BN hampiri gelaran pembangkang

10 April, 2009 4:17 PM
bendera PAS

bendera PAS

Kemenangan dua calon Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau memberi isyarat Barisan Nasional (BN) semakin hampir bergelar pembangkang.

Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kemenangan itu membuktikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap PAS dan PR tetap utuh dan konsisten sejak dari pilihan raya umum 2008 lalu.

“Sesungguhnya kemenangan Bukit Gantang dan Bukit Selambau ini memberi isyarat bahawa penolakan rakyat terhadap BN dan UMNO berterusan dan menyaksikan PAS dan PR terus menjadi pilihan rakyat.

“Sokongan ini diyakini semakin meningkat dan dibuktikan dengan kemenangan berganda ini sejak pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh membawa ke Parlimen Kuala Terengganu dan kini kedua-dua kerusi ini.

“BN dan UMNO akan hampir dan kekal sebagai pembangkang berdasarkan perkembangan mutakhir ini,” katanya.

Menurut Roslan, PAS Selangor akan mempertingkatkan lagi usaha agar saki-baki kerusi BN khasnya UMNO di Selangor ini akan dapat ditumbangkan menjelang pilihan raya umum yang ke-13 nanti.

“Atas hakikat itu PAS Selangor menyeru kepada seluruh jentera parti di negeri ini untuk bekerja lebih keras supaya jumlah ahli-ahli UMNO di negeri ini yang berhijrah menyertai PAS terus meningkat dan menyeru seluruh anggota dan kakitangan kerajaan negeri Selangor setia dan bekerjasama dalam melaksanakan program dan agenda perjuangan PR di negeri ini.

“Berbekal sokongan padu rakyat, insyaAllah PR Selangor dijangka terus kukuh dan mampu bertahan sekali gus melupuskan peluang untuk BN kembali berkuasa,” katanya.

PAS Selangor juga kata Roslan, mengucapkan syabas kepada jentera dan petugas pilihan raya PAS negeri itu yang bekerja bertungkus-lumus dengan rakan-rakan PR bagi memastikan kemenangan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan S Manikumar. Sinar Harian


Rakyat tolak UMNO dan BN

10 April, 2009 2:55 PM
Abdullah Ya'akub

ADUN Ayer Lanas, Abdullah Ya'akub

Kemenangan PAS dan PKR dalam pilihan raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau memberi reaksi bahawa rakyat menolak UMNO seterusnya Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC), Abdullah Ya’akub berkata, rakyat kini sudah pandai menilai dan perkara ini menunjukkan keberanian rakyat.

“Bukit Gantang ini kubu UMNO dan kekalahan mereka menunjukkan rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional.

“Kemenangan ini cukup bermakna sekali dan isyarat ini turut memperlihatkan bahawa sokongan rakyat tidak berubah kepada kami,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan baru yang dilantik langsung tidak memberikan kesan untuk meraih sokongan rakyat sebaliknya keadaan lebih teruk berlaku.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas berpendapat bahawa kepimpinan UMNO perlu mencari jalan ‘membersihkan’ diri.

“Pemimpin dan parti itu sendiri perlu bersih, rakyat sudah celik dan membuat pemilihan bijak,” katanya. Sinar Harian Edisi Kelantan


Rakyat mahu Pakatan Rakyat terus perintah Kedah

10 April, 2009 12:09 PM
Mohd Firdaus Jaafar

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar

Kemenangan Pakatan Rakyat (PR) menunjukkan kerajaan PR terus disokong oleh rakyat Negeri Kedah yang inginkan PR terus memerintah negeri ini.

Ketua Urusetia Penerangan Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Kedah, Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat terus menyokong kerajaan PR yang di terajui oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak.

Menurutnya, rakyat sedar hanya kerajaan PR sahaja yang boleh membantu mereka untuk terus maju, oleh itu sokongan diberikan oleh semua kaum termasuk kaum Cina, India dan Melayu kepada calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) yang memenangi pilihan raya kecil Bukit Selambau, 7 April 2009 lalu.

