Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Undi BN Boleh Masuk Syurga Juga – Muhyiddin

19 Jun, 2009 8:08 PM

KUALA KRAI, 19 Jun (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam di negara masuk syurga.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

“Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan (PAS) di bawah pimpinan (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, di sini Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Muhyiddin berkata PAS tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan negara termasuk merancang secara rapi aspek berkenaan.

Beliau berkata justeru penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu memikirkan secara rasional terhadap kebolehan parti mana yang harus dipilih untuk membaiki taraf kehidupan mereka dan membangunkan kawasannya.

“Saya berpendapat kita perlu fikirkan secara rasional dan fikirkan soal masa depan,” katanya.

Menurutnya BN mampu membangunkan negara dan memacu negara ke arah masa depan yang lebih baik untuk rakyat.


Pemuda PAS Perak lancar baju hitam setiap Sabtu

5 Jun, 2009 9:08 PM

Pemuda PAS Perak melancarkan kempen berbaju hitam setiap hari Sabtu bagi mendesak UMNO/BN Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dengan segera. Desakan ini kerana tindakan jahat BN merampas pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Perak awal Februari lalu.

Jurucakapnya, Salman Saleh berkata hanya pilihanraya negeri mampu menyelesaikan krisis politik di Perak hari ini.

Perwakilan pemuda Perak hari ini berpakaian berwarna hitam dengan lilitan bubar DUN sebagai tanda bantahan kepada tindakan zalim kerajaan haram Barisan Nasional tersebut.

Salman Saleh yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Perak berkata Pemuda PAS Perak telah mengutuskan satu surat kepada Pemuda UMNO supaya pertemuan dapat diadakan segera bagi menyelesaikan krisis ini.

Salman menegaskan, Pemuda UMNO mesti menunjukkan keikhlasan mereka bagi mengutamakan kebajikan rakyat dalam isu ini. TVAntara


PRK DUN Penanti: Undi pos bermula hari ini

29 Mei, 2009 10:42 PM

Undi pos untuk pilihan raya kecil DUN Penanti berlangsung hari ini dengan 20 orang anggota polis dari kawasan itu mengundi lebih awal kerana desakan tugas.

Bilik undi pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai tengah di Pulau Pinang dibuka jam 8.30 pagi.

Tepat jam 9.15 pagi seorang angota polis berpangkat Lans Koperal membuang undi pertama, diikuti anggota polis wanita iaitu Lans Koperal Asiah binti Hashim yang bertugas di balai polis Kubang Semang.

Sejurus selepas itu, calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) Dr Mansor Othman hadir bersama beberapa penyokong bagi memantau proses pembuangan undi pos.

Mansor berkata beliau berpuas hati dengan kempennya untuk mengekalkan kerusi Penanti dan menaruh kepercayaan penuh dengan kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan tepat.

Seramai 23 orang berdaftar sebagai pengundi pos DUN Penanti. Lebih 15,000 pengundi lain didaftarkan untuk mengundi Ahad ini.

Mansor mengadapi saingan tiga calon bebas iaitu Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris.

UMNO-Barisan Nasional tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, setelah parti itu kalah pada kesemua empat pilihan raya kecil di Semenanjung sejak pilihanraya umum Mac tahun lalu.


Bubar DUN Perak Kalau Anak Jantan, Nizar Cabar Zambry

27 Mei, 2009 4:35 PM

Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin mencabar “Menteri Besar Mahkamah”, Dr Zambry Abd Kadir supaya mengadap Sultan dan memohon perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya beliau benar-benar anak jantan dan tidak bersembunyi di belakang pasukan keselamatan.

Beliau berkata demikian pada majlis ceramah dan taklimat yang diadakan di Wisma DAP malam semalam.

Nizar berkata beliau tidak menyalahkan pihak keselamatan kerana sedar mereka digunakan oleh Barisan Nasional untuk melakukan penindasan terhadap rakyat.

Tambah beliau lagi setiap kali pilihan raya kecil diadakan UMNO dan BN akan mengarahkan pihak keselamatan berkampung di kawasan tersebut sama ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang atau Bukit Selambau.

Tetapi peliknya apabila BN tidak bertanding di Penanti ternyata tidak ada polis di situ dan ini membuktikan pihak polis bekerja untuk UMNO dan BN.

“Ini jelas menunjukkan wang rakyat dihabiskan untuk BN bukannya untuk menjaga rakyat dan ketenteraman awam.” Nizar berkata.

BN cukup cemburu dengan gabungan kemas dan mantap Pakatan Rakyat dan ia tidak sanggup melihat gagasan tersebut diterima oleh rakyat Perak.

“Di Perak sebelum ini kita tidak pernah nikmati perpaduan dan keharmonian antara bangsa-bangsa yang ada di Perak, namun dalam masa Pakatan Rakyat memerintah kita berjaya lahirkan masyarakat Perak yang saling menghormati, bertoleransi antara satu sama lain.

“Kita mahukan cucu cicit kita pada masa akan datang saling menghormati antara bangsa yang ada. Itulah yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Jika ini berterusan maka tidak ada peluang lagi bagi mereka.” kata Menteri Besar lagi.

Tambah Nizar mahkamah rakyat adalah ruang yang terbaik untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.

Majlis tersebut yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Nga Kor Ming juga turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat Perak.

Sebelum itu polis menahan 2 orang di luar Wisma DAP kerana dipercayai ingin hadir ke majlis yang diadakan semalam.

Seorang daripada yang ditahan adalah ahli Majlis perbandaran Taiping, Simon Uthaya Kumar a/l Sellaiyah sementara seorang lagi dikenali sebagai Haridats. Difahamkan mereka berdua telah dibawa ke balai polis yang berdekatan untuk disoal siasat. TVAntara


BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti

18 Mei, 2009 7:05 PM

Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti pada 16 April 2009 yang lalu.

PKR telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56. Selain PKR, calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Najib bagaimanapun sebelum ini pernah membayangkan bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang dijadual pada 31 Mei ini.


BN tidak gentar dengan pilihan raya, bubarkanlah DUN Perak!

16 Mei, 2009 1:43 PM

Pilihan raya semula adalah satu daripada opsyen yang ada untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak tetapi ia bukanlah sesuatu yang harus, kata Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata keputusan sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri di Perak bergantung kepada budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Najib berkata Barisan Nasional tidak gentar untuk menghadapi apa jua kemungkinan termasuk pilihan raya sekiranya itu yang diputuskan. “Kita sedia berdepan dengan rakyat,” katanya.

Baguslah jika begitu. Jadi tunggu apa lagi Najib, bubarkanlah sahaja DUN Perak kenapa perlu dilengah-lengahkan pula? Jangan jadi umpama menanam tebu di tepi bibir sahaja.

Bukankah Sultan akan memberikan perkenan pembubaran DUN atas nasihat seorang Menteri Besar (MB)? Jika MB tidak menasihati Sultan, mana mungkin Sultan boleh membuat keputusan sendiri kerana seorang Sultan berada di atas politik.

Kenapa menggunakan nama Sultan untuk tidak membubarkan DUN Perak? Jika Najib benar-benar ikhlas, suruh Zambry menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk memohon perkenan Baginda agar pembubaran DUN boleh dilakukan.

Mari kita tunggu sama ada Najib dan Zambry berani atau tidak memohon perkenan daripada Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN Perak.