Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Komen Nizar setelah digantung selama 2 hari menghadiri sidang Parlimen

16 Jun, 2009 4:02 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan bahawa tiada sebab bagi Speaker Dewan Rakyat untuk menggantung beliau dan enam Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain mulai semalam.

Beberapa orang Ahli Parlimen pernah mengenakan lilitan putih bagi membantah penggunaan ISA pada tahun 2001 terhadap pemimpin pembangkang.

“Saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan telah mendapatkan kebenaran Speaker untuk mengatakan sesuatu di Parlimen.”

“Beliau meminta saya menanggalkan lilitan dan saya telah melakukan. Kemudian saya duduk di tempat saya dan tidak sampai 10 saat, beliau mengarahkan saya keluar Dewan,” katanya.

Nizar menambah, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk menyoal penggantungannya apabila kembali ke Dewan Rakyat pada hari esok.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyokong kempen memakai lilitan “BUBAR DUN”.

PAS melancarkan kempen itu pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 minggu lalu.

“Apa yang dilakukan oleh Nizar semalam menunjukkan manifestasi beliau tentang perkara yang berlaku di Perak. Beliau cuba nak sampaikan perkara itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


Kata dua Najib sudah terlewat

26 Mac, 2009 6:48 PM
Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub

Peringatan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahukan perubahan dilakukan dalam parti untuk meneruskan survival UMNO dilihat satu gesaan yang sudah terlewat ibarat ‘hari yang sudah Maghrib’.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, masalah politik wang sama ada di peringkat akar umbi mahupun kepimpinan yang semakin menebal salah satu petanda bahawa kata dua ‘berubah atau rebah’ oleh Najib tidak akan mampu lagi untuk menyelamatkan UMNO.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, teriakan kepimpinan tertinggi UMNO itu juga membawa maksud yang kedudukan UMNO ketika ini cukup kritikal dan menanti masa untuk berkubur dan terus jauh daripada hati rakyat negara ini.

“Bagi PAS kita melihat situasi ini sebagai satu pengajaran bahawa elemen tidak baik seperti politik wang yang diamalkan UMNO akan merosakkan parti, jadi PAS tidak akan sekali-sekali terjebak dalam masalah seumpama itu walaupun kita sudah berkuasa.

“Ini kerana tidak kira apa parti sekalipun, politik kotor yang diamalkan sudah pasti akan menyebabkan parti itu rebah dan tidak mampu bangkit lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Najib kelmarin yang mahukan UMNO berubah serta berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat bagi memenangi semula hati dan pemikiran rakyat, khususnya orang Melayu.

Gesaan itu juga dilontarkan lantaran hala tuju UMNO yang menyimpang jauh daripada perjuangan asal dan masalah politik wang menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama UMNO menukar haluan mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan laungan tersebut tidak akan mengubah ahli dan kepimpinan parti keluar daripada masalah politik wang.

Menurutnya, laungan yang sama pernah dibuat oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu memimpin UMNO dahulu dan hingga ketika ini masalah politik wang dalam UMNO makin parah serta tidak menunjukkan petanda untuk dihapuskan.

“Sebagai orang biasa dari luar UMNO, saya melihat gesaan Najib tidak akan memberi kesan kepada UMNO.

“Bagaimanapun saya tidak mampu meramalkan sama ada parti ini akan rebah kerana di negara lain seperti Zimbabwe, parti yang mempunyai pelbagai salah laku dan ditolak rakyat masih membentuk kerajaan mereka,” katanya. Sinar Harian


Pemimpin UMNO perlu belajar sejarah

4 Mac, 2009 6:38 PM

Dakwaan mengatakan PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) merupakan dalang kepada punca pergolakan politik di negara ini merupakan kenyataan dangkal daripada Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pemimpin UMNO perlu belajar sejarah sebelum menuduh pakatan pembangkang berbuat demikian.

Menurutnya, mereka juga jangan jadi hipokrit kerana sejarah membuktikan UMNO menjadi pelopor dalam menentang Sultan dengan mendesak supaya Akta Kekebalan Raja-Raja dimansuhkan.

“Jadi, jangan menuding jari kepada PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan tuduh kita jadi dalang kepada pergolakan politik yang berlaku hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Ali kelmarin yang mendakwa PAS dan PKR merupakan dalang kepada punca pergolakan politik semasa di negara ini.

Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya yang menjadi merupakan punca pergolakan politik di negara ini.

“Jika kita lihat apa yang berlaku di Perak sekarang, siapa yang memulakan situasi berkenaan. Jangan berpura-pura tidak mengetahui sejarah yang berlaku di negara kita.

“Malah, kita (PAS dan PKR) tidak pernah mempunyai rekod sama ada derhaka atau menentang Sultan atau kerabat diraja seperti yang didakwa oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, Yaakob Sapari berkata, dakwaan Mohd Ali itu dilihat sebagai satu propaganda politik yang sering dimainkan oleh Barisan Nasional (BN).

“Mereka seolah-olah ketandusan idea untuk menarik perhatian rakyat sebab itu beliau keluarkan kenyataan sedemikian. Saya nasihatkan supaya beliau (Mohd Ali) belajar semula sejarah negara ini.

“Cuba lihat sejarah, ketika Tun Dr Mahathir meminda Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan kita tengok banyak artikel-artikel di dalamnya menghina Raja-Raja. Jadi, siapa yang derhaka kepada Sultan?” katanya.

Menurutnya, Sultan serta kerabat diraja tidak sepatutnya ‘diheret’ ke dalam kancah politik sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka sendiri.

“Biar pilihan raya yang tentukan siapa yang layak ‘pegang’ Perak dan jika ia (pilihan raya) dibuat pasti tidak akan berlaku situasi yang terjadi seperti sekarang,” katanya.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mazli Saring berkata, kenyataan Mohd Ali tidak lebih untuk meraih populariti menjelang pemilihan UMNO hujung bulan ini.

Sumber berita : Sinar Harian