Allahyarham Sudirman Haji Arshad dapat gelaran Dato’

18 Jun, 2009 7:20 PM

Selepas 17 tahun kepulangan beliau ke rahmatullah pada 22.02.1992, hari ini penyanyi yang diminati jutaan rakyat Malaysia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lepas.

Anugerah yang disampaikan oleh Sultan Ahmad Shah dalam satu istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini diterima oleh kakak sulung penyanyi itu, Datin Rodziah Arshad. Allahyarham Sudirman, anak kelahiran Temerloh, meninggal dunia pada pada usia 37 tahun.

Sudirman Haji Arshad merupakan penyanyi pertama Malaysia memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia dalam pertandingan Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London pada 19 Mac 1989.

Sudirman telah mengalahkan lapan orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Filipina, China dan Singapura. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan 2 buah lagu Inggeris One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya. Kejayaan beliau telah diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan turut mendapat liputan meluas dari berbagai media di negara ini.

Antara Anugerah-Anugerah yang di perolehinya adalah:
1. Juara Bintang RTM 1976
2. Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1978
3. “Malaysia’s Singing Ambassador” 1985 melalui lagu berjudul To Know Malaysia Is To Love Malaysia
4. Persembahan Terbaik Juara Lagu TV3 1987 melalui lagu Merisik Khabar
5. Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989
6. Asia’s Number One Performer 1989
7. Guinness Awards
8. Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988
9. Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990
10. Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992
11. No. 1 Malaysian singers oleh New Straits Times pada tahun 1993
12. Anugerah khas di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993

Kejayaannya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seharusnya diberi pengiktirafan lebih awal daripada Siti Nurhaliza. Hanya selepas 17 tahun pemergiannya, baru kini jasa-jasa Allahyarham dihargai dan dikenang.

Sudirman Haji Arshad, satu nama besar dalam industri hiburan Malaysia. Meskipun pada saat ini beliau telah tiada lagi untuk terus mewarnai dunia seni suara tanah air dengan pencapaian-pencapaian gemilangnya, bakat istimewa yang dimilikinya akan terus segar di ingatan kita semua. Al-Fatihah.

Advertisements

Nik Aziz terharu apabila artis berhijrah

13 April, 2009 6:02 PM
Amy Search salam Nik Aziz

Amy Search bersalaman dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dalam majlis tersebut.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak dapat menahan kesedihan apabila terharu dengan penghijrahan artis-artis di negara ini yang semakin meminati Islam terutama Amy Search.

Beliau yang merasmikan Himpunan Belia sempena Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan itu tidak dapat menahan sebaknya apabila mengingatkan penghijrahan artis-artis dan golongan seni yang kini semakin ramai berminat pada Islam begitu menyentuh perasaannya.

“Tiada siapa yang menyangka artis dari kumpulan rock kini telah menjadi ‘ikon’ baru kepada remaja membawa mesej yang baik kepada golongan remaja.

“Perkara itu langsung tidak pernah terfikirkan oleh sesiapapun, namun jika itu kehendak Allah apapun boleh berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis itu yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini yang berakhir tengahari Sabtu yang lalu.

Beliau turut menghayati tiga buah lagu yang disampaikan oleh Raja Rock Malaysia itu iaitu ‘Tiada Lagi’, ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’ (yang ditujukan khas buat Nik Aziz) dan Isabella.

Keadaan cuaca yang tidak begitu panas memberi peluang peminat Amy Search untuk mengikuti persembahannya dengan mudah.

Memandangkan majlis berkenaan diadakan pada siang hari, peminat Amy dapat melihat wajahnya dengan lebih jelas lagi.

Renggo Arrow sertai PAS

Renggo, vokalis kumpulan Arrow menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Sempena program yang bertemakan ‘Jom Sertai PAS’ itu juga, vokalis kumpulan rock ‘Arrow’ Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membuat kejutan apabila secarah sah menyertai PAS pada hari tersebut.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Nik Aziz di atas pentas sebelum majlis berkenaan berakhir.

