Nik Aziz minta Nik Abduh padamkan kekeliruan dalam blog

30 April, 2009 5:31 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta anaknya, Nik Abduh supaya menjelaskan kekeliruan dan jangan biarkan kekeruhan bertapak lama berhubung isu dakwaan beliau terhadap pembantu ‘sesat’ bapanya yang dikatakan melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh dalam blognya mencatatkan beliau telah dihubungi ayahandanya dari Mekah, meminta beliau supaya ‘memadamkan kekeliruan’ dan ‘jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama’ berhubung isu itu.

“Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

“Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya katakan kepadanya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu. Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda.

“Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai.

“Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!” katanya yang dipetik daripada blognya.

Nik Abduh dalam blognya sebelum ini, bercerita mengenai pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi. – Sinar Harian


Perlantikan Najib sebagai PM diselubungi petisyen Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

2 April, 2009 8:08 PM
Dato' Seri Najib Tun Razak

Bakal Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dikhabarkan akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada pagi esok di Istana Negara, diselubungi petisyen daripada 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengusulkan agar majlis perlantikan tersebut ditangguhkan.

Petisyen itu, yang diserahkan kepada Istana Negara semalam, ditandatangani oleh Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyatakan pelantikan tersebut harus ditunda sehingga satu suruhanjaya bebas dibentuk untuk membersihkan Najib daripada segala tuduhan salah laku.

Mereka juga berkata Najib wajar disiasat berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang menjadi bahan berita media asing sejak akhir-akhir ini seperti akhbar Liberation di Perancis, Kompas di Indonesia malah negara England dan Korea Selatan juga turut melaporkan berita mengenai Presiden UMNO yang baru dilantik dalam PAU yang berakhir pada 28 Mac 2009 yang lalu.


Zamry tidak terkejut pencalonan Dato’ Seri Nizar

26 Mac, 2009 6:29 PM
Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Menteri Besar BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak terkejut dengan pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pakatan DAP-PAS-Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) akan menghadapi siapa jua yang dipertaruhkan oleh pembangkang kerana ia adalah pilihan parti berkenaan untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai calon.

“Pilihan itu adalah hak mereka. Nanti kita akan tengok pandangan rakyat terhadap pilihan mereka itu semasa pilihan raya nanti. Pilihan mereka itu tidak mengejutkan,” katanya.

Kerajaan Perak pimpinan pakatan DAP-PAS-PKR tumbang pada awal Februari lalu apabila tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dua anggota PKR dan seorang DAP keluar meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan BN.

Malam Isnin lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohammad Nizar sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada satu perhimpunan PAS di Taman Kota Jaya di Taiping, Perak.

BN telah menamakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian, 49, sebagai calon bagi kerusi itu.

Bagi kebanyakan pihak, pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menjadi pengukur senario politik negeri Perak.


Pemilihan saya sebagai calon, doa rakyat – Dato’ Seri Nizar

25 Mac, 2009 8:01 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Calon PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepemimpinan PAS dan rakyat kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang pada 7 April ini.

Sambil menyifatkan pemilihannya sebagai doa rakyat, beliau berkata, usaha PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR) menampakkan perkembangan positif ke arah beroleh kemenangan.

“Segala doa dan usaha rakyat sejak peristiwa peralihan kuasa daripada PR kepada Barisan Nasional (BN) bulan lalu telah menampakkan positifnya.

“Dengan ini, saya merakamkan penghargaan kepada PR dan PAS kerana memilih saya sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di sini, malam kelmarin.

Menurut Mohammad Nizar, beliau akan memenuhi kehendak dan hasrat kerajaan rakyat serta segala janji dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, simpati dan sokongan pengundi Parlimen Bukit Gantang bermula daripada Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering dan kawasan berhampiran amat dialu-alukan.

“Setelah berhempas pulas naik dan turun mahkamah, mereka telah memberikan keputusan di mana juri menyokong PR. Oleh itu, 7 April ini akan diterjemahkan niat kemenangan dan inilah hadiah untuk seluruh rakyat Perak,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


Bukit Gantang ujian besar PAS

25 Mac, 2009 7:31 PM
Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang adalah ujian besar bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk membuktikan sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu.

Beliau menaruh keyakinan, PAS akan beroleh kemenangan dalam pertandingan pada 7 April ini berdasarkan calonnya seorang yang ternama, diterima dan disayangi rakyat.

