Pakatan Rakyat tidak amal sikap diskriminasi – Nizar Jamaluddin

30 April, 2009 6:36 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam memberikan bantuan kepada golongan tertentu sebaliknya bantuan diberikan kepada semua yang layak.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sepanjang 11 bulan menerajui Perak, PR memberikan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada rakyat seperti pemberian air percuma, sumbangan kepada anak-anak yang berjaya memasuki universiti dan sebagainya.

Menurutnya, sepanjang Barisan Nasional (BN) menerajui Perak, rakyat dibiarkan merempat dan hidup dalam kemiskinan serta memilih orang tertentu untuk diberikan bantuan.

“Mereka tidak membantu rakyat dan membiarkan rakyat hidup miskin kerana mereka menyokong PAS dan tidak menyokong parti mereka.

“Hari ini politik baru Malaysia kita tidak boleh ambil politik perkauman dan Islam menentang perkara itu,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Situasi Politik Semasa di Markas PAS Teluk Intan, Padang Tembak.

Menurutnya, kemenangan beliau di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil lalu sebenarnya memberitahu BN bahawa rakyat Perak sebenarnya mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Beliau berkata, rakyat di Bukit Gantang sebenarnya mewakili seluruh rakyat Malaysia yang menolak UMNO dan BN serta menyatakan bahawa mereka tidak mahu lagi politik perkauman.

Menurutnya, UMNO sanggup merampas hak rakyat dan tidak pernah mengambil tahu sama ada perbuatan mereka itu halal atau haram.

Nizar berkata, UMNO langsung tidak menghormati Speaker dan melanggar peruntukan undang-undang sesuka hati dengan menentukan sendiri kerajaan mereka tanpa mengira pandangan demokrasi rakyat.

Menurutnya, UMNO juga membuktikan bahawa pemimpin mereka terlibat dalam rasuah, malah masih memegang jawatan tertentu walaupun sudah terbukti terlibat dalam politik.

Beliau berkata, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus membantu merayu undi dan kempen sehingga berjaya memenangi kerusi Parlimen itu.

Menurutnya, semua pihak harus bersyukur di atas kemenangan ini dan selain itu perlu muhasabah diri kepada Allah dengan meminta keampunan supaya segala tindakan yang dibuat direstui.

Penyokong PR mendengar ceramah perdana yang disampaikan Nizar di Markas PAS Teluk Intan. – Sinar Harian Edisi Perak


Nik Aziz minta Nik Abduh padamkan kekeliruan dalam blog

30 April, 2009 5:31 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta anaknya, Nik Abduh supaya menjelaskan kekeliruan dan jangan biarkan kekeruhan bertapak lama berhubung isu dakwaan beliau terhadap pembantu ‘sesat’ bapanya yang dikatakan melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh dalam blognya mencatatkan beliau telah dihubungi ayahandanya dari Mekah, meminta beliau supaya ‘memadamkan kekeliruan’ dan ‘jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama’ berhubung isu itu.

“Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

“Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya katakan kepadanya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu. Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda.

“Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai.

“Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!” katanya yang dipetik daripada blognya.

Nik Abduh dalam blognya sebelum ini, bercerita mengenai pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi. – Sinar Harian


Mahkamah tidak ada hak tentukan kerajaan negeri Perak – Nizar Jamaluddin

30 April, 2009 12:23 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan mahkamah tidak berhak untuk menentukan siapa untuk mentadbir kerajaan sebaliknya hak berkenaan perlu diserahkan kepada rakyat.

Berucap dalam satu ceramah di Kampar, Nizar berkata, terdapat beberapa faktor dan fakta yang bercanggah sehingga Mahkamah Persekutuan terpaksa memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah tidak ada hak menentukan siapa kerajaan yang sebenar, kerana rakyat adalah yang paling berhak menentukan siapakah kerajaan yang sah,” katanya malam tadi di Dewan Tokong Cina Mambang Diawan di sini.

Menurut Nizar lagi, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 7 Mei 2009 akan turut dihadiri oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dan ianya disifatkan sangat mengerikan.

“7 Mei adalah tarikh yang mengerikan kerana hari itu akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga sama sekali, kami akan bermesyuarat esok untuk menyusun strategi. Kami akan hadir mengikut bidang tugas yang ada pada Speaker,” katanya lagi.