“Saya berterima kasih kepada pengundi di Bukit Selambau dan Bukit Gantang yang telah memilih calon daripada PR untuk menjadi wakil rakyat mereka, kerana rakyat percaya hanya pemimpin dari PR yang akan membantu mereka untuk terus hidup dengan selesa.

“Rakyat tahu siapakah pemimpin yang boleh membantu mereka dan hanya kerajaan PR boleh melaksanakannya, ini boleh dilihat apabila negeri Kedah telah berjaya ditadbir oleh kerajaan PR setelah rakyat membuat pilihan untuk memilih calon daripada PR dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

Pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau telah dimenangi oleh S Manikumar (PKR) dengan majoriti 2,403 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ S Ganesan serta 13 calon bebas lain yang bertanding dalam pilihan raya tersebut, kelmarin.

Mohd Firdaus berkata, kemenangan calon PAS, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan majoriti 2,789 undi menewaskan calon BN, Ismail Safian menunjukkan rakyat negeri Perak mahukan pilihan raya umum negeri itu diadakan semula.

“Ini kerana untuk membaik pulih semula sistem pemerintahan negeri itu, memerlukan kerajaan PR memerintah semula negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dijangka pilihan raya umum akan datang menyaksikan pertandingan yang hebat dengan berkemungkinan besar negara akan diperintah oleh kerajaan PR yang merupakan kerajaan yang terbaik untuk memerintah negara ini. Sinar Harian Edisi Utara


Kemenangan bukti Pakatan Rakyat terus diterima

9 April, 2009 8:03 PM
Parti KeADILan Rakyat

Parti KeADILan Rakyat

Kemenangan pada pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau telah membuktikan Pakatan Rakyat (PR) sememangnya diterima rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman berkata, ini turut membuktikan rakyat telah menolak UMNO.

Menurutnya, pilihan raya kecil ini menjadi bukti dan rakyat telah menyuarakan apa yang mereka inginkan melalui undian.

“Dari awal lagi kita menjangka PR akan menang di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

“Kemenangan PAS di Bukit Gantang juga telah dijangka dari awal lagi kerana yakin dengan penyokong di sana,” katanya.

Menurutnya, ini adalah satu isyarat bahawa PR akan terus menerajui politik Malaysia pada masa hadapan.

Walaupun ramai calon bebas turut bertanding namun calon PR tetap mendapat undian lebih dan telah membawa kemenangan kepada PR.

“Jentera PR yang saling bekerjasama dan telus menjalankan tugas ketika pilihan raya juga banyak membantu kemenangan ini,” katanya.

Ditanya mengenai berkemungkinan pilihan raya kecil Penanti akan diadakan, beliau menyambut baik perkara itu.

Menurutnya, PR tidak perlu risau jika pilihan raya kecil Penanti akan berlaku kerana percaya kepada kemahuan rakyat. Sinar Harian Edisi Utara


Najib perlu laksana enam langkah pembaharuan

9 April, 2009 7:35 PM
Lim Guan Eng

Lim Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyarankan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan enam langkah pembaharuan baru dalam tujuan menggerakkan konsep ‘One Malaysia, People First and Performance Now’.

Menurutnya, enam langkah pembaharuan ini dicadangkannya berikutan kejayaan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

“Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan pihaknya akan mengadakan post mortem dalam mengkaji bagaimana PR dapat peningkatan dalam undi majoriti.

“Saya berpendapat daripada membuat post mortem berhubung kegagalan, seeloknya mereka melaksanakan enam langkah pembaharuan ini demi kejayaan konsep ‘Satu Malaysia’ yang diasaskan Najib,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dihantar kepada media, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, langkah pembaharuan pertama yang perlu diterapkan Najib ialah membubarkan parti berasaskan kaum yang terdapat dalam Barisan Nasional (BN) yang mana UMNO hanya menjaga orang Melayu, MCA untuk orang Cina dan MIC bagi orang India.

