raya ke-12, DAP menentang MCA, MIC dan PPP manakala PAS dan PKR menentang UMNO.

“Fitnah itu sama sekali tidak tepat kerana PR mengutamakan keputusan melalui perbincangan bersama dan tiada unsur siapa jadi boneka atau tidak,” katanya.

Misbahul berkata demikian dalam siri ceramah di Kampung Changkat Legong, Kota Baharu, Perak.

Pada program berkenaaan, Misbahul turut menyerahkan sebanyak 80 sijil keahlian PAS kepada Setiausaha PAS Cawangan Changkat Legong, Hamidin Tajul Mahmud.

“Ini menunjukkan rakyat masih menaruh kepercayaan kepada PR untuk memerintah Perak,” katanya.

Misbahul berkata, rakyat mesti diberikan maklumat jelas mengenai PAS, agar mereka faham dasar perjuangan PAS yang berjuang atas dasar Islam.

“Rakyat mesti diberikan maklumat yang tepat mengenai dasar perjuangan PAS, agar mereka faham bahawa PAS berjuang dalam menegakkan kalimah Tauhid,” katanya.

Sementara itu, YDP PAS Kawasan Tapah, Abdul Rahim Nordin berkata, PR mendapat sokongan padu daripada semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India.

Menurutnya, PAS membawa dasar Islam yang menjadikannya tempat di hati rakyat dan PAS tidak putus menerima sokongan daripada rakyat Perak. Sinar Harian


PRK DUN Penanti: Undi pos bermula hari ini

29 Mei, 2009 10:42 PM

Undi pos untuk pilihan raya kecil DUN Penanti berlangsung hari ini dengan 20 orang anggota polis dari kawasan itu mengundi lebih awal kerana desakan tugas.

Bilik undi pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai tengah di Pulau Pinang dibuka jam 8.30 pagi.

Tepat jam 9.15 pagi seorang angota polis berpangkat Lans Koperal membuang undi pertama, diikuti anggota polis wanita iaitu Lans Koperal Asiah binti Hashim yang bertugas di balai polis Kubang Semang.

Sejurus selepas itu, calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) Dr Mansor Othman hadir bersama beberapa penyokong bagi memantau proses pembuangan undi pos.

Mansor berkata beliau berpuas hati dengan kempennya untuk mengekalkan kerusi Penanti dan menaruh kepercayaan penuh dengan kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan tepat.

Seramai 23 orang berdaftar sebagai pengundi pos DUN Penanti. Lebih 15,000 pengundi lain didaftarkan untuk mengundi Ahad ini.

Mansor mengadapi saingan tiga calon bebas iaitu Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris.

UMNO-Barisan Nasional tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, setelah parti itu kalah pada kesemua empat pilihan raya kecil di Semenanjung sejak pilihanraya umum Mac tahun lalu.


Bubar DUN Perak Kalau Anak Jantan, Nizar Cabar Zambry

27 Mei, 2009 4:35 PM

Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin mencabar “Menteri Besar Mahkamah”, Dr Zambry Abd Kadir supaya mengadap Sultan dan memohon perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya beliau benar-benar anak jantan dan tidak bersembunyi di belakang pasukan keselamatan.

Beliau berkata demikian pada majlis ceramah dan taklimat yang diadakan di Wisma DAP malam semalam.

Nizar berkata beliau tidak menyalahkan pihak keselamatan kerana sedar mereka digunakan oleh Barisan Nasional untuk melakukan penindasan terhadap rakyat.

Tambah beliau lagi setiap kali pilihan raya kecil diadakan UMNO dan BN akan mengarahkan pihak keselamatan berkampung di kawasan tersebut sama ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang atau Bukit Selambau.

Tetapi peliknya apabila BN tidak bertanding di Penanti ternyata tidak ada polis di situ dan ini membuktikan pihak polis bekerja untuk UMNO dan BN.

“Ini jelas menunjukkan wang rakyat dihabiskan untuk BN bukannya untuk menjaga rakyat dan ketenteraman awam.” Nizar berkata.

BN cukup cemburu dengan gabungan kemas dan mantap Pakatan Rakyat dan ia tidak sanggup melihat gagasan tersebut diterima oleh rakyat Perak.

“Di Perak sebelum ini kita tidak pernah nikmati perpaduan dan keharmonian antara bangsa-bangsa yang ada di Perak, namun dalam masa Pakatan Rakyat memerintah kita berjaya lahirkan masyarakat Perak yang saling menghormati, bertoleransi antara satu sama lain.

“Kita mahukan cucu cicit kita pada masa akan datang saling menghormati antara bangsa yang ada. Itulah yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Jika ini berterusan maka tidak ada peluang lagi bagi mereka.” kata Menteri Besar lagi.

