Permohonan Nizar didengar 9 Julai

20 Jun, 2009 11:14 AM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pada 9 Julai ini untuk mendengar permohonan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mendapat kebenaran merayu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 3.22 petang di sini, semalam.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar juga memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu digantung jika kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Selain itu, beliau memohon kepada Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi supaya kes itu didengar oleh panel penuh 11 Hakim Mahkamah Persekutuan. Berita Harian


Nizar 5 Zambry 1

15 Mei, 2009 8:02 PM

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11/05/2009 yang lalu, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

Apa yang menarik, permohonan Zambry itu dibenarkan oleh hakim, Dato’ Ramly Mohd Ali dalam tempoh satu hari sahaja! Tetapi permohonan Nizar yang difailkan pada hari Rabu, 13/05/2009 mengambil masa selama 5 hari untuk rayuan tersebut didengar di dalam mahkamah.

Hebat sungguh proses keadilan di Malaysia ini, ya? Jika perkara yang melibatkan kepentingan kerajaan UMNO/BN, dengan pantas keputusan akan dibuat oleh hakim yang ditugaskan. Namun, jika isu yang melibatkan Pakatan Rakyat, usul tersebut akan dilengah-lengahkan.

Nizar dinasihatkan agar jangan gentar dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Ramai orang yang akan memberikan sokongan kepada diri anda terutamanya daripada pendokong mahupun penyokong daripada PAS, PKR, DAP, rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang bersimpati di atas kejadian yang menimpa diri anda. Manakala Zambry pula, hanya satu golongan sahaja yang akan menyokong perjuangan beliau iaitu ahli-ahli parti UMNO.

Itulah sebabnya penulis berpendapat bahawa Nizar disokong oleh 5 kelompok kumpulan, bagi Zambry pula hanya UMNO sahaja yang menyokong dirinya. Keputusan muktamad, Nizar 5 – 1 Zambry!. 😀


Nizar kembali MB Perak selepas 96 hari

11 Mei, 2009 7:41 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin melambai tangan

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan permohonan diumumkan. - foto The Star oleh ONG SIN HOONG

Selepas 96 hari, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat diisytiharkan sebagai Menteri Besar sah, tetapi keputusan hari ini belum memberi petanda jelas sama ada krisis politik Perak yang memasuki bulan ketiga akan menemui jalan penyelesaian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.45 petang tadi.

Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan SUK Perak.

Ratusan penyokong Nizar berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak tengah hari tadi dengan kawalan keselamatan ketat.

Hakim Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan.

Selain itu tiada sebarang usul undi tidak percaya dibawa terhadap Nizar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry, Dato’ Cecil Abraham untuk menangguhkan keputusan pengesahan kedudukan Nizar sebagai MB Perak tetapi mereka boleh mengemukakan rayuan.

Dalam kertas penghakiman yang dibacakan lebih satu jam bermula pukul 2.30 petang tadi, Abdul Aziz berkata, satu-satunya cara untuk melucutkan jawatan Nizar sebagai Menteri Besar adalah melalui keputusan undi tidak percaya dalam sidang DUN.

Beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) membawa 31 ADUN termasuk tiga wakil rakyat Bebas menghadap Sultan Perak telah menyebabkan bukti yang menunjukkan Nizar kehilangan undi majoriti itu datang daripada pelbagai sumber.

Dalam reaksi segera, Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kuala Kangsar, dijangka esok pagi bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry selaku Menteri Besar sejak Februari lalu akan dikaji semula kecuali keputusan untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu yang berakhir dengan kekecohan.

“Kita akan minta Dato’ Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah,” katanya.

Nizar juga memberitahu mesyuarat Exco akan diadakan segera.

“Kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu,” katanya.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut 6 Februari berikutan krisis politik Perak.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga ADUN daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Azlan berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar baru pada 6 Februari.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry juga diwakili oleh Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah. mStar Online


Tsunami politik kedua Malaysia

9 April, 2009 6:43 PM
Lim Kit Siang

Lim Kit Siang

Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan kemenangan dalam kedua-dua kerusi di Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikatakan sebagai tsunami politik kedua di negara ini dalam tempoh 13 bulan.

