Saya tak rampas kuasa di masjid – Dato’ Seri Nizar

30 Mac, 2009 10:19 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS kerusi Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan, beliau “tidak merampas” kuasa ketika majlis membaca Yassin dan solat berhajat di Masjid Simpang di sini anjuran Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Sebaliknya, kata Nizar, beliau telah diundang oleh imam Masjid Simpang untuk berucap menjelaskan ayat-ayat yang dibacakan semasa mengimamkan solat Maghrib.

“Saya dijemput oleh imam supaya mentafsirkan ayat-ayat yang saya bacakan selama 20 minit sebelum itu… saya juga sejak awal telah diminta supaya tidak menyelitkan elemen politik sebab masjid bebas politik.

“Jadi, saya diminta membuat tafsiran ayat-ayat yang saya bacakan sebelum itu… ketika tazkirah… jadi saya tidak merampas mikrofon untuk berucap, cuma memenuhi kehendak imam,” kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di Markas PAS Bukit Gantang pagi tadi.

Kata Nizar, apabila beliau meminta mikrofon untuk menyampaikan ucapan tafsiran ada pihak yang membantah dengan alasan ia bukan tempat untuk berpolitik.

“Bagi mengelakkan suasana kecoh, saya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan kemudian meninggalkan masjid… apa terjadi selepas itu saya tidak tahu,” katanya.

Nizar mengakui bahawa beliau sejak awal, ketika memasuki masjid, telah dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Dato’ Mustafa Ali pula berkata, pihaknya sudah mengambil pendirian untuk tidak menggunakan masjid sebagai tempat kempen politik.

“PAS hanya akan menggunakan masjid untuk tujuan agama,” kata beliau pada sidang media pagi ini.

Malam tadi, Nizar ‘bertembung’ dengan rombongan BN di Masjid Simpang, sekaligus mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Dato’ Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

“Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman). “Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau,” kata beliau ketika dihubungi. mStar Online


Nizar imamkan solat Maghrib di Masjid Simpang malam semalam

30 Mac, 2009 9:58 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Terlebih dahulu beribu maaf kerana lama sangat tidak update blog saya kerana maklumlah mengirakan kerenah pindah randah dan naik turu mahkamah Tinggi KL dan Persekutuan, Putrajaya.

Hari penamaan calun PRK P059 Bkt Gantang bejalan lancar dengan sedikit huru hara sewaktu saya dan isteri bersama-sama pimpinan PAS lain memasuki pintu pagar dewan perbanadaran Taiping jam 8.45pagi.

Namun sewaktu pergi menunaikan solat maghrib di Masjid Simpang, saya diminta oleh imam Tuan Hj Hisham untuk mengimamkan solat tersebut dan saya bersetuju. Sewaktu masuk kemasjid saya diberitahu Tan Sri Muhyidin Yasin, Timb Presiden UMNO, dato Zambry Kader , calun Ismail Saffian dan ramai lagi pimpinan UMNO pusat dan negeri juga ada bersama. Pimpinan UMNO berada disaf pertama.

Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat “wa’tasimu bihablillahi jamiian, walaa tafarraqu…. ” dan rakaat kedua surah Al-kaafirun.

Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma’mum termasuk pimpinan tinggi UMNO.

UMNO menganjurkan solat hajat dipimpin oleh seorang imam impot, Hj Jama’iy namanya. Habis solat, imam Hj Hashim bangun dan berucap dihadapan dgn menyebut nama pimpinan UMNO Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Zambry. Nama saya juga disebut dan diraikan. Imam telah mengundang saya menyampaikan tazkirah dengan memberi Tafsir ayat Quran yang saya baca pada rakaat pertama solat maghrib sebentar tadi.

Namun beberapa pimpinan UMNO setempat telah protes termasuk penasihat masjid (pakai songkok tinggi) yang menghalang dan mengarah supaya terus adakan majlis baca yaasin, berlaku sedikit komosi (commotion). Saya mengelak bagi memelihara suasana.

Habis baca yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan dia nampak berang dan menyatakan kepada saya, kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tak sepatut saya jadi imam tadi. katanya lagi dengan nada kuat dan marah, “jika mahu jadi imam saya bolih jadi imam, jika nak tafsir saya bolih tafsir”. Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis untuk acara lain . Hujan sungguh lebat ketika itu. Semua makmum melihat dan menyaksikan adegan kelakar dan “ajaib” tersebut dan ramai makmum mengiringi saya sewaktu meninggalkan masjid. Sekadar makluman! Doakan PR menang besar di P059 Bkt Gantang.