“Beliau juga perlu menghapuskan Akta ISA daripada mengkajinya semula serta membebaskan tahanan ISA tanpa bersyarat.

“Najib juga perlu menghapuskan Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar dalam menyokong kebebasan akhbar dan memberi peluang kepada rakyat negeri ini dalam mengetahui maklumat yang bebas,” katanya.

Guan Eng berkata, Najib juga perlu menunjukkan kesungguhan dalam memerangi amalan rasuah serta mengamalkan sistem tender terbuka yang memberi peluang kepada semua syarikat.

“Langkah yang kelima ialah membantu rakyat negara ini dengan mengurangkan tarif bekalan elektrik, memberhentikan subsidi gas kepada syarikat persendirian serta menghentikan kenaikan bayaran tol melalui pembelian syarikat konsesi lebuh raya.

“Langkah terakhir yang perlu dilaksanakannya ialah memulangkan balik kuasa kepada rakyat dalam memilih pemimpin dengan memberi kebenaran kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya. Sinar Harian Edisi Utara


Kemenangan tanda rakyat mahu DUN Perak dibubarkan

9 April, 2009 7:15 PM
Nga Kor Ming

Nga Kor Ming

Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak diminta untuk mendengar rayuan 2.4 juta penduduk Perak agar diberikan hak mereka untuk memilih kerajaan mereka sendiri.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang hadir dalam satu sidang media di Wisma DAP di sini semalam berkata, kegagalan BN untuk merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menunjukkan kehendak rakyat yang mahukan kuasa pemilihan dikembalikan semula ke tangan mereka.

“Kejayaan yang dicapai di kedua-dua kawasan itu menunjukkan kejayaan paling besar yang pernah dicapai oleh Pakatan Rakyat (PR). “Untuk kejayaan ini kami harus mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pengundi di dua-dua kawasan itu. Kami tabik dengan pengundi di sana,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berpendapat bahawa pengundi di kedua-dua kawasan itu harus diberikan pujian kerana berani untuk mencari perubahan.

Menurutnya, walaupun pihak BN memberikan pelbagai inisiatif seperti barangan dan wang tetapi pengundi kini telah celik dan menolak kepimpinan yang diumpamakan seperti ‘biskut’ iaitu hanya nampak muka semasa pilihan raya.

“Saya sendiri melihat bagaimana seorang pemimpin MIC cuba menyogok pengundi India di sebuah estet termasuk di estet Alagar di Bukit Gantang.

“Mereka diberikan hamper bernilai RM200, beras, minyak masak, tepung, basikal dan sebagainya. “Persoalannya kenapa baru kini hendak beri sumbangan kenapa tidak dari dahulu,” katanya. Beliau berkata, rakyat bukan sahaja tidak terpedaya dengan helah ini BN malah mereka gembira dengan cara pemerintahan PR selama 10 bulan. Sinar Harian Edisi Perak


Kemenangan Dato’ Seri Nizar sudah dijangka

9 April, 2009 6:59 PM
PAS berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang

PAS berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang

Kemenangan calon PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang sudah dijangka sejak awal lagi.

Ketua Wanita Parti KeADILan Rakyat (PKR) Tanjung Malim, Suraya Sulaiman berkata, kemenangan Nizar memang sudah dijangka oleh penyokong beliau.

Menurutnya, kemenangan ini jelas menunjukkan apa sebenarnya yang diinginkan rakyat yang inginkan pembaharuan dalam pentadbiran.

“Dengan kemenangan Dato’ Seri Mohammmad Nizar di Parlimen Bukit Gantang menunjukkan ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kepada beliau selama ini.

“Beliau boleh membawa masalah rakyat ke Parlimen dengan kejayaannya menduduki kerusi Parlimen dan seterusnya mampu menyelesaikan masalah rakyat Perak selama ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Suraya, rakyat Perak tidak perlu berasa rugi walaupun Nizar sudah tidak menjadi Menteri Besar lagi.

