Kerajaan Perpaduan: PAS tiada minat bincang dengan UMNO

20 Jun, 2009 11:46 AM

PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Mustafa Ali.

“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan UMNO termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini,” kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan dua hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).

Advertisements

PRK DUN Penanti: Undi pos bermula hari ini

29 Mei, 2009 10:42 PM

Undi pos untuk pilihan raya kecil DUN Penanti berlangsung hari ini dengan 20 orang anggota polis dari kawasan itu mengundi lebih awal kerana desakan tugas.

Bilik undi pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai tengah di Pulau Pinang dibuka jam 8.30 pagi.

Tepat jam 9.15 pagi seorang angota polis berpangkat Lans Koperal membuang undi pertama, diikuti anggota polis wanita iaitu Lans Koperal Asiah binti Hashim yang bertugas di balai polis Kubang Semang.

Sejurus selepas itu, calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) Dr Mansor Othman hadir bersama beberapa penyokong bagi memantau proses pembuangan undi pos.

Mansor berkata beliau berpuas hati dengan kempennya untuk mengekalkan kerusi Penanti dan menaruh kepercayaan penuh dengan kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan tepat.

Seramai 23 orang berdaftar sebagai pengundi pos DUN Penanti. Lebih 15,000 pengundi lain didaftarkan untuk mengundi Ahad ini.

Mansor mengadapi saingan tiga calon bebas iaitu Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris.

UMNO-Barisan Nasional tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, setelah parti itu kalah pada kesemua empat pilihan raya kecil di Semenanjung sejak pilihanraya umum Mac tahun lalu.


Pilihan raya kecil DUN Penanti akan mengalami saingan 4 penjuru?

19 Mei, 2009 6:53 PM

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Morat Pora, empat borang pencalonan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti sudah dijual.

Sejak SPR mengumumkan kekosongan kerusi itu berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin dariapda Parti KeADILan Rakyat (PKR) baru-baru ini, empat individu telah datang ke pejabat SPR di Komtar untuk membeli borang berharga RM20 itu.

Sehingga ke hari ini, sudah tiga orang calon yang dikenal pasti akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. Mereka ialah Dr Mansor Othman dari PKR, Aminah Abdullah (Bebas) dan Mohd Saberi Othman (Bebas). Ini bermakna tinggal seorang sahaja lagi calon yang belum muncul untuk memperkenalkan dirinya. Adakah beliau akan mengumumkan pencalonannya ataupun tidak, sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Penanti akan berlangsung pada hari Sabtu ini, 23/05/2009 manakala hari mengundi telah ditetapkan oleh SPR pada hari Ahad 31/05/2009 nanti.


BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti

18 Mei, 2009 7:05 PM

Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti pada 16 April 2009 yang lalu.

PKR telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56. Selain PKR, calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Najib bagaimanapun sebelum ini pernah membayangkan bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang dijadual pada 31 Mei ini.


Jangan buat kacau minta PAS bertanding di DUN Penanti – Nik Aziz

4 Mei, 2009 7:55 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam pakatan PAS-DAP-PKR dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan Parti KeADILan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini.

“Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.” “Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah,” katanya.

Beliau mengulas desakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Semalam, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang turut mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR, Dr Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) tahun lepas dan memenanginya.


Dr Mansor Othman calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil DUN Penanti

29 April, 2009 6:39 PM
Dr Mansor Othman calon pilihan raya kecil DUN Penanti

Dr Mansor Othman calon pilihan raya kecil DUN Penanti, di sebelah kiri gambar ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim manakala di sebelah kanan pula adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dr Mansor Othman diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Penanti, Pulau Pinang, malam semalam.

Pengumuman tersebut telah dilakukan oleh Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam.

Dr Mansor yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau adalah seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Beliau memiliki Ijazah Sains Politik dari Universiti Yale, Amerika dan Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta pernah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai Prof Madya dan Dekan Pusat Penyelidikan Dasar USM.

Sementara penglibatan dalam parti ialah sebagai Pengerusi Perhubungan PKR negeri Pulau Pinang yang pertama, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (2006-2008) dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau mewaili PKR dan bertanding di DUN Pulau Betong, Balik Pulau dan hanya kalah dengan 200 undi.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan perletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin 16 April lepas. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian pada 31 Mei depan.


PRK DUN Penanti: Anwar Ibrahim umum calon malam ini di Yayasan Aman, Penanti

28 April, 2009 6:57 PM

Pilihan raya kecil DUN Penanti

Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR yang akan bertanding di DUN N12 Penanti sempena ceramah beliau di Yayasan Aman, Penanti pada jam 9 malam ini.

Ceramah yang dijangka akan dihadiri oleh ribuan penyokong Pakatan Rakyat bagi meraikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, wakil Menter Besar Kedah dan pimpinan PKR negeri-negeri lain.

Lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon PKR dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen di Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan UMNO masih terus mempertimbangkan sama ada mahu bertanding atau tidak. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa UMNO tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja.

Namun, amat sukar buat Najib untuk mengenepikan saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap bertarung demi maruah dan tradisi UMNO-BN.