Kemenangan bukti Pakatan Rakyat terus diterima

9 April, 2009 8:03 PM
Parti KeADILan Rakyat

Parti KeADILan Rakyat

Kemenangan pada pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau telah membuktikan Pakatan Rakyat (PR) sememangnya diterima rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman berkata, ini turut membuktikan rakyat telah menolak UMNO.

Menurutnya, pilihan raya kecil ini menjadi bukti dan rakyat telah menyuarakan apa yang mereka inginkan melalui undian.

“Dari awal lagi kita menjangka PR akan menang di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

“Kemenangan PAS di Bukit Gantang juga telah dijangka dari awal lagi kerana yakin dengan penyokong di sana,” katanya.

Menurutnya, ini adalah satu isyarat bahawa PR akan terus menerajui politik Malaysia pada masa hadapan.

Walaupun ramai calon bebas turut bertanding namun calon PR tetap mendapat undian lebih dan telah membawa kemenangan kepada PR.

“Jentera PR yang saling bekerjasama dan telus menjalankan tugas ketika pilihan raya juga banyak membantu kemenangan ini,” katanya.

Ditanya mengenai berkemungkinan pilihan raya kecil Penanti akan diadakan, beliau menyambut baik perkara itu.

Menurutnya, PR tidak perlu risau jika pilihan raya kecil Penanti akan berlaku kerana percaya kepada kemahuan rakyat. Sinar Harian Edisi Utara


Kemenangan tanda rakyat mahu DUN Perak dibubarkan

9 April, 2009 7:15 PM
Nga Kor Ming

Nga Kor Ming

Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak diminta untuk mendengar rayuan 2.4 juta penduduk Perak agar diberikan hak mereka untuk memilih kerajaan mereka sendiri.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang hadir dalam satu sidang media di Wisma DAP di sini semalam berkata, kegagalan BN untuk merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menunjukkan kehendak rakyat yang mahukan kuasa pemilihan dikembalikan semula ke tangan mereka.

“Kejayaan yang dicapai di kedua-dua kawasan itu menunjukkan kejayaan paling besar yang pernah dicapai oleh Pakatan Rakyat (PR). “Untuk kejayaan ini kami harus mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pengundi di dua-dua kawasan itu. Kami tabik dengan pengundi di sana,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berpendapat bahawa pengundi di kedua-dua kawasan itu harus diberikan pujian kerana berani untuk mencari perubahan.

Menurutnya, walaupun pihak BN memberikan pelbagai inisiatif seperti barangan dan wang tetapi pengundi kini telah celik dan menolak kepimpinan yang diumpamakan seperti ‘biskut’ iaitu hanya nampak muka semasa pilihan raya.

“Saya sendiri melihat bagaimana seorang pemimpin MIC cuba menyogok pengundi India di sebuah estet termasuk di estet Alagar di Bukit Gantang.

“Mereka diberikan hamper bernilai RM200, beras, minyak masak, tepung, basikal dan sebagainya. “Persoalannya kenapa baru kini hendak beri sumbangan kenapa tidak dari dahulu,” katanya. Beliau berkata, rakyat bukan sahaja tidak terpedaya dengan helah ini BN malah mereka gembira dengan cara pemerintahan PR selama 10 bulan. Sinar Harian Edisi Perak


Kemenangan Dato’ Seri Nizar bukan hanya kerana undi simpati

8 April, 2009 7:49 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat tangan

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat tangan kepada para penyokong beliau selepas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Kemenangan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di kerusi Parlimen Bukit Gantang semalam, dipercayai bukanlah kerana faktor undi simpati semata-mata. Walaupun Musyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan tersebut, hakikatnya PAS itu sendiri semakin diterima oleh rakyat bukan Islam.

Namun, apa pun punca kemenangan PAS khasnya di Bukit Gantang, ia membayangkan penerimaan kebanyakan rakyat terhadap PAS yang memperjuangkan konsep PAS Untuk Semua dan tidak terhad kepada orang Melayu semata-mata.


Pakatan Rakyat tawan 2 ‘Bukit’, tewas di Batang Ai

8 April, 2009 5:59 PM
Dato' Seri Nizar, S Manikumar dan Malcolm Mussen Lamoh

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, S Manikumar dan Malcolm Mussen Lamoh merupakan 3 orang calon yang menang dalam pilihan raya kecil di 3 buah kawasan yang dijalankan serentak pada 7 April 2009 yang lalu.

Parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PAS dan PKR masing-masing mencatatkan kemenangan dalam pilihan raya kecil di P059 Parlimen Bukit Gantang dan N25 DUN Bukit Selambau malam semalam.