Turut menyaksikan majlis yang penuh ceria itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato’ Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri Haji Abdul Fatah Mahmood, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Dato’ Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti.

Renggo yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan juga terkenal dengan jolokan raja syahdu adalah antara 50 orang golongan belia lain yang turut menyertai PAS sempena majlis yang julungkali pernah diadakan di peringkat negeri itu.

Bagaimanapun Amy Search yang juga turut bersyukur dapat bersama lagi dengan Tuan Guru yang menjadi ‘idolanya’ belum berbuat demikian.

Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian,” ujarnya.

Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Nik Aziz yang turut hadir ke restorannya Cheng Ho di Kuala Lumpur.

Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah.

“Pada 19 April nanti Tuan Guru akan mengerjakan umrah lagi, sepatutnya saya juga akan ke sana, namun memandangkan keadaan tidak mengizinkan, saya terpaksa memilih tarikh lain,” ujarnya lagi. Siasahdaily


MAIS mahu lagu Agnes Monica diharamkan

13 Mac, 2009 5:35 PM
Agnes Monica

Agnes Monica. Foto diambil dari mStar Online.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mahu agar tindakan diambil mengharamkan sebuah lagu Indonesia berjudul “Allah Peduli” kerana liriknya antara lain menyebut “…sebab Allah Yesusku mengerti.”

Pengerusi MAIS Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata walaupun beliau belum pernah mendengar lagu itu, tindakan mengharamkannya wajar diambil memandangkan ia menyentuh sensitiviti yang membabitkan soal agama.

“Kita umat Islam dalam perakuan kepercayaan kepada Allah yang maksudnya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, jelas mengakui Allah itu Esa, maka larangan penggunaan Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelak kekeliruan di kalangan orang Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai lagu berkenaan nyanyian penyanyi Indonesia, Agnes Monica.

Dalam lagu berkenaan, perkataan Allah diulang beberapa kali manakala perkataan ‘sebab Allah Yesus ku mengerti’ kedengaran pada bahagian akhir lagu selama tiga minit 40 saat itu.

“Ada sesetengah dari kita yang tidak faham dengan kandungan lirik dan membuta tuli ikut menyanyi. Lirik ini secara senyap memesong keimanan dan akidah,” kata Mohamad Adzib.

Beliau berkata MAIS akan mengambil tindakan mengharamkan lagu itu serta menarik semua edaran album yang mengandungi lagu berkenaan sebaik kajian dan penelitian dibuat.

“Kita minta pihak yang berkenaan di peringkat kerajaan pusat turut memantau isu lirik lagu ini dan mengambil langkah sewajarnya demi memelihara kesucian agama Islam,” katanya.

http://www1.mstar.com.my


Geng: Pengembaraan Bermula pecah rekod filem Melayu?

6 Mac, 2009 6:53 PM

Berita baik bagi penonton yang belum berpeluang menonton filem Geng: Pengembaraan Bermula. Pengarahnya, Mohd. Nizam Abd. Razak hari ini berkata pihak pawagam meneruskan tayangan filem tersebut untuk minggu keempat ini.

Filem terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. itu ditayangkan di pawagam sejak 12 Februari lalu.

Kini, filem yang menampilkan watak popular iaitu Upin dan Ipin ini telah berjaya memberikan pulangan modal selepas membelanjakan sebanyak RM4.2 juta untuk pembikinannya.

“Filem Geng secara rasminya telah mengumpul RM5 juta dalam masa tiga minggu. Lagi RM800,000 untuk filem ini memecah rekod filem Melayu.

“Saya rasa minggu ini kita boleh mengutip minimum RM1 juta,” luah Nizam mengenai kejayaan kutipan filem tersebut.

Selain itu, Nizam turut berkata filem ini kemungkinan akan dilanjutkan tayangannya ke musim cuti sekolah pula jika masih mempunyai permintaan dan tidak mustahil jika dia berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM10 juta.

“Kalau dapat RM8 juta pun sudah ok..,” beritahunya.