“Rakyat Perak tidak perlu berasa rugi lagi kerana kejayaan Nizar di kerusi Parlimen mampu membuatkan masalah rakyat setempat dibawa terus ke pengetahuan di Parlimen.

“Walaupun tidak lagi menjadi MB tetapi masalah rakyat boleh diselesaikan dengan suara yang akan beliau bawa di Parlimen nanti,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Nizar juga bukanlah disebabkan undi simpati masyarakat.

“Rakyat sudah nampak dan jelas dengan apa yang berlaku di sekeliling dan masyarakat mahukan satu perubahan yang mampu membantu mereka semua.

“Nizar mampu membawa perubahan kepada rakyat dan disebabkan itulah beliau dipilih rakyat, jelas kini apa yang sebenarnya diinginkan rakyat,” katanya.

Suraya juga menolak tanggapan Nizar tidak mampu menjaga dua kawasan jagaannya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dan juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

“Sedangkan PM mampu untuk menjaga satu Malaysia inikan pula dua kawasan kecil sahaja.

“Saya penuh yakin dengan kepimpinan Nizar yang mampu membawa arus perubahan kepada masyarakat di Perak kini,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


Tsunami politik kedua Malaysia

9 April, 2009 6:43 PM
Lim Kit Siang

Lim Kit Siang

Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan kemenangan dalam kedua-dua kerusi di Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikatakan sebagai tsunami politik kedua di negara ini dalam tempoh 13 bulan.

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berkata, keputusan di kedua-dua ‘bukit’ itu juga menunjukkan rakyat menolak pelantikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

“Peningkatan dalam majoriti undi yang diperoleh calon PR juga mengesahkan apa yang berlaku pada 8 Mac tahun lalu bukanlah satu kebetulan.

“Tetapi Barisan Nasional (BN) masih gagal untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakyat ini malah merampas Perak tanpa proses demokrasi dan tidak beretika dua bulan lalu.

“Jika mereka (BN) mendapat mesej yang disampaikan itu, kejadian rampasan di Perak tidak akan berlaku. “Kekalahan BN juga menunjukkan Najib telah mendapat dua undi ‘tidak percaya’ dalam tempoh empat hari pemerintahan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini semalam.

Kit Siang berkata, antara sebab kekalahan BN di kedua-dua kawasan berkenaan ialah kerana rampasan kuasa di Perak, ketidakprihatinan Najib untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan beberapa isu termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia.

“Selain itu masyarakat juga menolak kehadiran bekas Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad dan era ‘Kemahathiran’. “Baru dua hari memimpin negara, sumbangan Perdana Menteri yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi diketepikan tetapi Perdana Menteri keempat pula yang diutamakan,” katanya.

Menurutnya, antara kegagalan Najib dalam tempoh empat hari pemerintahannya ialah kegagalan membebaskan tahanan ISA dengan serta merta dan kemenangan PR di dua ‘bukit’ yang mencatatkan peningkatan majoriti.

“Kegagalan terakhir beliau ialah tidak dapat mengumumkan barisan kabinetnya dalam masa yang dijanjikan.

“Beliau seharusnya memanggil persidangan Parlimen untuk memberikan peluang anggota membuang undi untuk tengok berapa orang yang tidak percaya terhadap pimpinannya seperti yang dilakukan oleh Tun Abdullah dan Tun Hussein Onn sebelum menerima jawatan tertinggi negara itu,” katanya.

Sementara itu, berkaitan kekalahan PR di Batang Ai, beliau menyatakan, keseluruhan pimpinan PR akan mencari jalan bagaimana untuk menyampaikan mesej kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

”Kami akan merancang strategi bagaimana untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi di Sabah dan Sarawak. “Saya percaya penghuni kedua-dua negeri itu juga dahagakan pembaharuan selepas lebih 50 tahun ditindas,” katanya. Kit Siang ditemani oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran. Sinar Harian Edisi Perak


Kemenangan Dato’ Seri Nizar bukan hanya kerana undi simpati

8 April, 2009 7:49 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat tangan

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat tangan kepada para penyokong beliau selepas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Kemenangan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di kerusi Parlimen Bukit Gantang semalam, dipercayai bukanlah kerana faktor undi simpati semata-mata. Walaupun Musyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan tersebut, hakikatnya PAS itu sendiri semakin diterima oleh rakyat bukan Islam.

