Kerajaan Perpaduan: PAS tiada minat bincang dengan UMNO

20 Jun, 2009 11:46 AM

PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Mustafa Ali.

“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan UMNO termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini,” kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan dua hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).


Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Undi BN Boleh Masuk Syurga Juga – Muhyiddin

19 Jun, 2009 8:08 PM

KUALA KRAI, 19 Jun (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam di negara masuk syurga.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

“Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan (PAS) di bawah pimpinan (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, di sini Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Muhyiddin berkata PAS tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan negara termasuk merancang secara rapi aspek berkenaan.

Beliau berkata justeru penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu memikirkan secara rasional terhadap kebolehan parti mana yang harus dipilih untuk membaiki taraf kehidupan mereka dan membangunkan kawasannya.

“Saya berpendapat kita perlu fikirkan secara rasional dan fikirkan soal masa depan,” katanya.

Menurutnya BN mampu membangunkan negara dan memacu negara ke arah masa depan yang lebih baik untuk rakyat.


Tuduhan PAS boneka DAP tidak berasas – Misbahul

5 Jun, 2009 8:20 PM

Fitnah UMNO yang mengatakan PAS adalah boneka DAP adalah tidak berasas kerana dalam tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak, DAP banyak memberikan kerjasama.

Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, DAP banyak memberikan kerjasama dalam sebarang keputusan terutama yang melibatkan orang Melayu, jadi tidak timbul masalah di mana PAS adalah boneka kepada DAP.

Menurutnya, semua dasar ketika PR memerintah negeri Perak, dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat yang diwakili PAS, DAP dan PKR, setelah itu barulah dibawa ke mesyuarat Exco.

“Pada pilihan raya ke-12, DAP menentang MCA, MIC dan PPP manakala PAS dan PKR menentang UMNO.

“Fitnah itu sama sekali tidak tepat kerana PR mengutamakan keputusan melalui perbincangan bersama dan tiada unsur siapa jadi boneka atau tidak,” katanya.

Misbahul berkata demikian dalam siri ceramah di Kampung Changkat Legong, Kota Baharu, Perak.

Pada program berkenaaan, Misbahul turut menyerahkan sebanyak 80 sijil keahlian PAS kepada Setiausaha PAS Cawangan Changkat Legong, Hamidin Tajul Mahmud.

“Ini menunjukkan rakyat masih menaruh kepercayaan kepada PR untuk memerintah Perak,” katanya.

Misbahul berkata, rakyat mesti diberikan maklumat jelas mengenai PAS, agar mereka faham dasar perjuangan PAS yang berjuang atas dasar Islam.

“Rakyat mesti diberikan maklumat yang tepat mengenai dasar perjuangan PAS, agar mereka faham bahawa PAS berjuang dalam menegakkan kalimah Tauhid,” katanya.

Sementara itu, YDP PAS Kawasan Tapah, Abdul Rahim Nordin berkata, PR mendapat sokongan padu daripada semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India.

Menurutnya, PAS membawa dasar Islam yang menjadikannya tempat di hati rakyat dan PAS tidak putus menerima sokongan daripada rakyat Perak. Sinar Harian


Tidak wujud puak Erdogan dalam PAS – Dr Siti Mariah Mahmud

3 Jun, 2009 6:32 PM

Hanya spekulasi orang luar, bukannya ahli parti

Puak Erdogan tidak wujud dalam PAS dan tanggapan itu hanya spekulasi orang luar, bukannya ahli parti itu sendiri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau sendiri tidak tahu bagaimana istilah Erdogan boleh timbul dalam parti itu.

“Walaupun perjuangan kami adalah sama seperti Perdana Menteri Turki itu iaitu memperjuangkan dasar kebangsaan tetapi kami bukan Erdogan. Cara pemikiran orang luar telah menyebabkan kami dianggap begitu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Aziz Nik Mat yang mengatakan wujudnya puak Erdogan dalam PAS.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja berkata, masyarakat luar yang tidak tahu perjuangan dan matlamat sebenar akan bercakap apa sahaja untuk menjatuhkan PAS.

Sementara itu, mengulas dakwaan wujudnya dua puak dalam PAS, Siti Mariah berkata, mereka tidak berpuak-puak walaupun terdapat persengketaan dalam memberi pandangan dan pendapat.

“Perbezaan pandangan dan cadangan oleh ahli-ahli PAS sama ada ahli ulama atau ahli biasa merupakan satu rahmat dan percanggahan tersebut dilihat sebagai satu teguran.

“Setiap percanggahan tersebut akan dibincang di dalam mesyuarat Agung PAS yang dikenali sebagai muktamar. Walaupun pendapat kami berbeza tetapi kami masih di bawah satu perjuangan dan matlamat yang sama,” katanya. Sinar Harian


Politik wang: SPRM diminta siasat PAS, bagaimana pula dengan UMNO?

20 Mei, 2009 7:07 PM

Naib Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Razali Ibrahim meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya politik wang dalam PAS menjelang Muktamar ke-55 parti itu bulan depan.

Alahai, apalah yang disibukkan sangat oleh Dato’ Razali ini. Kenapa sibuk menjaga parti orang lain sedangkan parti sendiri pun pincang? Mengapa meminta SPRM siasat PAS sedangkan anda sendiri tidak berani bersuara agar SPRM menyiasat gejala politik wang di dalam UMNO sahaja?

Adakah anda bersuara kerana menyedari keburukan rasuah di dalam kelompok masyarakat atau anda bertindak mewakili arahan pihak-pihak tertentu di dalam UMNO? Adakah ini salah satu cara untuk menunjukkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO bahawa anda begitu prihatin dan memang melakukan kerja? Lebih baik Dato’ tumpukan dulu kepada gerak kerja parti UMNO sahaja terutama sekali Pergerakan Pemuda UMNO.

Inilah masanya untuk membalas kepercayaan ahli-ahli perwakilan UMNO tempoh hari yang memberi kepercayaan dan mengundi anda tetapi bukannya untuk membodek kepimpinan tertinggi parti dengan menyerang parti-parti gabungan di dalam Pakatan Rakyat.


Nizar 5 Zambry 1

15 Mei, 2009 8:02 PM

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11/05/2009 yang lalu, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

Apa yang menarik, permohonan Zambry itu dibenarkan oleh hakim, Dato’ Ramly Mohd Ali dalam tempoh satu hari sahaja! Tetapi permohonan Nizar yang difailkan pada hari Rabu, 13/05/2009 mengambil masa selama 5 hari untuk rayuan tersebut didengar di dalam mahkamah.

Hebat sungguh proses keadilan di Malaysia ini, ya? Jika perkara yang melibatkan kepentingan kerajaan UMNO/BN, dengan pantas keputusan akan dibuat oleh hakim yang ditugaskan. Namun, jika isu yang melibatkan Pakatan Rakyat, usul tersebut akan dilengah-lengahkan.

Nizar dinasihatkan agar jangan gentar dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Ramai orang yang akan memberikan sokongan kepada diri anda terutamanya daripada pendokong mahupun penyokong daripada PAS, PKR, DAP, rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang bersimpati di atas kejadian yang menimpa diri anda. Manakala Zambry pula, hanya satu golongan sahaja yang akan menyokong perjuangan beliau iaitu ahli-ahli parti UMNO.

Itulah sebabnya penulis berpendapat bahawa Nizar disokong oleh 5 kelompok kumpulan, bagi Zambry pula hanya UMNO sahaja yang menyokong dirinya. Keputusan muktamad, Nizar 5 – 1 Zambry!. 😀