Ceramah itu turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Perak, Nga Kor Ming dan Chen Fock Chai, ADUN Titi Serong Drs Khalil Idham Lim, ADUN Malim Nawar Khesvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai.


PRK DUN Penanti: Pemuda PAS Pulau Pinang ingin letak calon, jangan membelakangi parti!

29 April, 2009 9:37 PM
bendera PAS

PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Pemuda PAS Pulau Pinang tetap mahu meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kecil DUN Penanti pada 31 Mei 2009 nanti. Ketuanya, Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata satu perbincangan dengan Presiden parti berhubung hal itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Tindakan itu bakal dilakukan berdasarkan permintaan ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu. Pemuda PAS Pulau Pinang kata Mohd Hafiz telah mempunyai calon yang sesuai.

Mohd Hafiz menyatakan setakat ini belum ada sebarang perbincangan yang dibuat di antara PAS dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung calon Pemuda PAS yang turut akan bertanding di DUN Penanti.

Tindakan yang akan dibuat merupakan tindakan yang tidak bijak. Mereka sepatutnya mendapatkan pandangan daripada Presiden parti dan semua kepimpinan PAS Pusat. Pengumuman seperti ini boleh menjejaskan hubungan kerjasama parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR). Ia juga membuka peluang kepada Barisan Nasional untuk menyerang PR kerana ikatan setiakawan dilihat seolah-olah rapuh dan seakan retak menanti belah.

Fikirkan semasak-masaknya semula tindakan yang ingin diambil. Jangan membelakangi keputusan parti. Muhasabah diri sendiri, rapatkan saf perjuangan yang telah terjalin sejak PRU ke 12 yang lalu, jangan beri peluang musuh mengambil kesempatan di atas kecelaruan pendapat kita dan yang paling utama, kekalkan kemenangan untuk rakyat Penanti, pendokong dan penyokong PR di Malaysia!. PAStikan kerusi DUN Penanti kekal milik kita bersama!.


Dr Mansor Othman calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil DUN Penanti

29 April, 2009 6:39 PM
Dr Mansor Othman calon pilihan raya kecil DUN Penanti

Dr Mansor Othman calon pilihan raya kecil DUN Penanti, di sebelah kiri gambar ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim manakala di sebelah kanan pula adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dr Mansor Othman diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Penanti, Pulau Pinang, malam semalam.

Pengumuman tersebut telah dilakukan oleh Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam.

Dr Mansor yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau adalah seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Beliau memiliki Ijazah Sains Politik dari Universiti Yale, Amerika dan Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta pernah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai Prof Madya dan Dekan Pusat Penyelidikan Dasar USM.

Sementara penglibatan dalam parti ialah sebagai Pengerusi Perhubungan PKR negeri Pulau Pinang yang pertama, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (2006-2008) dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau mewaili PKR dan bertanding di DUN Pulau Betong, Balik Pulau dan hanya kalah dengan 200 undi.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan perletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin 16 April lepas. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian pada 31 Mei depan.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim saman Ketua Pesuruhjaya SPRM

28 April, 2009 8:03 PM
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim-SPRM

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim-SPRM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan saman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan berikutan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Saman berkenaan telah difailkan melalui peguamnya, Sankara N Nair dari Tetuan S N Nair and Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam writ saman berkenaan, Abdul Khalid mendakwa dirinya difitnah ekoran kenyataan akhbar yang dibuat Ahmad Said pada 21 Februari 2009, yang bertajuk “There is evidence Khalid misused powers” yang ditulis oleh Audrey Dermawan dan diterbitkan The New Straits Times di mukasurat dua akhbar terbabit.

Dato' Seri Ahmad Said Hamdan

Dato' Seri Ahmad Said Hamdan

Menurut Sankara Nair, Ketua Pesuruhjaya SPRM, di bawah Akta SPRM tidak diberikan kuasa menyatakan kepada media mengenai hasil siasatan. Oleh itu, Ahmad Said didapati telah melanggar akta tersebut.

Dalam artikel berkenaan, Ahmad Said telah mendakwa Abdul Khalid telah terlibat dengan salah laku dana kerajaan negeri Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban dan menyelenggara kereta.

Sankara menambah, kuasa mutlak untuk menentukan sama ada terdapat cukup bukti terletak pada Peguam Negara.

Tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM mendakwa Abdul Khalid telah terlibat dalam salah laku, dalam kenyataan rasminya pada 21 Februari 2009 lalu, merupakan satu serangan ke atas reputasi dan bertujuan memfitnah beliau.


PRK DUN Penanti: Anwar Ibrahim umum calon malam ini di Yayasan Aman, Penanti

28 April, 2009 6:57 PM

Pilihan raya kecil DUN Penanti

Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR yang akan bertanding di DUN N12 Penanti sempena ceramah beliau di Yayasan Aman, Penanti pada jam 9 malam ini.

Ceramah yang dijangka akan dihadiri oleh ribuan penyokong Pakatan Rakyat bagi meraikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, wakil Menter Besar Kedah dan pimpinan PKR negeri-negeri lain.

Lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon PKR dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen di Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan UMNO masih terus mempertimbangkan sama ada mahu bertanding atau tidak. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa UMNO tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja.

Namun, amat sukar buat Najib untuk mengenepikan saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap bertarung demi maruah dan tradisi UMNO-BN.


Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Zambry sebagai MB Perak yang sah

28 April, 2009 6:27 PM
2 Menteri Besar Perak

Pertembungan di antara 2 orang Menteri Besar Perak di Mahkamah Persekutuan. Kes mereka berdua perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry mahu merujuk isu dua Menteri Besar negeri itu terus kepada Mahkamah Persekutuan tanpa menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mahkamah Tinggi kini dalam proses membicarakan isu-isu yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff bersetuju dengan bantahan awal peguam Nizar, Sulaiman Abdullah bahawa isu tertentu harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Alauddin berkata wujud percanggahan jelas dalam keterangan yang dikemukakan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-Undang yang mewakili Zambry. Menurut Alauddin, isu percanggahan fakta itu harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Selain cuba memintas Mahkamah Tinggi, Zambry telah menggerakkan usaha untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Beliau sebelum ini mendakwa bahawa Sultan dan bukan rakyat yang menentukan pihak mana harus menubuhkan kerajaan negeri.


Mohammad Nizar Jamaluddin failkan notis usul cabar Perkara 63 terhadap Zambry

28 April, 2009 2:06 PM
2 Menteri Besar Perak

2 Menteri Besar Perak...Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mewakili Barisan Nasional dan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan notis usul untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah tidak sah dan terbatal.

Mohammad Nizar, 52, memfailkan notis usul itu melalui peguamnya Tetuan Leong & Tan di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, dan menamakan kerajaan Perak, kerajaan Malaysia dan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan pindaan dalam Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar isu-isu perlembagaan berkaitan krisis politik negeri Perak, adalah bertentangan dengan Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang pindaan kepada Perkara 63 selepas Hari Merdeka hendaklah dibuat melalui Perkara 162(1) Perlembagaan Persekutuan, ini kerana bidang kuasa Mahkamah Persekutuan hanya boleh diberikan oleh Parlimen, dan bukan Dewan Perhimpunan Negeri.

Oleh itu Dewan Perhimpunan Negeri Perak tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP dan ia harus dideklarasikan sebagai batal dan tidak sah.

Dengan notis usul yang difailkan, Mohammad Nizar memohon supaya pendengaran prosiding rujukan undang-undang bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, yang ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, ditangguh sehingga permohonan didengar.


PRK DUN Penanti: Penamaan calon 23 Mei, hari mengundi 31 Mei 2009

27 April, 2009 6:46 PM
logo SPR

logo SPR

Pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan diadakan 31 Mei ini manakala hari penamaan calon telah ditetapkan pada 23 Mei 2009. Tempoh berkempen adalah selama lapan hari.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan kerusi DUN Penanti kosong berkuat kuasa 17 April lalu bermula hari penerimaan surat makluman kekosongan daripada Speaker DUN Pulau Pinang.

Dengan keputusan itu, ia merupakan PRK yang keenam sejak pilihan raya umum ke-12 yang telah berlangsung pada 8 Mac 2008. PRK sebelum ini adalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

SPR telah memutuskan untuk mengehadkan kehadiran penyokong parti-parti yang bertanding ketika hari penamaan calon.

Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya akan menetapkan jumlah penyokong yang boleh dibawa setiap parti yang bertanding pada hari penamaan calon selepas pihaknya melawat pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.