Berita asal : www1.mstar.com.my


LNJ tersingkir, Amir lebih bertuah mara ke final RL3

28 Februari, 2009 11:53 AM

Malam semalam aku berkesempatan menonton rancangan Raja Lawak Astro musim ke 3. Hanya tinggal 4 sahaja peserta, masing-masing 2 peserta solo dan 2 peserta berkumpulan. Mereka ialah Sepah, LNJ, Jihan dan Amir.

Sebelum bermulanya rancangan tersebut, ketika bersarapan pagi dengan rakan-rakan sepejabat, masing-masing bertanyakan siapakah yang bakal tersingkir dalam rancangan malam nanti. Apa taknya, malam semalam adalah minggu ke sembilan dan ini bermakna minggu depan merupakan minggu ke sepuluh yang juga merupakan minggu terakhir untuk menobatkan juara Raja Lawak yang baru.

Semasa program berlangsung, Amir telah dipilih untuk memulakan persembahan. Aku perasan lawak Amir memang tidak menjadi bagi segmen pertama dan juga kedua. Aku dapat dengar penonton tidak ramai yang bergelak ketawa dengan lawak yang Amir cuba sampaikan. Jika penonton tidak ketawa, aku pun tidak rasa persembahan Amir boleh membuatkan aku tergelak sama. I’m sorry Amir.

Kumpulan Sepah melakukan penampilan sebagai peserta kedua. Seperti biasa, mereka membuat persembahan dengan bersahaja dan selamba. Aku lihat mereka bukan seperti berada di atas pentas lawak tetapi seperti berbual-bual dengan rakan masing-masing sahaja lagaknya. Penampilan mereka bertiga semulajadi. Lawak-lawak yang dilontarkan menjadi, punch line banyak dan ramai penonton yang dapat sama-sama bergelak ketawa termasuk diri aku sekali yang menonton di hadapan kaca tv! Tahniah Sepah! Anda bertiga memang berbakat dan bakal berjaya dalam industri hiburan apabila keluar daripada program realiti tersebut selepas ini. InsyaAllah.

Jihan dan LNJ pula, lawak mereka memang OK. Aku senang dengan persembahan mereka malam semalam.

Tiba waktu untuk mengumumkan siapa yang layak ke pusingan akhir minggu depan. Waktu ini, aku jangkakan Sepah, Jihan dan LNJ akan ke final. Nama Amir memang tiada dalam senarai aku langsung. Apabila diumumkan Sepah dan Jihan terpilih, aku gembira. Ketika tinggal satu lagi tempat untuk diketahui, hanya tingga LNJ dan Amir sahaja yang berdiri di atas pentas.

Apabila Fauziah Nawi mengumumkan Amir layak ke peringkat akhir, aku rasa tak setuju dan mungkin ramai juga penonton di dalam studio mahupun di luar yang sependapat dengan aku. Amir kelihatan seperti tidak percaya, seakan mengalirkan air mata walaupun pada awalnya dilihat berada dalam keadaan sedih, sugul kerana komen-komen juri tidak berpihak kepada dirinya selepas tamat membuat persembahan.

Apa boleh buat, keputusan undian SMS adalah muktamad. Aku rasa undian SMS ini juga boleh disifatkan kejam kerana berkuasa untuk menyingkirkan peserta yang berbakat dan layak untuk meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

Cadangan aku, undian SMS bagi rancangan realiti seperti Raja Lawak ini dihapuskan sepenuhnya atau hanya mewakili sebanyak 30 peratus undian daripada penonton sahaja pada masa hadapan. Lebih elok jika juri-juri diberi kuasa penuh untuk menyingkirkan peserta yang gagal memberikan persembahan yang berkualiti. Kita ingin cari kualiti bukan kuantiti.

