SPR perlu diberi kuasa autonomi?

31 Disember, 2008 7:27 PM

Tan Sri Abdul Rashid

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, meminta kerajaan mengkaji untuk memberi kuasa autonomi kepada suruhanjaya itu bagi membolehkannya mengendalikan pilihan raya dengan lebih cekap, telus dan adil. Beliau berkata kepada para pemberita semalam, bahawa ianya perlu bagi memastikan SPR tidak dituduh oleh orang ramai terutama pemimpin parti pembangkang sebagai alat kerajaan memenangi pilihan raya.

“Kita perlu mengkaji semula fungsi SPR supaya tiada lagi tuduhan dilemparkan dan mempertahankan diri kerana sering dituduh tiada gigi kerana tidak boleh mengambil sebarang tindakan.”

“Kuasa SPR sepatutnya diperluaskan supaya boleh memberi amaran kepada media terutama media elektronik mengenai had laporan mereka. Oleh itu, kempen pilihan raya akan lebih telus.”

katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan baru SPR di Presint 2, di sini semalam.

Abdul Rashid, 66, bersara mulai hari ini dan tempat beliau diganti oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Beliau juga sudah mencadangkan diwujudkan badan khas bagi mengkaji keperluan SPR dan kedudukan undang-undang pilihan raya. Abdul Rashid berkata, beliau sudah mengemukakan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menawarkan diri menjadi penasihat jika badan itu diwujudkan.

Walaupun cadangan beliau baik tetapi ianya sudah terlambat. Persoalan aku ialah:

1. Kenapa cadangan itu dibuat apabila dia mengetahui bahawa kontraknya tidak akan dilanjutkan lagi?
2. Mengapa beliau tidak mengusulkan kepada PM lebih awal sewaktu beliau masih lagi memegang jawatan Pengerusi SPR?
3. Tan Sri tidak perlu menawarkan diri untuk menjadi penasihat badan khas tersebut kerana sewaktu beliau masih di dalam jawatan, apakah reformasi atau transformasi yang telah beliau lakukan di dalam SPR? Isu dakwat kekal yang dicadangkan oleh pihak Pakatan Rakyat agar digunakan dalam PRU 12 lalu juga tidak dapat dilaksanakan oleh beliau.
4. Jika beliau dilantik kepada jawatan penasihat itu, aku risau gelombang BERSIH kali ke-2 akan berlaku dengan kapasiti yang lebih besar pula! 😀
5. Tan Sri tidak perlu fikir lagi tentang urusan kerja. Ucapan aku kepada beliau ialah Selamat Bersara Tan Sri!


Cabaran Ekonomi Tahun 2009

31 Disember, 2008 4:15 PM

Aku tertarik apabila mendengar berita di dalam Bernama TV Isnin lepas. Seorang jurucakap syarikat GlaxoSmithKline berkata, tahun 2009 yang akan tiba esok akan memberi kesan kepada sektor pengguna (consumer) berbanding sektor penjagaan kesihatan (healthcare).

Dengan iklim ekonomi yang tidak pasti, dijangkakan sektor penjagaan kesihatan akan terus mendapat permintaan seterusnya mengelakkan sektor tersebut daripada mengalami kegawatan. Ini berita baik kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor yang disebutkan pada awal topik ini. Jadi kepada anda yang ingin menceburi atau menukar perniagaan kepada bidang yang baru, aku sarankan anda beralih kepada sektor ini.

Lepas ini ramailah orang yang akan berlumba-lumba menceburi bidang perniagaan berasaskan penjagaan kesihatan seperti ubat-ubatan berasaskan herba, ubat-ubatan moden, rawatan alternatif/tradisional, alatan senaman, spa, gimnasium, salun kecantikan dan lain-lain lagi. Ini sudah semestinya kerana walaupun ekonomi dijangka merudum, orang ramai tetap ingin kelihatan langsing, cantik, cergas dan sihat. Apa yang pasti permintaan tongkat ali dan kacip fatimah akan terus meningkat! Hahahaha… 😀


Pengertian Hijrah Mohd Saiful Bukhari Azlan

31 Disember, 2008 1:11 PM

Bernama TV

Selesai menonton Bernama TV pada malam Isnin lepas, 29.12.2008 aku menukar siaran televisyen kepada Buletin Utama TV3. Semenjak keluarga aku melanggan siaran Astro pada awal tahun ini, siaran berita Bernama TV pada setiap jam 8 malam merupakan saluran berita rasmi kami sekeluarga di rumah. Sesuai dengan slogan Baru dan Benar, bahan-bahan berita yang disampaikan berkualiti, tepat dan memenuhi keperluan diri aku.

Setelah mengalihkan siaran ke TV3, pembaca berita lelaki pada malam itu telah membaca perihal ucapan Mohd Saiful Bukhari Azlan (Saiful) berkaitan pengertian Maal Hijrah dalam laman blog peribadinya. Huh! Dengus aku. Siapakah dia di Malaysia ini sehingga diberi liputan di dalam Buletin Utama TV3? Adakah dia seorang bertaraf ahli politik, seorang penjawat awam di dalam kerajaan ataupun seorang selebriti? Adakah perkara atau individu tersebut boleh dianggap sebagai satu nilai berita di dalam slot TV3? Hebat! Insan yang bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan ini.

