Tidak wujud puak Erdogan dalam PAS – Dr Siti Mariah Mahmud

3 Jun, 2009 6:32 PM

Hanya spekulasi orang luar, bukannya ahli parti

Puak Erdogan tidak wujud dalam PAS dan tanggapan itu hanya spekulasi orang luar, bukannya ahli parti itu sendiri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau sendiri tidak tahu bagaimana istilah Erdogan boleh timbul dalam parti itu.

“Walaupun perjuangan kami adalah sama seperti Perdana Menteri Turki itu iaitu memperjuangkan dasar kebangsaan tetapi kami bukan Erdogan. Cara pemikiran orang luar telah menyebabkan kami dianggap begitu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Aziz Nik Mat yang mengatakan wujudnya puak Erdogan dalam PAS.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja berkata, masyarakat luar yang tidak tahu perjuangan dan matlamat sebenar akan bercakap apa sahaja untuk menjatuhkan PAS.

Sementara itu, mengulas dakwaan wujudnya dua puak dalam PAS, Siti Mariah berkata, mereka tidak berpuak-puak walaupun terdapat persengketaan dalam memberi pandangan dan pendapat.

“Perbezaan pandangan dan cadangan oleh ahli-ahli PAS sama ada ahli ulama atau ahli biasa merupakan satu rahmat dan percanggahan tersebut dilihat sebagai satu teguran.

“Setiap percanggahan tersebut akan dibincang di dalam mesyuarat Agung PAS yang dikenali sebagai muktamar. Walaupun pendapat kami berbeza tetapi kami masih di bawah satu perjuangan dan matlamat yang sama,” katanya. Sinar Harian


Jangan buat kacau minta PAS bertanding di DUN Penanti – Nik Aziz

4 Mei, 2009 7:55 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam pakatan PAS-DAP-PKR dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan Parti KeADILan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini.

“Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.” “Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah,” katanya.

Beliau mengulas desakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Semalam, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang turut mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR, Dr Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) tahun lepas dan memenanginya.


Nik Aziz minta Nik Abduh padamkan kekeliruan dalam blog

30 April, 2009 5:31 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta anaknya, Nik Abduh supaya menjelaskan kekeliruan dan jangan biarkan kekeruhan bertapak lama berhubung isu dakwaan beliau terhadap pembantu ‘sesat’ bapanya yang dikatakan melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh dalam blognya mencatatkan beliau telah dihubungi ayahandanya dari Mekah, meminta beliau supaya ‘memadamkan kekeliruan’ dan ‘jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama’ berhubung isu itu.

“Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

“Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya katakan kepadanya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu. Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda.

“Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai.

“Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!” katanya yang dipetik daripada blognya.

Nik Abduh dalam blognya sebelum ini, bercerita mengenai pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi. – Sinar Harian


Nik Aziz terharu apabila artis berhijrah

13 April, 2009 6:02 PM
Amy Search salam Nik Aziz

Amy Search bersalaman dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dalam majlis tersebut.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak dapat menahan kesedihan apabila terharu dengan penghijrahan artis-artis di negara ini yang semakin meminati Islam terutama Amy Search.

Beliau yang merasmikan Himpunan Belia sempena Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan itu tidak dapat menahan sebaknya apabila mengingatkan penghijrahan artis-artis dan golongan seni yang kini semakin ramai berminat pada Islam begitu menyentuh perasaannya.

“Tiada siapa yang menyangka artis dari kumpulan rock kini telah menjadi ‘ikon’ baru kepada remaja membawa mesej yang baik kepada golongan remaja.

“Perkara itu langsung tidak pernah terfikirkan oleh sesiapapun, namun jika itu kehendak Allah apapun boleh berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis itu yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini yang berakhir tengahari Sabtu yang lalu.

Beliau turut menghayati tiga buah lagu yang disampaikan oleh Raja Rock Malaysia itu iaitu ‘Tiada Lagi’, ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’ (yang ditujukan khas buat Nik Aziz) dan Isabella.

Keadaan cuaca yang tidak begitu panas memberi peluang peminat Amy Search untuk mengikuti persembahannya dengan mudah.

Memandangkan majlis berkenaan diadakan pada siang hari, peminat Amy dapat melihat wajahnya dengan lebih jelas lagi.

Renggo Arrow sertai PAS

Renggo, vokalis kumpulan Arrow menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Sempena program yang bertemakan ‘Jom Sertai PAS’ itu juga, vokalis kumpulan rock ‘Arrow’ Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membuat kejutan apabila secarah sah menyertai PAS pada hari tersebut.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Nik Aziz di atas pentas sebelum majlis berkenaan berakhir.

Turut menyaksikan majlis yang penuh ceria itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato’ Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri Haji Abdul Fatah Mahmood, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Dato’ Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti.

Renggo yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan juga terkenal dengan jolokan raja syahdu adalah antara 50 orang golongan belia lain yang turut menyertai PAS sempena majlis yang julungkali pernah diadakan di peringkat negeri itu.

Bagaimanapun Amy Search yang juga turut bersyukur dapat bersama lagi dengan Tuan Guru yang menjadi ‘idolanya’ belum berbuat demikian.

Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian,” ujarnya.

Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Nik Aziz yang turut hadir ke restorannya Cheng Ho di Kuala Lumpur.

Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah.

“Pada 19 April nanti Tuan Guru akan mengerjakan umrah lagi, sepatutnya saya juga akan ke sana, namun memandangkan keadaan tidak mengizinkan, saya terpaksa memilih tarikh lain,” ujarnya lagi. Siasahdaily


Saya restui Nizar tanding di Bukit Gantang – Nik Aziz

25 Mac, 2009 6:43 PM
Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merestui pemilihan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak pada 7 April ini.

“Saya sudah hubungi Nizar dan merestui pencalonan beliau untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Ashok K. Kantha di sini semalam.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan agar Mohammad Nizar bertanding bagi kerusi itu berdasarkan pengalaman bekas Presiden PAS, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, yang pernah memegang satu kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen secara serentak menyebabkan pengaruh Allahyarham dan PAS semakin menurun kerana tidak mampu memberi khidmat dengan baik.

“Tetapi bila memikirkan suasana sudah berbeza pada zaman Dato’ Asri dan sekarang, jadi tidak ada masalah untuk saya merestui Nizar,” katanya.

Mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan dua akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta, Nik Aziz mengajak rakyat supaya memulau semua akhbar arus perdana sebagai satu tindak balas.

“Kalau dia gantung akhbar pembangkang, kita pun gantunglah akhbar dia.

“Kerajaan kena ingat gantung akhbar pun kita ada Internet dan SMS yang boleh membantu kita,” katanya. mStar Online


Perbezaan pendapat Nik Aziz-Hadi biasa – Dato’ Seri Nizar

23 Mac, 2009 2:09 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu penubuhan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dengan parti itu sebagai rahmat.

Beliau berkata, dalam PAS adalah perkara biasa apabila perbezaan pendapat dan kritikan berlaku.

“Apabila situasi ini berlaku, kita akan meraikannya sebagai satu rahmat.

“Malah sebelum ini banyak lagi terdapat perselisihan pendapat yang hebat berlaku dalam PAS, tetapi semua kejadian ini adalah kekuatan yang besar dan mampu mencambahkan pendapat dalam kalangan kami,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu, yang dilaporkan mengingatkan, Abdul Hadi agar berbincang dengannya dahulu sebelum membuat keputusan mengenai penubuhan kerajaan campuran.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mahu ada ramai nakhoda dalam satu kapal yang mengeluarkan arahan berbeza sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan menjejaskan kredibiliti PAS.

Menurut Mohammad Nizar, apa yang berlaku itu, sebenarnya bukan perselisihan pendapat atau prinsip parti, tetapi hanya perselisihan strategik dalam hala tuju PAS.

“Sebenarnya kedua-dua pemimpin tertinggi ini sokong menyokong antara satu sama lain demi untuk kebaikan parti,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


Ibrahim Ali tidak berubah

26 Februari, 2009 6:38 PM

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali menipu PAS Kelantan kononnya sudah berubah sebelum dicalonkan atas tiket PAS pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Beliau berkata, menurut laporan daripada ahli PAS, Ibrahim kerap mengadakan ceramah-ceramah di kawasan kampung dengan memburukkan kerajaan negeri Kelantan tentang isu pembangunan yang menurut dakwaannya lambat ditunaikan.

“Kita sudah terima banyak maklumat apa yang dilakukan di Pasir Mas daripada ahli kita. Dia (Ibrahim) memburukkan kita kononnya kerajaan negeri lambat membawa pembangunan. Kenapa dia perlu membuatkan kenyataan kepada umum. Sebaliknya benda ini boleh dibuat secara terus kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli, antara kerajaan negeri dan syarikat swasta, bangunan asrama 10 tingkat untuk pelajar Kelantan di Kaherah, Mesir bernilai RM17 juta, di sini semalam.

Takiyuddin sebelum ini berkata, PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik parti itu.

Beliau turut menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan Ahli Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Takiyuddin berkata, walaupun tiada perjanjian yang dibuat antara PAS dan Ibrahim sebelum pilihan raya umum namun Ibrahim menyatakan beliau sudah berubah.

“Atas sebab kita yakin Ibrahim telah berubah kita terima dia untuk bertanding atas tiket PAS di Pasir Mas. Tetapi rupa-rupanya dia tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata, Ibrahim juga ketika di Parlimen mengkritik bukan dengan cara berhemat dengan menggunakan kata-kata kesat terhadap Anggota Parlimen Pakatan Rakyat dan PAS.

“Dia kena ingat apabila dia di Parlimen dia membawa lambang PAS Kelantan. Jika cara mengkritiknya itu tidak betul ia mencerminkan PAS Kelantan dan ini tidak elok. Nanti apa pandangan orang dan dia telah jejaskan imej PAS Kelantan,” katanya.

Katanya, Ibrahim seharusnya bertemu dengan PAS dan Pakatan Rakyat jika beliau tidak berpuas hati terhadap mana-mana isu. Pada majlis yang sama, ketika diminta mengulas mengenai Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata: “Ikut dialah, dia orang bebas.”

Sumber berita : Sinar Harian