Beliau berkata, pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar sebagai calon kerusi Parlimen itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kehendak rakyat.

“Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ini adalah pilihan raya yang besar, bukan sahaja di Bukit Gantang, malah di Perak.

“Dia (Mohammad Nizar) akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian dan saya berharap pengundi membuat pilihan bijak dalam melaksanakan amanah mereka memilih pemimpin,” katanya selepas mengumumkan penamaan calon di sini, malam kelmarin.

Abdul Hadi berkata, masalah politik tidak boleh dipandang ringan apabila gejala rasuah semakin berleluasa dan paling berbahaya jika parti yang memerintah terkena penyakit rasuah.

Menurutnya, dalam Islam, rasuah adalah dosa besar yang dilaknati Allah dan ia terbukti apabila media mendedahkan gejala itu dalam kalangan ahli serta pemimpin politik.

Menurutnya, pilihan raya kali ini memberi makna yang sangat besar di mana rakyat akan menolak parti yang dihidapi rasuah dengan peralihan kepimpinan memerlukan pemimpin bersih.

“Apabila ada tuduhan, maka ada keraguan. Pemimpin perlu dibersihkan daripada tohmahan dan fitnah. Rakyat perlu memilih pemimpin yang bersih dan sebagai pengundi Bukit Gantang bukan sahaja memilih calon, tetapi menjadi penyampai risalah kepada rakyat.

“Beri kepercayaan kepada PAS untuk mewakili PR dan akan memberikan calon yang konsisten serta amanah supaya pengundi dapat memberikan penyambung itu,” katanya. Sinar Harian


Nizar lambang pembela rakyat Perak

25 Mac, 2009 7:09 PM
Dato' Seri Anwar Ibrahim

Dato' Seri Anwar Ibrahim

Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan calon terbaik pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, 7 April depan.

Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Mohammad Nizar berdasarkan pengalaman, pendidikan dan kesungguhan beliau semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini sehingga menjadi lambang pembela nasib rakyat pelbagai kaum di Perak.

“Kalau dilihat secara objektif sambutan terhadap Nizar di Bukit Gantang terutamanya di Perak, perlu diakui bahawa beliau menonjol sebagai tokoh yang disenangi rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan beliau yang bersih dan menjaga kepentingan orang Melayu, Cina, serta India di Perak.

“Kita dalam PKR telah mengerahkan seluruh kekuatan kita di Perak dan negeri berhampiran untuk membantu calon PAS dan insyaAllah Nizar akan menang di Bukit Gantang dengan undi yang lebih besar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu pada majlis mengumumkan calon di padang Taman Kota Jaya, Simpang, Taiping, Perak, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata, pemilihan Mohammad Nizar sebagai calon diputuskan selepas tinjauan terhadap rakyat Perak termasuklah di peringkat dalaman parti itu sendiri.

Beliau berkata, kemenangan PAS di Bukit Gantang amat penting untuk memberi satu nilai tambah yang lebih besar kepada parti itu selepas kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

“Situasi pilihan raya kecil kali ini ialah krisis politik yang berlaku di Perak, jadi krisis politik itu harus melibatkan orang yang berada dalam krisis itu sendiri supaya rakyat boleh membuat penilaian terhadap krisis ini.

“Kita rasa bahawa potensi untuk menang dengan satu kemenangan yang memberangsangkan itu ada pada Nizar,” katanya.

Mahfuz turut menafikan keputusan itu tidak direstui Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Koo Ham berkata, DAP menyokong siapa sahaja pilihan PAS tetapi pemilihan Mohammad Nizar merupakan calon paling tepat.

Menurutnya, pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan petunjuk penting adakah rakyat menerima tindakan Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengambil alih kerajaan PR tanpa mengikut lunas undang-udang.

“Oleh kerana Barisan Nasional takut untuk berhadapn dengan rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), pilihan raya kecil Bukit Gantang ini adalah peluang terbaik sebagai tanda protes kepada kerajaan BN di Perak,” katanya. Sinar Harian


Perbezaan pendapat Nik Aziz-Hadi biasa – Dato’ Seri Nizar

23 Mac, 2009 2:09 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu penubuhan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dengan parti itu sebagai rahmat.

Beliau berkata, dalam PAS adalah perkara biasa apabila perbezaan pendapat dan kritikan berlaku.

“Apabila situasi ini berlaku, kita akan meraikannya sebagai satu rahmat.

