Permohonan Nizar didengar 9 Julai

20 Jun, 2009 11:14 AM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pada 9 Julai ini untuk mendengar permohonan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mendapat kebenaran merayu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 3.22 petang di sini, semalam.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar juga memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu digantung jika kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Selain itu, beliau memohon kepada Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi supaya kes itu didengar oleh panel penuh 11 Hakim Mahkamah Persekutuan. Berita Harian

Advertisements

Dato’ Bung Moktar menghina Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar

17 Jun, 2009 10:00 AM

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Dato’ Bung Moktar Radin berkata, Nizar bertindak sebagai Hang Tuah apabila mengenakan lilitan dan melaungkan slogan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Nasib baik beliau tak bawa keris ke dalam Dewan, jika tidak beliau pun sudah tentu hunus keris, nasib baik beliau tidak bawa pistol,” katanya.

“Beliau kata jurutera, apa punya jurutera… beliau kena menjuruterakan diri beliau dulu,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen BN dari Kinabatangan itu, “Ini Dewan Rakyat, bukan Dewan Undangan Negeri Perak, yang boleh bersidang di bawah pokok.”

Itu adalah di antara kata-kata sinis yang diucapkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan pada Isnin lalu, 15.06.2009. Namun, kata-kata yang diluahkan oleh beliau tidak menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan beliau sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman.

Tidak mungkin ada Ahli Parlimen yang boleh membawa masuk senjata atau senjata api ke dalam sidang Dewan Rakyat. Bung Moktar juga seakan menyindir kelulusan akademik Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru mengangkat sumpah itu. Adakah beliau berasa cemburu dengan jawatan Nizar sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke-10?

Bung Moktar jangan lupa, angkara siapa yang menyebabkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) Perak bersidang di bawah pokok pada 03.03.2009 yang lalu? Kerajaan BN dengan bantuan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, polis dan FRUlah yang telah menghalang ADUN-ADUN PR Perak daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghadiri sidang DUN.

Kepada Bung Moktar, lain kali cakap tu biarlah beralas dan logik, jangan suka nak merapu sahaja sehingga menampakkan sifat kebudak-budakan dalam diri seorang wakil rakyat dan juga pemimpin. Orang bandar berasa malu dengan sikap dan tingkah laku anda sebagai seorang Yang Berhormat.


Tindakan Dato’ Seri Nizar dianggap putus wayar?

16 Jun, 2009 6:16 PM

Tindakan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin melaungkan perkataan hidup rakyat, bubar DUN dan memakai lilitan bubar DUN di kepala selepas mengangkat sumpah jawatan Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam sidang Parlimen pada 15.06.2009 disifatkan sebagai perkara yang amat memalukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Di dalam siaran Berita @ Bernama TV jam 8 malam 15.06.2009, Nazri juga mengatakan bahawa kelakuan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar merupakan tindakan putus wayar atau kurang waras. Nazri juga menambah, apabila perkara gila berlaku macam pagi tadi (semalam), Speaker boleh membuat keputusan berdasarkan pemerhatian beliau apa yang terjadi di dalam sidang Dewan Rakyat.

Namun, wajarkah kenyataan seperti itu diucapkan oleh seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen kepada seorang Ahli Parlimen baru daripada Pakatan Rakyat?

Tetapi, jika perbuatan mengucapkan perkataan seksis yang pernah dilontarkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Bung Moktar Radin mengapa tindakan seperti itu tidak dilabelkan sebagai amat memalukan dan putus wayar juga?

Jelas di sini, ia menggambarkan pendirian kerajaan BN yang takut dengan desakan, kritikan dan permintaan daripada sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan fahaman politik mereka.


Komen Nizar setelah digantung selama 2 hari menghadiri sidang Parlimen

16 Jun, 2009 4:02 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan bahawa tiada sebab bagi Speaker Dewan Rakyat untuk menggantung beliau dan enam Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain mulai semalam.

Beberapa orang Ahli Parlimen pernah mengenakan lilitan putih bagi membantah penggunaan ISA pada tahun 2001 terhadap pemimpin pembangkang.

“Saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan telah mendapatkan kebenaran Speaker untuk mengatakan sesuatu di Parlimen.”

“Beliau meminta saya menanggalkan lilitan dan saya telah melakukan. Kemudian saya duduk di tempat saya dan tidak sampai 10 saat, beliau mengarahkan saya keluar Dewan,” katanya.

Nizar menambah, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk menyoal penggantungannya apabila kembali ke Dewan Rakyat pada hari esok.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyokong kempen memakai lilitan “BUBAR DUN”.

PAS melancarkan kempen itu pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 minggu lalu.

“Apa yang dilakukan oleh Nizar semalam menunjukkan manifestasi beliau tentang perkara yang berlaku di Perak. Beliau cuba nak sampaikan perkara itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


Nizar berhak kemuka rayuan

5 Jun, 2009 3:35 PM

Tindakan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dianggap berhak melalui undang-undang.

Timbalan Menteri Luar Negara, merangkap Ahli Parlimen Kampar, Dato’ Lee Chee Leong berkata, tindakan Dato’ Seri Nizar adalah beliau mempunyai hak dalam undang-undang negara.

Menurutnya, mengikut undang-undang negara, setiap orang mempunyai hak menggunakan saluran yang betul selagi tidak mendatangkan kekecohan dan salah di sisi undang-undang.

“Itu adalah hak beliau untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, jadi terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berhubung pentadbiran Dato’ Seri Zambry sebagai Menteri Besar Perak diumumkan 22 Mei lalu, Chee Leong berkata, Mahkamah Rayuan memutuskan siapakah Menteri Besar yang sah, jadi Dato’ Seri Zambry hanya menjalankan tugas yang diperintahkan.

Katanya, Zambry hanya mengikut apa yang diperintahkan serta menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar yang sah dan berupaya mentadbir Perak. Sinar Harian


Perwakilan Dewan Pemuda PAS Perak berpakaian serba hitam

4 Jun, 2009 7:01 PM

Sekumpulan 17 orang perwakilan Dewan Pemuda PAS Perak menarik perhatian di muktamar dewan tersebut hari ini apabila mereka hadir berpakaian serba hitam bagi menuntut Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Ada antara mereka yang turut memakai ikat kepala berwarna hitam yang bertulis ‘Bubarkan DUN Perak’.

Kehadiran mereka turut menarik parhatian Pengerusi Tetap Muktamar Dewan Pemuda PAS, Misbahul Munir Masduki.

Beliau secara berseloroh berkata: “Mengapa sekuriti di majlis kali ini begitu longgar…macam mana boleh benarkan mereka yang pakai hitam masuk ke majlis ini…”

Selepas itu, barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS yang duduk di pentas turut memakai ikatan berwarna hitam di lengan masing-masing.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Saleh mengajak rakyat Perak dan orang muda memakai baju hitam setiap hari Sabtu sehingga DUN Perak dibubarkan.

Menurutnya, satu perhimpunan kemuncak untuk mendesak pembubaran DUN Perak akan diadakan Ogos depan.

Perak dilanda kemelut politik apabila BN mengambil alih kuasa di negeri itu daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, Perak mempunyai dua Menteri Besar – Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (Pakatan Rakyat) dan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN).

Nizar kemudiannya membawa kes tersebut ke mahkamah untuk mendapat pengisytiharan Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, Zambry telah merayu ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya mengisytiharkan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.


Kes belum selesai, Nizar kemuka rayuan 8 Jun

4 Jun, 2009 6:15 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, panel peguam yang mewakili beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian pada tarikh itu, walaupun belum menerima kertas penghakiman bertulis daripada Hakim Mahkamah Rayuan.

“Walaupun keadaan ini menyukarkan peguam Pakatan Rakyat (PR), tetapi kita akan teruskan proses ini dengan bukti dan fakta yang ada,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan PR di Wisma DAP di sini, semalam.

Pada 12 Mei lalu, Zambry mengemukakan rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN dan dengan itu Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berkata, semua 69 individu termasuk beberapa wakil rakyat PR yang ditahan di kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika sidang DUN pada 7 Mei lalu akan membuat laporan polis.

“Semua mereka akan berkumpul di Wisma DAP pada jam 9.30 pagi untuk membuat laporan, bahawa polis telah menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka tanpa sebab semata-mata kerana memakai baju hitam,” katanya. Sinar Harian