Dato’ Bung Moktar menghina Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Dato’ Bung Moktar Radin berkata, Nizar bertindak sebagai Hang Tuah apabila mengenakan lilitan dan melaungkan slogan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Nasib baik beliau tak bawa keris ke dalam Dewan, jika tidak beliau pun sudah tentu hunus keris, nasib baik beliau tidak bawa pistol,” katanya.

“Beliau kata jurutera, apa punya jurutera… beliau kena menjuruterakan diri beliau dulu,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen BN dari Kinabatangan itu, “Ini Dewan Rakyat, bukan Dewan Undangan Negeri Perak, yang boleh bersidang di bawah pokok.”

Itu adalah di antara kata-kata sinis yang diucapkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan pada Isnin lalu, 15.06.2009. Namun, kata-kata yang diluahkan oleh beliau tidak menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan beliau sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman.

Tidak mungkin ada Ahli Parlimen yang boleh membawa masuk senjata atau senjata api ke dalam sidang Dewan Rakyat. Bung Moktar juga seakan menyindir kelulusan akademik Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru mengangkat sumpah itu. Adakah beliau berasa cemburu dengan jawatan Nizar sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke-10?

Bung Moktar jangan lupa, angkara siapa yang menyebabkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) Perak bersidang di bawah pokok pada 03.03.2009 yang lalu? Kerajaan BN dengan bantuan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, polis dan FRUlah yang telah menghalang ADUN-ADUN PR Perak daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghadiri sidang DUN.

Kepada Bung Moktar, lain kali cakap tu biarlah beralas dan logik, jangan suka nak merapu sahaja sehingga menampakkan sifat kebudak-budakan dalam diri seorang wakil rakyat dan juga pemimpin. Orang bandar berasa malu dengan sikap dan tingkah laku anda sebagai seorang Yang Berhormat.

Tinggalkan komen