“Malah sebelum ini banyak lagi terdapat perselisihan pendapat yang hebat berlaku dalam PAS, tetapi semua kejadian ini adalah kekuatan yang besar dan mampu mencambahkan pendapat dalam kalangan kami,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu, yang dilaporkan mengingatkan, Abdul Hadi agar berbincang dengannya dahulu sebelum membuat keputusan mengenai penubuhan kerajaan campuran.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mahu ada ramai nakhoda dalam satu kapal yang mengeluarkan arahan berbeza sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan menjejaskan kredibiliti PAS.

Menurut Mohammad Nizar, apa yang berlaku itu, sebenarnya bukan perselisihan pendapat atau prinsip parti, tetapi hanya perselisihan strategik dalam hala tuju PAS.

“Sebenarnya kedua-dua pemimpin tertinggi ini sokong menyokong antara satu sama lain demi untuk kebaikan parti,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


PAS umum calon Bukit Gantang 23 Mac 2009

19 Mac, 2009 7:12 PM
Dato' Mustafa Ali

Dato' Mustafa Ali

PAS akan mengumumkan calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak pada Isnin ini, kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Dato’ Mustafa Ali.

Beliau berkata nama calon parti itu akan diumumkan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Perak.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pada 23 Mac ini dan pengumuman calon akan dilakukan pada sebelah malamnya,” kata Mustafa di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia pada 9 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, berkata empat nama dicadangkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu dan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

Beliau berkata PAS mengambil keputusan untuk mengumumkan lebih awal bagi membolehkan calonnya turun padang dan berkempen untuk menarik sokongan rakyat.

“Berbanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kita buat pengumuman lewat kerana calon kita sudah dikenali rakyat di sini,” katanya.

Mustafa berkata PAS yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu walaupun menjangkakan tentangan sengit daripada calon Barisan Nasional (BN).

“Daripada maklumat yang saya terima, jentera pilihan raya PAS berjalan lancar. Ada sedikit perkara yang perlu dimantapkan menjelang pilihan raya kecil itu,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Safian, 48, sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, 7 April ini.


Pemimpin tidak bela rakyat wajar diketepi – Presiden PAS

11 Mac, 2009 1:33 PM
Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau menyokong amaran Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan mana-mana pemimpin PR yang tidak mampu berjuang membela rakyat.

Menurutnya, pakatan yang terdiri daripada komponen PAS, DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) memerlukan pemimpin berwibawa dan mampu membela nasib rakyat selain sentiasa bersama rakyat dalam sebarang keadaan.

“Memang kita bersetuju dan ia adalah langkah yang baik untuk kita memastikan pemimpin PR benar-benar bekerja untuk membela rakyat yang sememangnya menjadikan matlamat kita,” katanya.

Menurutnya, amaran Anwar itu juga sebagai satu peringatan kepada wakil rakyat PR supaya tidak mudah lupa diri dan berusaha untuk bekerja keras bagi memberi yang terbaik kepada rakyat berbanding dengan pemimpin sebelum ini supaya tidak menghadapi kesukaran untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita mahu pimpinan yang berwibawa dan tahu membela rakyat supaya rakyat tidak kecewa terhadap kepimpinan PR,” katanya.

Hadi berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Ceramah Perdana Sempena Maulidur Rasul di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melawar, malam kelmarin.

Hadi berkata, pihaknya sentiasa memantau pemimpin-pemimpin yang terdiri dalam kalangan ahli PAS dari masa ke semasa supaya tidak timbulnya masalah dan secara tidak langsung dapat memantapkan lagi pentadbiran negeri di bawah pemerintahan PR.

“Dalam PAS sendiri kita memang memantau pemimpin PAS untuk memastikan mereka menjalankan tugas diamanahkan dengan baik dan berwibawa.

“Pemantauan terhadap wakil rakyat PAS lama dilakukan, bukannya sekarang dan mana-mana pemimpin yang lemah akan kita dibantu supaya mereka terus berjuang membela nasib rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menuduh pemimpin parti pembangkang menjadi dalang perhimpunan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Kita berjuang isu bahasa sejak dulu bukan hari ini dan kerana desakan demi desakan tidak diterima dan bersatu dengan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang juga memperjuangkan bahasa.

“Adalah tidak wajar kita memperbodohkan cendekiawan kita kerana mereka adalah orang bijaksana dan tidak sepatutnya merendahkan martabatnya termasuk menuduh pembangkang sebagai dalang perkara seperti ini,” katanya.

Berita asal : Sinar Harian