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berkata, keputusan di kedua-dua ‘bukit’ itu juga menunjukkan rakyat menolak pelantikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

“Peningkatan dalam majoriti undi yang diperoleh calon PR juga mengesahkan apa yang berlaku pada 8 Mac tahun lalu bukanlah satu kebetulan.

“Tetapi Barisan Nasional (BN) masih gagal untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakyat ini malah merampas Perak tanpa proses demokrasi dan tidak beretika dua bulan lalu.

“Jika mereka (BN) mendapat mesej yang disampaikan itu, kejadian rampasan di Perak tidak akan berlaku. “Kekalahan BN juga menunjukkan Najib telah mendapat dua undi ‘tidak percaya’ dalam tempoh empat hari pemerintahan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini semalam.

Kit Siang berkata, antara sebab kekalahan BN di kedua-dua kawasan berkenaan ialah kerana rampasan kuasa di Perak, ketidakprihatinan Najib untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan beberapa isu termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia.

“Selain itu masyarakat juga menolak kehadiran bekas Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad dan era ‘Kemahathiran’. “Baru dua hari memimpin negara, sumbangan Perdana Menteri yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi diketepikan tetapi Perdana Menteri keempat pula yang diutamakan,” katanya.

Menurutnya, antara kegagalan Najib dalam tempoh empat hari pemerintahannya ialah kegagalan membebaskan tahanan ISA dengan serta merta dan kemenangan PR di dua ‘bukit’ yang mencatatkan peningkatan majoriti.

“Kegagalan terakhir beliau ialah tidak dapat mengumumkan barisan kabinetnya dalam masa yang dijanjikan.

“Beliau seharusnya memanggil persidangan Parlimen untuk memberikan peluang anggota membuang undi untuk tengok berapa orang yang tidak percaya terhadap pimpinannya seperti yang dilakukan oleh Tun Abdullah dan Tun Hussein Onn sebelum menerima jawatan tertinggi negara itu,” katanya.

Sementara itu, berkaitan kekalahan PR di Batang Ai, beliau menyatakan, keseluruhan pimpinan PR akan mencari jalan bagaimana untuk menyampaikan mesej kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

”Kami akan merancang strategi bagaimana untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi di Sabah dan Sarawak. “Saya percaya penghuni kedua-dua negeri itu juga dahagakan pembaharuan selepas lebih 50 tahun ditindas,” katanya. Kit Siang ditemani oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran. Sinar Harian Edisi Perak


Dato’ Seri Nizar buktikan beliau tidak menderhaka kepada Sultan Azlan Shah

4 April, 2009 4:16 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memberi kebenaran kepada Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mencabar kesahihan pelantikan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim telah membuat keputusan bahawa permohonan yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada Ferubari lepas adalah tidak remeh, tidak menyusahkan dan mempunyai kes prima facie untuk dihujah di mahkamah.

Mohammad Nizar dalam permohonannya tidak mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Sultan Azlan Shah cuma mempersoalkan mengenai kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak sahaja.

Peguambela Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu bahawa soal Mohammad Nizar derhaka kepada Sultan Azlan Shah tidak timbul kerana Mohammad Nizar tidak pernah mempersoalkan kuasa Sultan.

Hakim Abdul Aziz juga bersetuju dengan hujahan Sulaiman bahawa Mohammad Nizar, dalam permohonannya juga menyebut tentang quo warranto (cara mana) bagi Zambry menunjukkan sebab di bawah kuasa mana beliau (Zambry) dilantik menjadi Menteri Besar yang sah.

Jelas di sini bahawa, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menjunjung tinggi kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu amnya, terutama sekali kepada Paduka Seri Sultan Azlan Shah selaku Sultan Perak khasnya. Beliau langsung tidak menyebut tentang nama Baginda dalam afidavit tuntutannya di mahkamah.

Dato’ Seri Nizar ternyata tidak menderhaka seperti yang dilaung-laungkan oleh ahli-ahli UMNO dan BN di dalam media-media massa kawalan mereka. Semoga keputusan Mahkamah Tinggi KL ini menjadi pemangkin kepada pendokong PR untuk menepis segala tohmahan buruk kepada calon kita yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Gantang.

Beritahu kepada semua pengundi Bukit Gantang bahawa Dato’ Seri Nizar adalah calon terbaik yang mewakili semua kaum bagi membawa suara mereka di Parlimen nanti. KEKALKAN KEMENANGAN UNTUK RAKYAT!