Posted by Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

PerakDAILY.com


Kelab Anwar Ibrahim (AIC) kutuk tindakan polis

26 Mac, 2009 7:14 PM
AnwarIbrahimClub.com

AnwarIbrahimClub.com

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) mengutuk tindakan polis menyuraikan penyokong semasa ceramah Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Sungai Petani Isnin lalu dan melabelkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) PDRM sebagai bertindak zalim terhadap rakyat yang berhimpun secara aman.

Setiausaha Agung AIC, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tindakan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap rakyat yang berhimpun secara aman bagi mendengar ceramah Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membunuh profesionalisme PDRM.

“Isu lapuk kononnya perhimpunan yang dianjurkan ini adalah haram dan mengganggu ketenteraman awam amatlah tidak boleh diterima pakai kerana selama ini belum pernah dilaporkan kes ceramah dan perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat mengundang kontroversi atau sebarang salah laku pihak penganjur.

“AIC meminta pihak kerajaan dan PDRM agar tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap demokrasi di negara ini. Tindakan itu menampakkan kerajaan Barisan Nasional terlalu tertekan dan takut dengan kebangkitan dan kesedaran rakyat melakukan perubahan menyeluruh terhadap sistem kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Saifuddin berkata, sepatutnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sedar dan insaf bahawa kekerasan dan paksaan tidak akan mengundang dan memenangi sokongan rakyat.

“Mereka harus tahu untuk berdiplomasi dan menerima kehendak rakyat dengan bertolak-ansur dan bukan menghalangnya. Mungkin rakyat lari bertempiaran tetapi adalah amat mustahil undi mereka juga akan lari kepada Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata, majlis pada hari kejadian tersebut turut mengundang Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan amat menyedihkan apabila lebih 50 kali tembakan gas pemedih mata dilepaskan dan dua kali semburan air kimia water canon dihalakan kepada orang ramai.

“AIC mendesak agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis meluluskan permit-permit ceramah yang dimohon apatah lagi Malaysia di ambang demam pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang serta Batang Ai.

“AIC juga menyeru agar sesiapa sahaja yang ditahan pada insiden malam tersebut diberi layanan yang adil dan hak-hak asasi mereka tidak diketepikan,” katanya. Sinar Harian


Kata dua Najib sudah terlewat

26 Mac, 2009 6:48 PM
Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub

Peringatan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahukan perubahan dilakukan dalam parti untuk meneruskan survival UMNO dilihat satu gesaan yang sudah terlewat ibarat ‘hari yang sudah Maghrib’.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, masalah politik wang sama ada di peringkat akar umbi mahupun kepimpinan yang semakin menebal salah satu petanda bahawa kata dua ‘berubah atau rebah’ oleh Najib tidak akan mampu lagi untuk menyelamatkan UMNO.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, teriakan kepimpinan tertinggi UMNO itu juga membawa maksud yang kedudukan UMNO ketika ini cukup kritikal dan menanti masa untuk berkubur dan terus jauh daripada hati rakyat negara ini.

“Bagi PAS kita melihat situasi ini sebagai satu pengajaran bahawa elemen tidak baik seperti politik wang yang diamalkan UMNO akan merosakkan parti, jadi PAS tidak akan sekali-sekali terjebak dalam masalah seumpama itu walaupun kita sudah berkuasa.

“Ini kerana tidak kira apa parti sekalipun, politik kotor yang diamalkan sudah pasti akan menyebabkan parti itu rebah dan tidak mampu bangkit lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Najib kelmarin yang mahukan UMNO berubah serta berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat bagi memenangi semula hati dan pemikiran rakyat, khususnya orang Melayu.

Gesaan itu juga dilontarkan lantaran hala tuju UMNO yang menyimpang jauh daripada perjuangan asal dan masalah politik wang menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama UMNO menukar haluan mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan laungan tersebut tidak akan mengubah ahli dan kepimpinan parti keluar daripada masalah politik wang.

Menurutnya, laungan yang sama pernah dibuat oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu memimpin UMNO dahulu dan hingga ketika ini masalah politik wang dalam UMNO makin parah serta tidak menunjukkan petanda untuk dihapuskan.

“Sebagai orang biasa dari luar UMNO, saya melihat gesaan Najib tidak akan memberi kesan kepada UMNO.