Calon PR dari PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, memperolehi undi sebanyak 21,860 manakala calon BN, Ismail Safian pula hanya mendapat sejumlah 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris hanya berjaya mengumpul sebanyak 62 undi sahaja. Oleh yang demikian, Dato’ Seri Nizar telah diisytiharkan memenangi kerusi panas tersebut dengan majoriti 2,789 undi.

Di kawasan N25 DUN Bukit Selambau, Kedah pula, calon PKR yang merupakan seorang ahli perniagaan S Manikumar, telah menewaskan 14 orang pesaingnya dalam perebutan kerusi yang telah ditandingi sebanyak 15 orang calon. Pilihan raya kecil di kawasan tersebut telah mencatatkan sejarah baru dalam arena politik di Malaysia kerana ianya telah ditandingi oleh lebih daripada 2 orang calon sebagaimana kebiasaannya. Sejarah kedua juga dicipta apabila semua 13 orang calon Bebas hilang wang deposit sebanyak RM8,000 setiap seorang iaitu RM5,000 merupakan deposit sebagai calon bagi kerusi DUN manakala RM3,000 lagi adalah deposit untuk poster. S Manikumar (12,632 undi), telah berjaya mengatasi pesaing terdekat beliau iaitu Dato’ S Ganesan (10,229 undi) yang mewakili BN dengan majoriti 2,403 undi.

PR gagal melakukan kemenangan bersih dengan keputusan 3-0, kerana calon mereka Jawah Gerang dari PKR kalah kepada calon BN, Malcolm Mussen Lamoh. Jawah memperolehi 2,053 undi tetapi Malcolm pula mendapat 3,907 undi. Kedua-dua calon itu dipisahkan dengan 1,854 undi majoriti bagi menentukan siapa yang lebih layak menjadi ADUN Batang Ai.

Walaupun PR hanya berjaya mencatatkan keputusan 2-1 dalam ketiga-tiga pilihan raya yang telah dijalankan dengan serentak, keputusan yang diperolehi telah membuktikan bahawa angin perubahan telah melanda kebanyakan rakyat di Semenanjung Malaysia sejak PRU12 pada tahun 2008 yang lalu. Momentum tersebut masih dapat dikekalkan sehingga hari semalam dan mungkin juga pada masa akan datang.

Satu perkara yang perlu diambil berat oleh PR ialah melakukan gerak kerja dan berusaha lebih kuat untuk menarik sokongan rakyat di Sarawak dan Sabah agar mengalihkan sokongan mereka daripada BN. Jika ia boleh dilaksanakan, sudah pasti PR dapat memerintah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dengan majoriti 2/3 tanpa perlunya sejumlah Ahli Parlimen atau ADUN melompat ke arah kita untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat.


Dato’ Seri Nizar buktikan beliau tidak menderhaka kepada Sultan Azlan Shah

4 April, 2009 4:16 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memberi kebenaran kepada Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mencabar kesahihan pelantikan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim telah membuat keputusan bahawa permohonan yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada Ferubari lepas adalah tidak remeh, tidak menyusahkan dan mempunyai kes prima facie untuk dihujah di mahkamah.

Mohammad Nizar dalam permohonannya tidak mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Sultan Azlan Shah cuma mempersoalkan mengenai kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak sahaja.

Peguambela Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu bahawa soal Mohammad Nizar derhaka kepada Sultan Azlan Shah tidak timbul kerana Mohammad Nizar tidak pernah mempersoalkan kuasa Sultan.

Hakim Abdul Aziz juga bersetuju dengan hujahan Sulaiman bahawa Mohammad Nizar, dalam permohonannya juga menyebut tentang quo warranto (cara mana) bagi Zambry menunjukkan sebab di bawah kuasa mana beliau (Zambry) dilantik menjadi Menteri Besar yang sah.

Jelas di sini bahawa, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menjunjung tinggi kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu amnya, terutama sekali kepada Paduka Seri Sultan Azlan Shah selaku Sultan Perak khasnya. Beliau langsung tidak menyebut tentang nama Baginda dalam afidavit tuntutannya di mahkamah.

Dato’ Seri Nizar ternyata tidak menderhaka seperti yang dilaung-laungkan oleh ahli-ahli UMNO dan BN di dalam media-media massa kawalan mereka. Semoga keputusan Mahkamah Tinggi KL ini menjadi pemangkin kepada pendokong PR untuk menepis segala tohmahan buruk kepada calon kita yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Gantang.

Beritahu kepada semua pengundi Bukit Gantang bahawa Dato’ Seri Nizar adalah calon terbaik yang mewakili semua kaum bagi membawa suara mereka di Parlimen nanti. KEKALKAN KEMENANGAN UNTUK RAKYAT!


BN berkempen di Kuala Sepetang guna tiga gadis seksi

2 April, 2009 7:36 PM
tiga gadis manis berimej seksi

Tiga gadis manis berimej seksi hanya berseluar pendek dan bersinglet biru, menari dan menyanyi lagu rancak dalam majlis makan malam anjuran BN di Kuala Sepetang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal-Ehwal Agama Islam, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN, Ismail Safian telah menghadirkan diri dalam majlis makan malam di Kampung Baru Kuala Sepetang iaitu sebuah perkampungan nelayan di DUN Kuala Sepetang dalam Parlimen Bukit Gantang malam semalam.

Majlis tersebut diserikan dengan konsert tiga gadis manis berimej seksi. Tiga artis Cina berseluar pendek dan bersinglet biru itu menari dan menyanyi lagu rancak sewaktu Ahmad Zahid sedang mengadakan sidang media di hadapan pentas tersebut.

Tidak adakah cara yang lebih elok daripada itu untuk menghiburkan rakyat setempat yang menghadiri majlis makan malam tersebut?. Ia kelihatan seperti tindakan terdesak BN untuk menarik perhatian orang ramai menghadiri majlis kempen mereka di kawasan yang dilawati.

Perkara seperti ini telah mengesahkan bahawa UMNO/BN memang menyokong acara-acara hiburan supaya rakyat dapat dilekakan tentang isu-isu yang lebih penting dalam negara seperti isu ekonomi, pendidikan, pentadbiran negara, kepimpinan dan lain-lain lagi.

Apa yang menghairankan ialah Menteri yang hadir dalam majlis tersebut juga menegaskan bahawa acara tersebut yang disediakan “harus dihormati kerana ia sebahagian daripada budaya Cina.”

Mengapa Menteri tersebut tidak memberi teguran kepada artis jemputan yang berpakaian seksi sedangkan beliau menjaga hal ehwal agama Islam di JPM? Adakah untuk menjaga hati pengundi berbangsa Cina, sensitiviti orang Islam diketepikan? Mungkin ajaran Islam Hadhari membenarkan ia berlaku agaknya. Wallahu’alam.


Cucu sulung hadiah awal kemenangan Dato’ Seri Nizar di Bukit Gantang

2 April, 2009 1:28 PM
Nur Faatihah binti Mohammad Nizar

Nur Faatihah Mohammad Nizar

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menambah satu lagi gelaran kepada diri beliau apabila kini dia bergelar datuk kepada cucu sulungnya pada 31 Mac 2009 yang lalu.

Anak sulung Dato’ Seri Nizar, Nur Faatihah berusia 25 tahun telah selamat melahirkan bayi perempuan di Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan, petang Selasa yang lalu. Bayi seberat 3.1 kilogram itu selamat dilahirkan pada jam 4.56 petang setelah Nur Faatihah dimasukkan ke wad kira-kira jam jam 2 petang. Nur Faatihah bersama bayinya berada dalam keadaan sihat dan pulang ke kediaman mereka petang semalam.

Nur Fatihah dan suaminya Hakimin Sulaiman 27 tahun, tidak menyangka akan menyambut kelahiran bayi itu lebih awal kerana mengikut perkiraan doktor, Faatihah dijangka bersalin pada 7 April iaitu tarikh pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang ditandingi oleh bapa beliau sendiri.

Menurut suami beliau, bapa mertuanya telah mengunjungi mereka sekeluarga sebaik dimaklumkan perkhabaran gembira itu. Mohammad Nizar dikatakan terlalu gembira dengan kelahiran cucu sulungnya itu.

Tahniah diucapkan kepada Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sekeluarga di atas kehadiran orang baru dalam keluarga besar mereka. Semoga Dato’ Seri akan terus berusaha keras untuk memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang sebagai hadiah untuk rakyat Bukit Gantang dan Perak khasnya dan seluruh pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat di Malaysia amnya. Takbir!


Saya tak rampas kuasa di masjid – Dato’ Seri Nizar

30 Mac, 2009 10:19 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS kerusi Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan, beliau “tidak merampas” kuasa ketika majlis membaca Yassin dan solat berhajat di Masjid Simpang di sini anjuran Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Sebaliknya, kata Nizar, beliau telah diundang oleh imam Masjid Simpang untuk berucap menjelaskan ayat-ayat yang dibacakan semasa mengimamkan solat Maghrib.

“Saya dijemput oleh imam supaya mentafsirkan ayat-ayat yang saya bacakan selama 20 minit sebelum itu… saya juga sejak awal telah diminta supaya tidak menyelitkan elemen politik sebab masjid bebas politik.

“Jadi, saya diminta membuat tafsiran ayat-ayat yang saya bacakan sebelum itu… ketika tazkirah… jadi saya tidak merampas mikrofon untuk berucap, cuma memenuhi kehendak imam,” kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di Markas PAS Bukit Gantang pagi tadi.

