Cabaran Ekonomi Tahun 2009

31 Disember, 2008 4:15 PM

Aku tertarik apabila mendengar berita di dalam Bernama TV Isnin lepas. Seorang jurucakap syarikat GlaxoSmithKline berkata, tahun 2009 yang akan tiba esok akan memberi kesan kepada sektor pengguna (consumer) berbanding sektor penjagaan kesihatan (healthcare).

Dengan iklim ekonomi yang tidak pasti, dijangkakan sektor penjagaan kesihatan akan terus mendapat permintaan seterusnya mengelakkan sektor tersebut daripada mengalami kegawatan. Ini berita baik kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor yang disebutkan pada awal topik ini. Jadi kepada anda yang ingin menceburi atau menukar perniagaan kepada bidang yang baru, aku sarankan anda beralih kepada sektor ini.

Lepas ini ramailah orang yang akan berlumba-lumba menceburi bidang perniagaan berasaskan penjagaan kesihatan seperti ubat-ubatan berasaskan herba, ubat-ubatan moden, rawatan alternatif/tradisional, alatan senaman, spa, gimnasium, salun kecantikan dan lain-lain lagi. Ini sudah semestinya kerana walaupun ekonomi dijangka merudum, orang ramai tetap ingin kelihatan langsing, cantik, cergas dan sihat. Apa yang pasti permintaan tongkat ali dan kacip fatimah akan terus meningkat! Hahahaha… 😀


Urusniaga BSKL Digantung Selama 1 Hari!…

3 Julai, 2008 7:46 PM

Urusniaga Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) hari ni digantung selama satu hari bermula dari jam 9 pagi tadi. Pada awalnya, pihak BSKL memaklumkan bahawa ianya mungkin hanya akan digantung selama setengah hari sahaja. Tetapi menjelang jam 2:30 petang, tiada tanda-tanda masalah yang dihadapi sejak pagi itu akan berjaya ditangani. Satu kenyataan media telah dikeluarkan pada jam 4:12 petang yang mengesahkan bahawa urusniaga tidak akan diteruskan, sebaliknya status sebelumnya terus bersambung hingga urusniaga tamat pada pukul 5:00 petang tadi.

Adalah dipercayai bahawa, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya berlaku terhadap pasaran saham di Malaysia. Kejadian yang berlaku pada hari ini dikatakan berpunca daripada kerosakan pelbagai sistem yang terdapat di BSKL.