Toyota Camry Exco Pakatan Rakyat Perak akan dijual

20 Jun, 2009 11:01 AM

16 Toyota Camry dijual tidak lama lagi

IPOH: Status 16 kereta Toyota Camry 2.4V yang digunakan bekas pemimpin Pakatan Rakyat dijangka dapat dijual dalam masa satu atau dua minggu lagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim enggan mengulas berapa ramai yang membida kereta terbabit dengan hanya menyatakan jumlahnya sudah memadai.

Selain itu, apabila ditanya berhubung harga bidaan tertinggi yang diperoleh, Dr Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan perlu dirujuk di dalam laporan penjualan kereta terbabit.

“Saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut mengenai status kereta berkenaan. Biarlah kerajaan negeri membuat keputusan dan tindakan lanjut berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Sebelum ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan kenyataan tender menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Kereta itu menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 itu semuanya didaftarkan pada 9 Januari lalu. Berita Harian


Dato’ Bung Moktar menghina Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar

17 Jun, 2009 10:00 AM

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Dato’ Bung Moktar Radin berkata, Nizar bertindak sebagai Hang Tuah apabila mengenakan lilitan dan melaungkan slogan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Nasib baik beliau tak bawa keris ke dalam Dewan, jika tidak beliau pun sudah tentu hunus keris, nasib baik beliau tidak bawa pistol,” katanya.

“Beliau kata jurutera, apa punya jurutera… beliau kena menjuruterakan diri beliau dulu,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen BN dari Kinabatangan itu, “Ini Dewan Rakyat, bukan Dewan Undangan Negeri Perak, yang boleh bersidang di bawah pokok.”

Itu adalah di antara kata-kata sinis yang diucapkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan pada Isnin lalu, 15.06.2009. Namun, kata-kata yang diluahkan oleh beliau tidak menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan beliau sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman.

Tidak mungkin ada Ahli Parlimen yang boleh membawa masuk senjata atau senjata api ke dalam sidang Dewan Rakyat. Bung Moktar juga seakan menyindir kelulusan akademik Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru mengangkat sumpah itu. Adakah beliau berasa cemburu dengan jawatan Nizar sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke-10?

Bung Moktar jangan lupa, angkara siapa yang menyebabkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) Perak bersidang di bawah pokok pada 03.03.2009 yang lalu? Kerajaan BN dengan bantuan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, polis dan FRUlah yang telah menghalang ADUN-ADUN PR Perak daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghadiri sidang DUN.

Kepada Bung Moktar, lain kali cakap tu biarlah beralas dan logik, jangan suka nak merapu sahaja sehingga menampakkan sifat kebudak-budakan dalam diri seorang wakil rakyat dan juga pemimpin. Orang bandar berasa malu dengan sikap dan tingkah laku anda sebagai seorang Yang Berhormat.


Kes belum selesai, Nizar kemuka rayuan 8 Jun

4 Jun, 2009 6:15 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, panel peguam yang mewakili beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian pada tarikh itu, walaupun belum menerima kertas penghakiman bertulis daripada Hakim Mahkamah Rayuan.

“Walaupun keadaan ini menyukarkan peguam Pakatan Rakyat (PR), tetapi kita akan teruskan proses ini dengan bukti dan fakta yang ada,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan PR di Wisma DAP di sini, semalam.

Pada 12 Mei lalu, Zambry mengemukakan rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN dan dengan itu Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berkata, semua 69 individu termasuk beberapa wakil rakyat PR yang ditahan di kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika sidang DUN pada 7 Mei lalu akan membuat laporan polis.

“Semua mereka akan berkumpul di Wisma DAP pada jam 9.30 pagi untuk membuat laporan, bahawa polis telah menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka tanpa sebab semata-mata kerana memakai baju hitam,” katanya. Sinar Harian


Mogok lapar tiada dalam Islam, Nizar ajak ahli PAS puasa sunat 3 hari

26 Mei, 2009 7:46 PM

Tiada mogok lapar dalam perspektif perjuangan Islam, sebaliknya manusia disunatkan berpuasa dan bermunajat kepada Allah supaya setiap urusan menjadi ibadah. Mogok lapar adalah suatu bentuk penyeksaan terhadap diri yang ditentang Islam dan tidak pernah dituntut dalam agama.