Tambah Nizar mahkamah rakyat adalah ruang yang terbaik untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.

Majlis tersebut yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Nga Kor Ming juga turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat Perak.

Sebelum itu polis menahan 2 orang di luar Wisma DAP kerana dipercayai ingin hadir ke majlis yang diadakan semalam.

Seorang daripada yang ditahan adalah ahli Majlis perbandaran Taiping, Simon Uthaya Kumar a/l Sellaiyah sementara seorang lagi dikenali sebagai Haridats. Difahamkan mereka berdua telah dibawa ke balai polis yang berdekatan untuk disoal siasat. TVAntara


Politik wang: SPRM diminta siasat PAS, bagaimana pula dengan UMNO?

20 Mei, 2009 7:07 PM

Naib Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Razali Ibrahim meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya politik wang dalam PAS menjelang Muktamar ke-55 parti itu bulan depan.

Alahai, apalah yang disibukkan sangat oleh Dato’ Razali ini. Kenapa sibuk menjaga parti orang lain sedangkan parti sendiri pun pincang? Mengapa meminta SPRM siasat PAS sedangkan anda sendiri tidak berani bersuara agar SPRM menyiasat gejala politik wang di dalam UMNO sahaja?

Adakah anda bersuara kerana menyedari keburukan rasuah di dalam kelompok masyarakat atau anda bertindak mewakili arahan pihak-pihak tertentu di dalam UMNO? Adakah ini salah satu cara untuk menunjukkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO bahawa anda begitu prihatin dan memang melakukan kerja? Lebih baik Dato’ tumpukan dulu kepada gerak kerja parti UMNO sahaja terutama sekali Pergerakan Pemuda UMNO.

Inilah masanya untuk membalas kepercayaan ahli-ahli perwakilan UMNO tempoh hari yang memberi kepercayaan dan mengundi anda tetapi bukannya untuk membodek kepimpinan tertinggi parti dengan menyerang parti-parti gabungan di dalam Pakatan Rakyat.


Tanpa pungutan suara, mana tahu rakyat Perak tidak inginkan pilihan raya?

16 Mei, 2009 1:06 PM

“Kalau nak buat pilihan raya, kita sudah tahu apa kesudahannya…Pakatan akan menang jadi mengapa kita nak adakan pilihan raya?”

“Rakyat ‘sakit’ dengan pilihan raya…lagipun ia akan menggunakan wang yang banyak untuk pilihan raya.”

“Tak elok bila dunia asyik tengok kita sentiasa bertukar Menteri Besar di Perak.”

Kata-kata tersebut diluahkan oleh bekas PM Malaysia keempat. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kesediaan BN untuk menghadapi pilihan raya negeri jika DUN Perak dibubarkan bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, rakyat hari ini sudah bosan dengan pilihan raya kecil. Beliau berpendapat, BN akan kalah jika DUN dibubarkan untuk memberi laluan bagi pilihan raya baru.

Ucapan beliau senada dengan pemimpin UMNO/BN yang lain. Pilihan raya baru tidak perlu diadakan, ianya akan membazirkan duit rakyat. Inilah mentaliti orang UMNO/BN pada hari ini, tidak sama seperti dahulu. Pada masa dahulu UMNO/BN cukup suka dan gembira untuk menyertai pilihan raya tidak kira pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Tetapi sekarang, situasinya sudah berubah. UMNO/BN sebuah parti yang kuat di satu masa lalu kini dilihat takut untuk menghadapi pilihan raya dan berhadapan dengan undian rakyat.

Ia merupakan kesan penolakan rakyat terhadap UMNO/BN pada PRU12 yang lalu diikuti dengan 4 lagi PRK yang telah berlangsung di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau di mana keempat-empat kawasan tersebut dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Untuk menyatakan bahawa rakyat sakit dan sudah bosan dengan pilihan raya adalah tidak adil. Di dalam laporan Bernama TV baru-baru ini, seorang Profesor di UKM telah menyarankan bahawa satu pungutan suara perlu dijalankan di negeri Perak bagi mengetahui sama ada rakyat inginkan satu pilihan raya baru ataupun tidak.

Perkara ini pernah berlaku di Aceh, apabila satu pungutan suara rakyat dilakukan untuk mendapatkan hasil majoriti sama ada Aceh ingin keluar dan merdeka daripada pemerintahan kerajaan Indonesia atau sebaliknya.

Bayangkanlah, Aceh sebuah daerah di Indonesia boleh mengadakan satu pungutan suara kepada semua rakyatnya, inikan pula negeri Perak. Sudah pasti tanpa pungutan suara, kita tidak tahu apa kehendak sebenar rakyat. Kita perlu kembalikan kuasa dan hak memilih pemerintah negeri di tangan rakyat, bukannya di tangan pemimpin politik yang berkepentingan!.