Kami tidak bermusuh dengan Sultan – MB Nizar

6 Mac, 2009 5:40 PM

“Jangan sekali-kali tuduh kami mengkhianati Sultan. Kami tidak pernah memusuhi baginda, oleh itu tiada sebab kami menaruh kebencian terhadapnya.

“Musuh kami bukan Sultan. Musuh kami bukan Istana, tetapi Najib Tun Razak, kata Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semasa berceramah dalam rangka lawatannya ke seluruh negeri Perak di Sayong Tengah dekat sini kelmarin.

Tegasnya, Najib bersama UMNO-Barisan Nasional yang telah mengkhianati Sultan menggunakan “kuasa Istana” untuk merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah dari tangan rakyat.

Katanya, Najiblah yang merobek, merompak tiga orang ADUN Pakatan Rakyat dan menimbulkan kemelut krisis antara Sultan dengan rakyat Perak.

“Padahal semasa kami memerintah hampir sebelas bulan Pakatan Rakyat Perak, hubungan saya dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah cukup intim di mana pada setiap minggu saya datang mengunjungi Baginda. Begitu juga kemesraan saya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah cukup baik,” tegasnya.

Kerana itu, kata Nizar, mereka cemburu. Mereka tidak sanggup melihat pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak menguruskan kerajaannya dengan baik yang dapat diterima oleh Sultan dan pelbagai keturunan rakyat.

Katanya, UMNO-BN tidak sanggup melihat kempimpinan kami begitu menarik diterima rakyat berteraskan konsep tugasan dengan keadilan, ketelusan dan kebajikan.

Sehubungan itu Nizar menyeru saki-baki ahli UMNO supaya keluar daripada kerajaan haram sekarang dan masuk Pakatan Rakyat, kerajaan yang sah di sisi undang-undang.

“Jangan sokong kerajaan haram, DUN haram, Exco haram,” tegas Nizar.

Berita asal : HarakahDaily.Net


UMNO rampas hak rakyat: Nizar

2 Mac, 2009 5:37 PM

Lebih 15,000 orang berkumpul untuk mendengar ceramah perdana yang disampaikan oleh bekas Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang diadakan di Perkarangan Pejabat PAS Kawasan Pokok Sena pada malam terakhir Ekspo Pertanian dan Produk Halal di sini, kelmarin.

Sambutan daripada masyarakat berbilang kaum itu dianggap sebagai isyarat yang jelas bahawa Ir Nizar merupakan MB yang sah dan mewakili rakyat Perak bukan dakwaan kosong Pakatan Rakyat.

Semasa menyampaikan ucapan Nizar banyak menyentuh isu-isu semasa yang berlaku di Perak serta kerakusan UMNO merampas Perak tanpa mengira dengan apa cara sekalipun.

“Apa yang dilakukan Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu kekejaman merampas hak rakyat dengan mengetepikan undang-undang perlembagaan dan merampas amanah rakyat dalam pilihan raya lalu yang diberikan kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Dalam setiap perlawanan termasuk perlawanan dalam politik, kalah atau menang adalah perkara biasa, namun apa yang berlaku di Perak strategi digunakan BN adalah secara kotor dan tidak adil di sisi undang-undang negara,” katanya.

Nizar berkata, selama 51 tahun UMNO memerintah negara, mereka melakukan satu pembohongan besar terhadap rakyat.

“Sebanyak 12 kali pilihan raya mereka tidak pernah kalah di negeri Perak namun pada pilihan raya umum lalu mereka tumpas, tetapi selama 10 bulan PAS menerajui Perak mereka (UMNO) membuat pelbagai kekecewaan untuk merampas semula kuasa mentadbir negeri.

“Saya mencabar kerajaan yang ditubuhkan di Perak secara haram sekarang agar mengadakan pilihan raya dan biar rakyat yang memilih siapa yang harus menerajui Perak sekali gus dapat memuaskan hati setiap pihak dan adil buat rakyat,” katanya.

Turut sama menyampaikan ucapan dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar, Timbalan Presiden PAS dan Dato’ Husam Musa.

Ceramah tersebut mendapat kerjasama yang baik daripada peniaga dan orang ramai serta pegawai keselamatan yang dihantar untuk membantu kesesakan lalu lintas.

Sumber berita : Sinar Harian