Namun, apa pun punca kemenangan PAS khasnya di Bukit Gantang, ia membayangkan penerimaan kebanyakan rakyat terhadap PAS yang memperjuangkan konsep PAS Untuk Semua dan tidak terhad kepada orang Melayu semata-mata.


Pakatan Rakyat tawan 2 ‘Bukit’, tewas di Batang Ai

8 April, 2009 5:59 PM
Dato' Seri Nizar, S Manikumar dan Malcolm Mussen Lamoh

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, S Manikumar dan Malcolm Mussen Lamoh merupakan 3 orang calon yang menang dalam pilihan raya kecil di 3 buah kawasan yang dijalankan serentak pada 7 April 2009 yang lalu.

Parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PAS dan PKR masing-masing mencatatkan kemenangan dalam pilihan raya kecil di P059 Parlimen Bukit Gantang dan N25 DUN Bukit Selambau malam semalam.

Calon PR dari PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, memperolehi undi sebanyak 21,860 manakala calon BN, Ismail Safian pula hanya mendapat sejumlah 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris hanya berjaya mengumpul sebanyak 62 undi sahaja. Oleh yang demikian, Dato’ Seri Nizar telah diisytiharkan memenangi kerusi panas tersebut dengan majoriti 2,789 undi.

Di kawasan N25 DUN Bukit Selambau, Kedah pula, calon PKR yang merupakan seorang ahli perniagaan S Manikumar, telah menewaskan 14 orang pesaingnya dalam perebutan kerusi yang telah ditandingi sebanyak 15 orang calon. Pilihan raya kecil di kawasan tersebut telah mencatatkan sejarah baru dalam arena politik di Malaysia kerana ianya telah ditandingi oleh lebih daripada 2 orang calon sebagaimana kebiasaannya. Sejarah kedua juga dicipta apabila semua 13 orang calon Bebas hilang wang deposit sebanyak RM8,000 setiap seorang iaitu RM5,000 merupakan deposit sebagai calon bagi kerusi DUN manakala RM3,000 lagi adalah deposit untuk poster. S Manikumar (12,632 undi), telah berjaya mengatasi pesaing terdekat beliau iaitu Dato’ S Ganesan (10,229 undi) yang mewakili BN dengan majoriti 2,403 undi.

PR gagal melakukan kemenangan bersih dengan keputusan 3-0, kerana calon mereka Jawah Gerang dari PKR kalah kepada calon BN, Malcolm Mussen Lamoh. Jawah memperolehi 2,053 undi tetapi Malcolm pula mendapat 3,907 undi. Kedua-dua calon itu dipisahkan dengan 1,854 undi majoriti bagi menentukan siapa yang lebih layak menjadi ADUN Batang Ai.

Walaupun PR hanya berjaya mencatatkan keputusan 2-1 dalam ketiga-tiga pilihan raya yang telah dijalankan dengan serentak, keputusan yang diperolehi telah membuktikan bahawa angin perubahan telah melanda kebanyakan rakyat di Semenanjung Malaysia sejak PRU12 pada tahun 2008 yang lalu. Momentum tersebut masih dapat dikekalkan sehingga hari semalam dan mungkin juga pada masa akan datang.

Satu perkara yang perlu diambil berat oleh PR ialah melakukan gerak kerja dan berusaha lebih kuat untuk menarik sokongan rakyat di Sarawak dan Sabah agar mengalihkan sokongan mereka daripada BN. Jika ia boleh dilaksanakan, sudah pasti PR dapat memerintah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dengan majoriti 2/3 tanpa perlunya sejumlah Ahli Parlimen atau ADUN melompat ke arah kita untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat.