Nizar berhak kemuka rayuan

5 Jun, 2009 3:35 PM

Tindakan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dianggap berhak melalui undang-undang.

Timbalan Menteri Luar Negara, merangkap Ahli Parlimen Kampar, Dato’ Lee Chee Leong berkata, tindakan Dato’ Seri Nizar adalah beliau mempunyai hak dalam undang-undang negara.

Menurutnya, mengikut undang-undang negara, setiap orang mempunyai hak menggunakan saluran yang betul selagi tidak mendatangkan kekecohan dan salah di sisi undang-undang.

“Itu adalah hak beliau untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, jadi terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berhubung pentadbiran Dato’ Seri Zambry sebagai Menteri Besar Perak diumumkan 22 Mei lalu, Chee Leong berkata, Mahkamah Rayuan memutuskan siapakah Menteri Besar yang sah, jadi Dato’ Seri Zambry hanya menjalankan tugas yang diperintahkan.

Katanya, Zambry hanya mengikut apa yang diperintahkan serta menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar yang sah dan berupaya mentadbir Perak. Sinar Harian


Kes belum selesai, Nizar kemuka rayuan 8 Jun

4 Jun, 2009 6:15 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, panel peguam yang mewakili beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian pada tarikh itu, walaupun belum menerima kertas penghakiman bertulis daripada Hakim Mahkamah Rayuan.

“Walaupun keadaan ini menyukarkan peguam Pakatan Rakyat (PR), tetapi kita akan teruskan proses ini dengan bukti dan fakta yang ada,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan PR di Wisma DAP di sini, semalam.

Pada 12 Mei lalu, Zambry mengemukakan rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN dan dengan itu Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berkata, semua 69 individu termasuk beberapa wakil rakyat PR yang ditahan di kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika sidang DUN pada 7 Mei lalu akan membuat laporan polis.

“Semua mereka akan berkumpul di Wisma DAP pada jam 9.30 pagi untuk membuat laporan, bahawa polis telah menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka tanpa sebab semata-mata kerana memakai baju hitam,” katanya. Sinar Harian


Nizar nafi ADUN PR abai tanggungjawab

3 Jun, 2009 6:06 PM

Pakatan Rakyat (PR) menafikan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka gagal melaksanakan tanggungjawab atau turun ke kawasan masing-masing sepertimana didakwa oleh pelbagai pihak.

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tidak timbul isu wakil rakyat PR mengabaikan tugas mereka. Lawatan bertemu masyarakat tetap diadakan di kawasan masing-masing oleh ADUN-ADUN berkenaan.

Menurut ADUN Pasir Panjang itu, sejak dahulu ADUN PR sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing bezanya kini mereka dibebani dengan krisis politik yang melanda negeri ini akibat rampasan kuasa.

“Walaupun begitu, kita terpaksa melakukan dua kerja sekali gus, iaitu menyelesaikan masalah rakyat di samping menerangkan masalah kemelut politik untuk jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan penduduk yang mengatakan wakil rakyat-wakil rakyat PR di kawasan mereka tidak turun padang menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya sibuk berpolitik untuk menegakkan kebenaran.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, di samping menyelesaikan masalah rakyat, gerakan untuk menerangkan apa yang berlaku dalam politik hari ini disampaikan dalam bentuk ceramah, dialog dan forum.

“Rakyat perlu tahu apa yang berlaku dengan penerangan yang kita salurkan melalui lawatan yang kita adakan ke kawasan,” katanya.

Beliau berkata, mereka bukan hanya menyelesaikan masalah rakyat tetapi perlu pula berdepan dengan kemelut politik. Sinar Harian


Kemenangan Dato’ Seri Nizar sudah dijangka

9 April, 2009 6:59 PM
PAS berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang

PAS berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang

Kemenangan calon PAS, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang sudah dijangka sejak awal lagi.

Ketua Wanita Parti KeADILan Rakyat (PKR) Tanjung Malim, Suraya Sulaiman berkata, kemenangan Nizar memang sudah dijangka oleh penyokong beliau.

Menurutnya, kemenangan ini jelas menunjukkan apa sebenarnya yang diinginkan rakyat yang inginkan pembaharuan dalam pentadbiran.

“Dengan kemenangan Dato’ Seri Mohammmad Nizar di Parlimen Bukit Gantang menunjukkan ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kepada beliau selama ini.

“Beliau boleh membawa masalah rakyat ke Parlimen dengan kejayaannya menduduki kerusi Parlimen dan seterusnya mampu menyelesaikan masalah rakyat Perak selama ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Suraya, rakyat Perak tidak perlu berasa rugi walaupun Nizar sudah tidak menjadi Menteri Besar lagi.

“Rakyat Perak tidak perlu berasa rugi lagi kerana kejayaan Nizar di kerusi Parlimen mampu membuatkan masalah rakyat setempat dibawa terus ke pengetahuan di Parlimen.

“Walaupun tidak lagi menjadi MB tetapi masalah rakyat boleh diselesaikan dengan suara yang akan beliau bawa di Parlimen nanti,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Nizar juga bukanlah disebabkan undi simpati masyarakat.

“Rakyat sudah nampak dan jelas dengan apa yang berlaku di sekeliling dan masyarakat mahukan satu perubahan yang mampu membantu mereka semua.

“Nizar mampu membawa perubahan kepada rakyat dan disebabkan itulah beliau dipilih rakyat, jelas kini apa yang sebenarnya diinginkan rakyat,” katanya.

Suraya juga menolak tanggapan Nizar tidak mampu menjaga dua kawasan jagaannya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dan juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

“Sedangkan PM mampu untuk menjaga satu Malaysia inikan pula dua kawasan kecil sahaja.

“Saya penuh yakin dengan kepimpinan Nizar yang mampu membawa arus perubahan kepada masyarakat di Perak kini,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


Nizar lambang pembela rakyat Perak

25 Mac, 2009 7:09 PM
Dato' Seri Anwar Ibrahim

Dato' Seri Anwar Ibrahim

Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan calon terbaik pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, 7 April depan.

Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Mohammad Nizar berdasarkan pengalaman, pendidikan dan kesungguhan beliau semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini sehingga menjadi lambang pembela nasib rakyat pelbagai kaum di Perak.

“Kalau dilihat secara objektif sambutan terhadap Nizar di Bukit Gantang terutamanya di Perak, perlu diakui bahawa beliau menonjol sebagai tokoh yang disenangi rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan beliau yang bersih dan menjaga kepentingan orang Melayu, Cina, serta India di Perak.

“Kita dalam PKR telah mengerahkan seluruh kekuatan kita di Perak dan negeri berhampiran untuk membantu calon PAS dan insyaAllah Nizar akan menang di Bukit Gantang dengan undi yang lebih besar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu pada majlis mengumumkan calon di padang Taman Kota Jaya, Simpang, Taiping, Perak, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata, pemilihan Mohammad Nizar sebagai calon diputuskan selepas tinjauan terhadap rakyat Perak termasuklah di peringkat dalaman parti itu sendiri.

Beliau berkata, kemenangan PAS di Bukit Gantang amat penting untuk memberi satu nilai tambah yang lebih besar kepada parti itu selepas kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

“Situasi pilihan raya kecil kali ini ialah krisis politik yang berlaku di Perak, jadi krisis politik itu harus melibatkan orang yang berada dalam krisis itu sendiri supaya rakyat boleh membuat penilaian terhadap krisis ini.

“Kita rasa bahawa potensi untuk menang dengan satu kemenangan yang memberangsangkan itu ada pada Nizar,” katanya.

Mahfuz turut menafikan keputusan itu tidak direstui Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Koo Ham berkata, DAP menyokong siapa sahaja pilihan PAS tetapi pemilihan Mohammad Nizar merupakan calon paling tepat.

Menurutnya, pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan petunjuk penting adakah rakyat menerima tindakan Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengambil alih kerajaan PR tanpa mengikut lunas undang-udang.

“Oleh kerana Barisan Nasional takut untuk berhadapn dengan rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), pilihan raya kecil Bukit Gantang ini adalah peluang terbaik sebagai tanda protes kepada kerajaan BN di Perak,” katanya. Sinar Harian


Dato’ Seri Nizar calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang

24 Mac, 2009 7:19 PM
calon Pakatan Rakyat Bukit Gantang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemilihan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang. Gambar mStar Online.

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, malam tadi diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Ia diumumkan di padang Taman Kota Jaya di Simpang di sini kira-kira 10.50 malam tadi oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. “Saya memegang amanah jawatankuasa yang memutuskan nama beliau (Nizar),” kata beliau.

PAS mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat di sini petang semalam untuk memilih calon mereka. Empat nama calon dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkenaan. Dato’ Seri Nizar, yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang.

Nizar kehilangan jawatan Menteri Besar apabila kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat tumbang ekoran tindakan tiga ADUN keluar dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas tapi menyokong Barisan Nasional awal bulan lalu. Beberapa hari kemudian kerusi Bukit Gantang menjadi kosong.

Pengumuman calon Pakatan Rakyat ini dibuat kira-kira 10 hari selepas BN mengumumkan calonnya, Ismail Saffian. Ketika ditanya sebab beliau dipilih sebagai calon, Nizar berkata, pemilihannya sudah tentu mempunyai sebab dan alasan.

Sama ada pemilihannya di sebalik krisis politik akan membawa kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk menang, Nizar berkata, “kemungkinan ada.”

Nizar dalam ucapannya berkata beliau akan meneruskan amanah serta tugas baik yang ditinggalkan oleh Roslan Shaharom, yang meninggal dunia awal bulan lepas untuk membela nasib rakyat di negeri Perak serta negara amnya.

“Saya memohon simpati dan sokongan daripada seluruh pengundi dari Kuala Sepetang, Trong hingga ke Changkat Jering menterjemahkan niat yang baik untuk kemenangan pakatan pembangkang dan inilah kehendak rakyat di Perak,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Abdul Hadi dan kepimpinan pakatan pembangkang yang mencalonkan beliau untuk bertanding di Bukit Gantang.

Penamaan calon akan diadakan pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandang Roslan daripada PAS pada 8 Februari lalu.

Jumlah pengundi mengikut kaum Parlimen Bukit Gantang dan tiga kerusi DUN dalam kawasan itu Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong mempunyai pecahan peratusan kaum yang hampir sama di Perak.


BN punca pergolakan politik Perak – Dato’ Seri Nizar

24 Mac, 2009 1:42 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Pergolakan politik Perak pada hari ini dikatakan berpunca daripada Barisan Nasional (BN) yang merampas hak rakyat iaitu dengan mengambil alih pentadbiran di negeri itu.

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, musibah dan tragedi di negeri Perak kerana kepimpinan BN yang merancang untuk merampas hak rakyat pada 5 Februari lalu.

Menurutnya, walaupun keadaan politik negeri ini huru-hara tetapi ia tidak menghilangkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Pakatan Rakyat (PR).

“Musibah dan tragedi negeri Perak berlaku kerana kepimpinan BN yang merampas hak rakyat. Mereka merancang untuk berbuat demikian, sebab itulah Perak jadi huru-hara,” katanya dalam ucapannya sempena ceramah perdana di sini, kelmarin.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya berpesan kepada rakyat supaya bertenang dan tidak bertindak di luar batasan.

Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN), Pasir Panjang berkata, jika rampasan kuasa seperti yang dilakukan oleh BN berlaku di luar negara sudah tentu akan menyebabkan berlakunya rusuhan kaum.

“Kalau rampasan kuasa berlaku di luar Perak atau di luar negara, sudah tentu rusuhan kaum akan berlaku. Tetapi kami tidak berbuat demikian dan rakyat cukup sabar bersama UMNO dan BN.

“Sekarang rakyat tidak mahu lagi bersama BN dan mereka telah korbankan 50 tahun menanti perubahan di bawah pimpinan BN,” katanya.

Menurutnya, rakyat Perak sedar dan bersedia menukar kerajaan serta menyokong pentadbiran PR dan mencapai kemenangan pada pilihan raya lalu.

Beliau turut memberi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anggota polis yang memberi jaminan keselamatan kepada pemimpin PR pada malam ceramah perdana itu.

“Syabas kepada anggota polis kerana telah memberi jaminan keselamatan kepada kami. Mereka sudah menjadi sahabat baik kepada PR,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak


Nizar rai hari jadi bawah Pokok Demokrasi

19 Mac, 2009 1:35 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sambut hari lahir

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menerima buah limau bali daripada seorang kanak-kanak sebagai hadiah hari lahir.

Hujan lebat tidak menjejaskan hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk menyambut kelahiran Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ke 52 di bawah Pokok Demokrasi di sini, petang kelmarin 17-03-2009.

Sambutan bersempena dengan genapnya satu tahun Nizar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang ke 10 dihadiri lebih 50 tetamu termasuk wakil rakyat PR.

Dalam sidang medianya selepas majlis berkenaan, Nizar menyatakan pihaknya masih menunggu surat balasan dari Istana Kinta untuk membenarkan beliau masuk menghadap Sultan dan mempersembahkan tiga usul yang diluluskan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar pada 3 Mac lalu.

“Kita telah hantar surat itu minggu lalu dan masih menunggu jawapan dari pihak istana. Jika kami masih tidak mendapat jawapan, surat kedua akan dihantar.

“Mungkin Tuanku tidak menerima surat pertama, jadi kami akan menghantar surat yang kedua,” katanya.

Mengulas mengenai permintaan sempena hari jadi, Nizar menyatakan beliau ingin melihat Perak menjadi sebuah demokrasi contoh di negara ini.

Nizar turut menjelaskan kenangan manis sepanjang menjadi Menteri Besar ialah dapat menyatukan semua kaum di bawah satu payung pemerintahan.

Ketika menjawab soalan adakah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu yang menjadi wakil rakyat bebas sehingga menyebabkan Barisan Nasional berkuasa di negeri ini dan menjadikan zaman gelap kepadanya, Nizar menjawab:

“Tindakan kedua-duanya itu merupakan kenangan pahit dan zaman gelap kepada mereka yang terbabit dan bukan bagi saya.

“Tiada kenangan pahit bagi saya, tetapi setiap hari yang berlalu merupakan hari yang menarik,” katanya.

Pada majlis selama satu jam itu, Nizar disambut dengan pemberian buah limau bali oleh seorang kanak-kanak dan cenderahati dari Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri Buntong, K Balakrishnan.

ADUN Pasir Panjang itu juga sempat menjamah telur merah dan memotong kek hari jadi selepas melaungkan perkataan ‘hidup rakyat’ bersama tetamu.

Berita asal : Sinar Harian Edisi Perak


BN seperti kerajaan Attarturk – Nizar

18 Mac, 2009 12:50 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kedudukan kerajaan BN tidak ubah seperti pimpinan Mustafa Kamal Attarturk di Turki suatu ketika dahulu.

Menurutnya, BN bukan sahaja bertindak zalim dengan merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat (PR), malah banyak membohongi rakyat sepanjang 51 tahun pemerintahannya di negara ini.

“Segala pembohongan dan kezaliman mereka akan dapat dipertontonkan terus menerus sebelum ia jatuh dan akhirnya berkubur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Bersama Pemimpin di pekarangan kediaman Ketua Muslimah PAS Lenggong, Mariam Wan Abdul Latih.

BN dan UMNO, katanya, banyak melakukan perkara yang boleh menjatuhkan martabat Islam serta bangsa Melayu seperti melenyapkan tulisan Jawi iaitu sistem tulisan yang menggambarkan ciri Islam dari sistem pembelajaran dan penghidupan orang Melayu.

Mohammad Nizar berkata, mengikut perangkaan pada masa ini jumlah orang Melayu berkemahiran menulis Jawi agak berkurangan.

Mengikut purata, mereka yang berumur 60 tahun ke atas sahaja boleh menulis dan membaca tulisan Jawi.

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung sama seperti apa yang dilakukan Mustafa Kamal Attartuk di Turki pada zaman pemerintahannya.

“Mustafa Kamal memansuhkan tulisan tradisional Turki dan menggantikannya dengan tulisan roman Turki dalam sistem penulisan rasmi negara itu.

“Apa yang dilakukan BN dan UMNO sepanjang 51 tahun pemerintahannya adalah membawa pembohongan dan mengelirukan rakyat serta meruntuhkan institusi Melayu,” katanya.

Beliau berkata, bermula dari penghapusan tulisan Jawi daripada sistem pembelajaran, mereka tidak habis-habis melakukan perkara yang boleh menjatuhkan institusi Melayu di negara ini termasuk Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat mampu membunuh bahasa Melayu.

Katanya, apa yang lebih teruk ialah tindakan BN merampas kuasa dengan jelas menunjukkan kezaliman parti itu dan dianggap sebagai tidak bermaruah.

Berita asal : Sinar Harian