Sebaliknya, dalam perjuangan Islam, penganutnya perlu menjadikan perjuangan dan urusan sebagai ibadah sambil merujuk kepada amalan puasa dan berdoa.

Sebelum ini, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula hari ini bagi menyampaikan mesej agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Mogok berkenaan akan diadakan di Wisma DAP yang terletak berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan DUN.

Sementara itu Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengajak seluruh ahli PAS untuk bersama-sama berpuasa sunat selama tiga hari bagi menunjukkan sokongan kepada usaha PR.

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar berkata orang Islam digalakkan berpuasa sunat pada awal setiap bulan dan hari ini adalah 1 Jamadilakhir 1430 Hijrah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya rasional majlis mogok lapar pemimpin Pakatan Rakyat yang bermula hari ini.


Nizar di Istana Iskandariah sempena Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Sultan Perak

12 Mei, 2009 6:53 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat kelihatan berbual mesra dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah.

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat kelihatan berbual mesra dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berada di Balai Rong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bersama isteri, Datin Seri Fatimah Taat pagi tadi. Beliau dipersilakan duduk di tempat yang dikhaskan untuk Menteri Besar dan pembesar-pembesar kanan negeri.

Beliau telah menghadiri majlis penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena hari keputeraan Sultan Azlan Shah. Turut hadir pada majlis itu barisan Exco daripada Pakatan Rakyat termasuk Exco Kanan, Dato’ Ngeh Koo Ham.

Walau bagaimanpun, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco Barisan Nasional yang baru mengosongkan jawatan mereka semalam dan bilik masing-masing di Bangunan Perak Darul Ridzuan tidak kelihatan.

Lebih 286 penerima darjah kebesaran dan pingat hadir pada majlis tersebut hari ini.


BN Perak hormati keputusan mahkamah, polis kawal bangunan SUK Perak

11 Mei, 2009 8:30 PM
FRU kawal Bangunan Perak Darul Ridzuan

KAWAL...Pasukan FRU bersiap sedia mengawal perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan sejak petang Isnin, 11/05/2009. Gambar mStar Online.

Barisan Nasional (BN) Perak akan menghormati keputusan mahkamah yang mengesahkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dengan mengosongkan bangunan SUK dengan segera, kata pembantu Zambry Abdul Kadir.

Bangunan SUK menempatkan Pejabat Menteri Besar dan juga Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai hari ini bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku, kata Ketua Polis Perak, Dato’ Zulkefli Abdullah.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan ini.

“Polis telah diarah berada di kawasan bangunan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dan anggota Exco kerajaan negeri terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Selain polis, beliau berkata, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga telah diarah berkawal di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu. Katanya sehingga pukul 6.30 petang ini keadaan adalah terkawal.


Semua media dialu-alukan buat liputan DUN Perak – Nizar

4 Mei, 2009 6:28 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengalu-alukan semua media untuk menghadiri mensyuarat sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

“Saya amat mengalu-alukan semua jenis media termasuk ‘Media Baru’ dan mereka bebas membuat liputan semasa persidangan DUN berlangsung dan saya ingin nyatakan Pakatan Rakyat tidak sekali-kali pernah menghalang sebarang liputan media,” jelas beliau semasa sidang akhbar di ibupejabat KeADILan semalam.

Berikutan Setiausaha dewan Abdullah Antong Sabri yang digantung Speaker V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan media membuat liputan semasa sidang DUN pada 7 Mei dan hanya membenarkan media tertentu sahaja dapat masuk ke dewan.

Sivakumar, dalam satu kenyataan beliau hari ini memberitahu bahawa rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri dan hujah wakil rakyat mereka di dalam Dewan Undangan Negeri seiring mendukung prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Sempena hari Kebebasan Media Sedunia 2009 yang disambut semalam, Penasihat Agong DAP, Lim Kit Siang berkata bahawa tindakan tersebut adalah sebagai satu diskriminasi dan ketidakadilan terhadap media yang tidak seharusnya berlaku.

“Saya merasa kesal atas tindakan demikian terjadi pada waktu seluruh dunia memperjuangkan hak dan kebebasan media. Ini adalah satu tindakan yang memalukan,” jelas beliau semasa sidang akhbar tersebut.

Berpegang kepada prisnsip itulah, maka Sivakumar telah membuat ketetapan membenarkan semua pihak media membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei ini.

“Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

“Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya,” katanya dalam kenyataan yang disiar dalam blognya. – SKO.