Oleh kerana perasaan ingin tahu aku yang tinggi, aku cari laman blog beliau di Internet. Padahal aku bukanlah pengunjung yang kerap ke sana sebelum ini. Aku dah baca artikel yang telah beliau poskan. Saiful menyatakan bahawa tempoh 6 bulan terakhir ini adalah yang paling mencabar dalam hidup dia. Dia juga menyatakan bahawa dia benar-benar dapat menghayati konsep pengorbanan, hijrah dan konsep penyerahan diri kepada Allah S.W.T.

Adakah konsep pengorbanan yang Saiful maksudkan ialah bersembunyi daripada penglihatan orang ramai? Dalam konteks hijrah beliau, dia mengakui bahawa dia telah berhijrah daripada seorang yang takut untuk menegakkan kebenaran kepada seorang yang berani untuk menegakkan kebenaran. Jika anda katakan yang anda berani kenapa sukar kami, rakyat Malaysia terserempak atau berjumpa dengan anda di mana-mana lokasi? Jika kamu berada di pihak yang benar, keluarlah daripada tempat persembunyian kamu dan jalanilah kehidupan seperti biasa macam manusia normal yang lain.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang anda katakan telah meliwat kamu iaitu Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas bergerak ke mana sahaja sama ada di dalam Malaysia atau di luar negara. Mungkin Saiful ingin memberitahu kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau dalam proses penyerahan diri kepada Allah S.W.T. pada waktu ini. Jika benar bagai dikata Alhamdulillah aku ucapkan. Saiful mungkin sedang memantapkan ilmu agama beliau seperti melakukan solat 5 waktu, membaca Al-Quran, berzikir, berwirid dan bertahmid memuji keEsaan Allah S.W.T. Semoga Saiful diberikan nur hidayah dan berada di jalan yang lurus sempena Maal Hijrah kali ini.


Palestin: Cukupkah sekadar mengecam dan mengutuk serangan Israel sahaja?

30 Disember, 2008 7:01 PM

kecam serangan Israel

Rejim Zionis melancarkan serangan besar-besaran semalam ke atas penempatan awam di Gaza. Tentera Israel menggunakan semua kelengkapan ketenteraan yang dimiliki untuk memusnahkan pergerakan Hamas yang telah memasuki hari ketiga sejak Sabtu, 27.12.2008 yang lalu.

Pengeboman bertalu-talu Israel melalui lebih 300 serangan udara sejak tengah hari Sabtu lalu menyebabkan kemusnahan teruk di Gaza dan meruntuhkan bangunan sehingga berkecai. Pihak tentera berkata kapal perangnya juga melancarkan pengeboman terhadap sasarannya dari laut.

Salah satu serangannya terkena bangunan lima tingkat yang menempatkan bahagian wanita di Universiti Islam, sebuah simbol terkemuka Hamas di Gaza.

Namun, apa yang menyedihkan ialah ramai nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman tidak berperikemanusiaan puak Yahudi ini.

Walau bagaimanapun, kebanyakan negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia hanya mampu mengecam dan mengutuk serangan tentera Israel sahaja? Soalnya, adakah dengan melakukan bantahan dan demonstrasi sudah cukup untuk membuatkan rejim Zionis itu daripada berundur dari sempadan Gaza? Sudah tentu TIDAK!

Liga Arab yang sejak dulu tidak pernah mencapai kata sepakat dalam isu Palestin ini dijangka akan terus bertelingkah sesama para pemimpin mereka. Malaysia selaku Pengerusi OIC perlu melakukan satu resolusi yang drastik kepada PBB untuk menangani isu yang sudah sekian lama tercetus, seperti tidak ada penghujungnya. Apa yang aku jangkakan PBB perlu menghantar pasukan tentera pengaman di sana dan jika boleh memaksa tentera Israel berundur dan menghentikan serangan kepada penduduk Palestin.

Ia nampak seakan sukar tetapi itu sahaja jalan yang dapat aku fikirkan buat masa ini. Walaupun aku tahu salah satu negara yang mempunyai kuasa veto di dalam Majlis Keselamatan PBB itu sendiri ialah Amerika Syarikat yang juga sekutu kuat Israel. 😦


Tokoh Maal Hijrah Malaysia 1430

30 Disember, 2008 6:01 PM

Datuk Seri Harussani Zakaria

Mufti negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan Ulama dari Syria, Prof Dr Wahbah Al-Zuhaily telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430H/2008M peringkat kebangsaan semalam.

Kedua-dua tokoh berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM100,000 daripada kerajaan, RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, plak, sijil dan hadiah iringan. Mereka menerima anugerah itu daripada Timbalan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Datuk Seri Harussani yang berasal dari Kampung Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak dipilih berdasarkan kepada sumbangan menyebarkan Islam dengan tekun dan berdedikasi.

Beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik banyak menerima anugerah kerana menyumbang pada peringkat kebangsaan sebagai Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Pentashih Al-Quran, Lembaga Teks dan Pelesenan Al-Quran dan Pengerusi Penapisan Buku-Buku Bercorak Agama di Malaysia dan Penasihat kepada Kumpulan Maybank.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kedah dan Sekolah Anglo-Cina di Parit Buntar serta antara kumpulan pelajar Islam pertama yang mengikuti pengajian di Kolej Islam London pada 1989.

Pada sidang media Datuk Seri Harussani berkata, prinsip dan sikap menyatakan kebenaran dalam apa jua keadaan tanpa mengira kepada sesiapa perlu diamalkan jika mahu menjadi seorang Muslim yang baik.

Sementara itu, Dr Wahbah yang dilahirkan di Dir Atiyyah, Syria pernah dilantik memegang pelbagai jawatan antaranya perunding Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa, Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah di Bank Islam Al-Dauli, Bahrain, Ketua Bahagian Kajian Syariah Bagi Majlis Syarie bagi Kewangan Islam Bahrain dan anggota Majlis Fatwa Tertinggi Syria.

Dr Wahbah turut mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan ilmiah dan banyak hasil penulisan beliau menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.

Aku merasa bangga kerana salah seorang daripada idolaku, Datuk Seri Harussani Zakaria sememangnya layak dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kali ini. Pada pendapat aku, beliau seorang yang tegas dan berani menyuarakan pendirian tentang isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam khasnya dan juga umat Islam amnya. Tahniah dan Syabas Datuk Seri! 🙂


Almarhum Tuanku Ja’afar selamat disemadi

30 Disember, 2008 3:11 PM

jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar

Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86 tahun, selamat disemadikan di Makam Diraja Seri Menanti petang semalam.

Jenazah Almarhum dibawa dari Istana Besar Seri Menanti dengan menaiki Maharaja Diraja (kenderaan khas untuk membawa jenazah) selepas solat Asar ke Makam Diraja dengan penuh kebesaran dan adat istiadat Raja-Raja Melayu sebelum disemadikan.

Pergerakan kenderaan yang membawa jenazah Almarhum ke Makam Diraja itu diiringi 86 das tembakan meriam. Almarhum juga pernah ditabalkan menjadi Yang DiPertuan Agong Malaysia ke-10 dan memerintah Negeri Sembilan selama 41 tahun selamat disemadikan pukul 5.30 petang. Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Murtadza Ahmad membacakan talkin dan tahlil.

Turut berangkat ke istiadat pemakaman itu ialah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Antara tetamu kehormat yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Timbalan Yang DiPertuan Agong yang juga Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Almarhum Tuanku Ja’afar mangkat pada pukul 11.45 pagi Sabtu lepas di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban setelah diserang angin ahmar.

Baginda meninggalkan Tunku Ampuan, Tuanku Najihah Almarhum Tunku Burhanuddin, tiga putera dan tiga puteri iaitu Tunku Dara Naquiah, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran, Tunku Jawahir, Tunku Irinah dan Tunku Putera Nadzaruddin.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, patik merafak sembah takziah kepada seluruh keluarga Diraja Negeri Sembilan berikutan kemangkatan Almarhum Tuanku. Semoga Allah S.W.T menempatkan Almarhum di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin…


Tuanku Muhriz dimasyhurkan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11

30 Disember, 2008 2:44 PM

Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir

Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah dimasyhurkan sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada petang Isnin, 29 Disember 2008. Baginda telah dipilih bagi menggantikan bapa saudaranya, Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat pada hari Sabtu yang lalu 27 Disember 2008.

Baginda yang berusia 60 tahun kini, sepatutnya berpeluang menjadi Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1967. Namun pada waktu itu, baginda hanya berusia 18 tahun dan disebabkan masih muda, tampuk pemerintahan yang kosong ekoran kemangkatan ayahandanya, Almarhum Tuanku Munawir diserahkan kepada bapa saudaranya. Selepas 41 tahun, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin semalam memutuskan Tunku Muhriz kini bergelar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pengumuman pemasyhuran itu dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, 47, pada pukul 3.45 petang semalam dalam majlis penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Berbeza dengan negeri-negeri lain, pemilihan Raja di Negeri Sembilan ditentukan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau, Undang Luak Johol dan Tunku Besar Tampin daripada senarai Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Laxamana (Tunku Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar), Tunku Muda Serting (Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja’afar), dan Tunku Panglima Besar (Tunku Nazaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar).

Istiadat pemasyhuran yang dimulakan dengan tembakan meriam 32 das diteruskan sebaik kesemua Putera Yang Empat, Anak Raja Bergelar, Tunku Besar Tampin dan Undang Yang Empat memasuki Balairong Seri.

Sebaik semua Undang Yang Empat menghadap Tuanku Muhriz, persembahan Mas Manah disampaikan oleh Datuk Mubarak Dohak, sekali gus kedengaran tembakan meriam 21 das menandakan pemasyhuran baginda sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!