Secara peribadi dan sejujurnya, aku memilih kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak Astro musim ke 3 yang akan berlangsung pada minggu depan. Kepada Amir, apa yang buat aku berpaling tadah dengan sokongan aku tu pasal, Amir hanya bisa membuat aku ketawa pada dua minngu yang awal sahaja iaitu sewaktu temanya Bebas dan Azam. Minggu-minggu seterusnya persembahan Amir mendatar, percakapan tidak lancar, persembahan seperti membaca skrip, tidak berjaya membuatkan para penonton ketawa dan hanya bernasib baik tidak tersingkir daripada diundi keluar. Harap Amir dan semua penyokongnya tidak berputus angsa ya dengan komen yang aku berikan ini.

Kepada anda yang akan menghantar undian SMS untuk minngu ke sepuluh nanti, nasihat aku mengundilah dengan bijak. Pilihlah peserta yang berbakat untuk ditabalkan sebagai juara semoga industri hiburan Malaysia khususnya pelawak-pelawak yang dilahirkan dapat menyemarakkan lagi persada seni tanahair.

Siapakah peserta pilihan anda? Lu pikirlah sendiri.


Aznil Nawawi dikurniakan pingat Johan Mahkota Wilayah

4 Februari, 2009 7:24 PM

Bandaraya Kuala Lumpur menyambut ulang tahun ke 35 penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2009 yang lalu. Tema Hari Wilayah tahun ini ialah Wilayah Maju Warga Sejahtera. Bersempena dengan sambutan tersebut, Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat pada hari Selasa, 02 Februari 2009 bertempat di Balai Rong Seri, Istana Negara.

Di dalam senarai 28 penerima Johan Mahkota Wilayah (JMW), salah seorang daripadanya ialah Perunding Kreatif Kumpulan, Astro Entertainment Sdn Bhd, Aznil Nawawi. Beliau juga merupakan pengacara rancangan Macam Macam Aznil, Jangan Lupa Lirik, Tom Tom Bak dan Kring Kring. Semoga pingat tersebut menjadi penyuntik semangat kepada dirinya untuk terus melakukan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas. Tahniah diucapkan kepada beliau. 🙂


Kejutan Anugerah Juara Lagu 23 (AJL23)

21 Januari, 2009 8:52 PM
Gambar para pemenang Anugerah Juara lagu 23 diambil daripada Berita Harian Online.

Gambar para pemenang Anugerah Juara Lagu 23 diambil daripada Berita Harian Online.

Kumpulan yang memperjuangkan muzik indie, Meet Uncle Hussein yang mendendangkan lagu berjudul Lagu Untukmu, telah dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 23 (AJL23) pada malam Ahad, 18.01.2009 yang lalu. Mereka juga turut mengungguli juara bagi kategori Pop Rock.

Sementara itu, lagu Sampai Syurga hasil karya Audi Mok dan Ahmad Izham Omar serta lirik dan nyanyian Faizal Tahir diumumkan pemenang kategori Balada. Kemenangan itu melayakkan mereka berkongsi wang tunai RM12,000. Faizal Tahir yang mencetuskan kontroversi pada hujung tahun 2007, merangkul dua lagi anugerah peribadi beliau iaitu Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik melalui persembahan bertenaga ketika mengalunkan lagu Sampai Syurga. Beliau tidak dapat beraksi pada Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22) pada bulan Januari 2008 gara-gara kontroversi buka baju dalam konsert Jom Heboh.

Turut menyerlah pada malam pengiktirafan untuk komposer, penulis lirik dan penyanyi tempatan adalah sentuhan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman dan Izza Rosli dendangan Farawahida menerusi lagu Persoalan Cinta yang dinobatkan sebagai juara kategori Etnik Kreatif.

Ternyata tekaan aku pada malam itu jauh tersasar. Aku jangkakan lagu Aku Stacy, Cuba dan Doa Dalam Lagu akan menjuarai tiap-tiap satu kategori yang dipertandingkan. Pilihan juri professional lebih tepat kerana buat tahun kedua berturut-turut, muzik indie telah diangkat sebagai Lagu Terbaik selepas kali pertama kumpulan Estranged melakukannya pada AJL22 melalui lagu Itu Kamu.