Kata Nizar, apabila beliau meminta mikrofon untuk menyampaikan ucapan tafsiran ada pihak yang membantah dengan alasan ia bukan tempat untuk berpolitik.

“Bagi mengelakkan suasana kecoh, saya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan kemudian meninggalkan masjid… apa terjadi selepas itu saya tidak tahu,” katanya.

Nizar mengakui bahawa beliau sejak awal, ketika memasuki masjid, telah dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Dato’ Mustafa Ali pula berkata, pihaknya sudah mengambil pendirian untuk tidak menggunakan masjid sebagai tempat kempen politik.

“PAS hanya akan menggunakan masjid untuk tujuan agama,” kata beliau pada sidang media pagi ini.

Malam tadi, Nizar ‘bertembung’ dengan rombongan BN di Masjid Simpang, sekaligus mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Dato’ Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

“Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman). “Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau,” kata beliau ketika dihubungi. mStar Online


Nizar imamkan solat Maghrib di Masjid Simpang malam semalam

30 Mac, 2009 9:58 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Terlebih dahulu beribu maaf kerana lama sangat tidak update blog saya kerana maklumlah mengirakan kerenah pindah randah dan naik turu mahkamah Tinggi KL dan Persekutuan, Putrajaya.

Hari penamaan calun PRK P059 Bkt Gantang bejalan lancar dengan sedikit huru hara sewaktu saya dan isteri bersama-sama pimpinan PAS lain memasuki pintu pagar dewan perbanadaran Taiping jam 8.45pagi.

Namun sewaktu pergi menunaikan solat maghrib di Masjid Simpang, saya diminta oleh imam Tuan Hj Hisham untuk mengimamkan solat tersebut dan saya bersetuju. Sewaktu masuk kemasjid saya diberitahu Tan Sri Muhyidin Yasin, Timb Presiden UMNO, dato Zambry Kader , calun Ismail Saffian dan ramai lagi pimpinan UMNO pusat dan negeri juga ada bersama. Pimpinan UMNO berada disaf pertama.

Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat “wa’tasimu bihablillahi jamiian, walaa tafarraqu…. ” dan rakaat kedua surah Al-kaafirun.

Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma’mum termasuk pimpinan tinggi UMNO.

UMNO menganjurkan solat hajat dipimpin oleh seorang imam impot, Hj Jama’iy namanya. Habis solat, imam Hj Hashim bangun dan berucap dihadapan dgn menyebut nama pimpinan UMNO Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Zambry. Nama saya juga disebut dan diraikan. Imam telah mengundang saya menyampaikan tazkirah dengan memberi Tafsir ayat Quran yang saya baca pada rakaat pertama solat maghrib sebentar tadi.

Namun beberapa pimpinan UMNO setempat telah protes termasuk penasihat masjid (pakai songkok tinggi) yang menghalang dan mengarah supaya terus adakan majlis baca yaasin, berlaku sedikit komosi (commotion). Saya mengelak bagi memelihara suasana.

Habis baca yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan dia nampak berang dan menyatakan kepada saya, kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tak sepatut saya jadi imam tadi. katanya lagi dengan nada kuat dan marah, “jika mahu jadi imam saya bolih jadi imam, jika nak tafsir saya bolih tafsir”. Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis untuk acara lain . Hujan sungguh lebat ketika itu. Semua makmum melihat dan menyaksikan adegan kelakar dan “ajaib” tersebut dan ramai makmum mengiringi saya sewaktu meninggalkan masjid. Sekadar makluman! Doakan PR menang besar di P059 Bkt Gantang.

Posted by Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

PerakDAILY.com


Zamry tidak terkejut pencalonan Dato’ Seri Nizar

26 Mac, 2009 6:29 PM
Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Dato' Dr Zambry Abdul Kadir

Menteri Besar BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak terkejut dengan pemilihan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pakatan DAP-PAS-Parti KeADILan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) akan menghadapi siapa jua yang dipertaruhkan oleh pembangkang kerana ia adalah pilihan parti berkenaan untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai calon.

“Pilihan itu adalah hak mereka. Nanti kita akan tengok pandangan rakyat terhadap pilihan mereka itu semasa pilihan raya nanti. Pilihan mereka itu tidak mengejutkan,” katanya.

Kerajaan Perak pimpinan pakatan DAP-PAS-PKR tumbang pada awal Februari lalu apabila tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dua anggota PKR dan seorang DAP keluar meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan BN.

Malam Isnin lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohammad Nizar sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada satu perhimpunan PAS di Taman Kota Jaya di Taiping, Perak.

BN telah menamakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian, 49, sebagai calon bagi kerusi itu.

Bagi kebanyakan pihak, pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menjadi pengukur senario politik negeri Perak.