“Bagaimanapun saya tidak mampu meramalkan sama ada parti ini akan rebah kerana di negara lain seperti Zimbabwe, parti yang mempunyai pelbagai salah laku dan ditolak rakyat masih membentuk kerajaan mereka,” katanya. Sinar Harian


Zamry tidak terkejut pencalonan Dato’ Seri Nizar

26 Mac, 2009 6:29 PM
Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Menteri Besar BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak terkejut dengan pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pakatan DAP-PAS-Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) akan menghadapi siapa jua yang dipertaruhkan oleh pembangkang kerana ia adalah pilihan parti berkenaan untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai calon.

“Pilihan itu adalah hak mereka. Nanti kita akan tengok pandangan rakyat terhadap pilihan mereka itu semasa pilihan raya nanti. Pilihan mereka itu tidak mengejutkan,” katanya.

Kerajaan Perak pimpinan pakatan DAP-PAS-PKR tumbang pada awal Februari lalu apabila tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dua anggota PKR dan seorang DAP keluar meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan BN.

Malam Isnin lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohammad Nizar sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada satu perhimpunan PAS di Taman Kota Jaya di Taiping, Perak.

BN telah menamakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian, 49, sebagai calon bagi kerusi itu.

Bagi kebanyakan pihak, pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menjadi pengukur senario politik negeri Perak.


Pemilihan saya sebagai calon, doa rakyat – Dato’ Seri Nizar

25 Mac, 2009 8:01 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Calon PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepemimpinan PAS dan rakyat kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang pada 7 April ini.

Sambil menyifatkan pemilihannya sebagai doa rakyat, beliau berkata, usaha PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR) menampakkan perkembangan positif ke arah beroleh kemenangan.

“Segala doa dan usaha rakyat sejak peristiwa peralihan kuasa daripada PR kepada Barisan Nasional (BN) bulan lalu telah menampakkan positifnya.

“Dengan ini, saya merakamkan penghargaan kepada PR dan PAS kerana memilih saya sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di sini, malam kelmarin.

Menurut Mohammad Nizar, beliau akan memenuhi kehendak dan hasrat kerajaan rakyat serta segala janji dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, simpati dan sokongan pengundi Parlimen Bukit Gantang bermula daripada Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering dan kawasan berhampiran amat dialu-alukan.

“Setelah berhempas pulas naik dan turun mahkamah, mereka telah memberikan keputusan di mana juri menyokong PR. Oleh itu, 7 April ini akan diterjemahkan niat kemenangan dan inilah hadiah untuk seluruh rakyat Perak,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


Bukit Gantang ujian besar PAS

25 Mac, 2009 7:31 PM
Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang adalah ujian besar bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk membuktikan sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu.

Beliau menaruh keyakinan, PAS akan beroleh kemenangan dalam pertandingan pada 7 April ini berdasarkan calonnya seorang yang ternama, diterima dan disayangi rakyat.

Beliau berkata, pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar sebagai calon kerusi Parlimen itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kehendak rakyat.

“Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ini adalah pilihan raya yang besar, bukan sahaja di Bukit Gantang, malah di Perak.

“Dia (Mohammad Nizar) akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian dan saya berharap pengundi membuat pilihan bijak dalam melaksanakan amanah mereka memilih pemimpin,” katanya selepas mengumumkan penamaan calon di sini, malam kelmarin.

Abdul Hadi berkata, masalah politik tidak boleh dipandang ringan apabila gejala rasuah semakin berleluasa dan paling berbahaya jika parti yang memerintah terkena penyakit rasuah.

Menurutnya, dalam Islam, rasuah adalah dosa besar yang dilaknati Allah dan ia terbukti apabila media mendedahkan gejala itu dalam kalangan ahli serta pemimpin politik.

Menurutnya, pilihan raya kali ini memberi makna yang sangat besar di mana rakyat akan menolak parti yang dihidapi rasuah dengan peralihan kepimpinan memerlukan pemimpin bersih.

“Apabila ada tuduhan, maka ada keraguan. Pemimpin perlu dibersihkan daripada tohmahan dan fitnah. Rakyat perlu memilih pemimpin yang bersih dan sebagai pengundi Bukit Gantang bukan sahaja memilih calon, tetapi menjadi penyampai risalah kepada rakyat.

“Beri kepercayaan kepada PAS untuk mewakili PR dan akan memberikan calon yang konsisten serta amanah supaya pengundi dapat memberikan penyambung itu,” katanya. Sinar Harian