Parlimen Permatang Pauh kosong mulai hari ini…

31 Julai, 2008 4:13 PM

Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail telah meletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa hari ini. Langkah yang diambil ini ialah untuk memberi laluan kepada suami beliau, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi bertanding di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai Presiden PKR. Beliau juga telah menghantar surat perletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi Parlimen yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menang besar dengan majoriti 13,388. Beliau mendapat 30,348 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya tahun 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.


Chelsea 2 Malaysia 0…

30 Julai, 2008 7:09 PM

Semalam, 29.07.2008 bertempat di Stadium Shah Alam, Selangor, Chelsea hanya berjaya menundukkan Malaysia dengan keputusan 2-0 pada perlawanan itu. Ini merupakan perlawanan pra musim EPL 2008/2009 mereka dalam siri jelajah Chelsea Asian Tour 2008.

Pasukan Malaysia melalui cubaan pemain yang mewakili negeri Selangor, Amirul Hadi Zainal mempunyai 3 peluang untuk membolosi pintu gol Chelsea. Namun, 2 peluang yang diperolehi di separuh masa pertama dan 1 lagi peluang pada separuh masa kedua gagal disempurnakan dengan jaringan gol.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang Malaysia, Mohd Helmi Eliza Elias yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada para pemain Chelsea yang berstatus bintang. Satu percubaan first timer volley yang dilakukan oleh Deco, berjaya ditepis keluar oleh Helmi.

Namun, pintu gol Malaysia bolos juga pada minit ke 36 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Ashley Cole menjaringkan gol kedua Chelsea pada minit ke 52. Apa pun, syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan pasukan Malaysia kerana berjaya mengekang Chelsea daripada berkenduri gol pada malam itu.


Bowling AIC di Ampang Point…

30 Julai, 2008 5:59 PM

Ahad, 27.07.2008 yang lalu, aku telah menyertai satu pertandingan bowling yang telah dianjurkan oleh AnwarIbrahimClub.com Lembah Kelang di Ampang Super Bowl, Ampang Point Shopping Centre, Ampang, Selangor. Pertandingan bermula pada jam 3:30 petang. Sebanyak 10 buah kumpulan telah ditetapkan dan setiap satu kumpulan tersebut telah diwakili oleh 4 orang pemain yang terdiri daripada ahli-ahli AIC.

Ahli-ahli AIC yang hadir terdiri daripada mereka yang menetap di sekitar Lembah Kelang, Melaka, Johor, Pahang, Sarawak dan UK. Upacara perasmian telah dilakukan oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin. Selepas pertandingan berakhir, mereka yang hadir telah dijamu dengan makanan-makanan yang telah dibawa oleh rakan-rakan AIC yang terlibat. Konsep makanan adalah berkonsepkan pot luck. Saudara Shamsul juga telah menyampaikan barangan berupa hamper kepada 3 buah pasukan yang berjaya memperolehi jumlah jatuhan tertinggi dalam pertandingan tersebut.

Kemeriahan suasana jelas dirasakan oleh semua ahli AIC yang hadir pada hari itu. Objektif pertandingan ialah untuk mengeratkan hubungan dan juga sesi berkenalan bagi ahli-ahli baru AIC yang baru sahaja menyertai aktiviti kelab ini. Diharap pertandingan bowling ini akan dijadikan acara tetap di dalam kalendar tahunan AIC pada masa akan datang.


Bowling di Sunway Pyramid…

30 Julai, 2008 5:35 PM

Sabtu, 26.07.2008 yang lalu, aku terlibat di dalam satu sesi pemilihan pemain bowling yang dianjurkan oleh kelab sukan syarikat di mana aku bekerja. Ia telah diadakan di Sunway Pyramid Bowling Centre bermula jam 9:30 pagi. Setiap pemain perlu bermain sebanyak 4 games setiap seorang. Di akhir sesi tersebut, keputusan yang berjaya aku catatkan ialah 118, 143, 132 dan 98 jatuhan pin. Melalui keputusan itu, aku tidak berjaya tersenarai di dalam senarai 5 orang pemain yang mengumpul jumlah jatuhan pin tertinggi untuk mewakili syarikat dalam kejohanan bowling yang akan diadakan pada 16.08.2008 nanti.


Tiada pingat selama Sultan Terengganu masih Agong…

30 Julai, 2008 4:38 PM

Keputusan Istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-46 Sultan Terengganu pada Ahad lalu diambil berdasarkan titah baginda sendiri, kata ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Menurut bekas hakim kanan itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memaklumkan perkara itu ketika mula-mula ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 26 April tahun lalu.

“Menurut amanat Tuanku sewaktu mula-mula ditabalkan, semasa baginda tiada (menjadi Yang di-Pertuan Agong), tidak usah kurnia apa-apa (darjah dan pingat kebesaran),” katanya.

Tuanku Mizan juga ingin “mengurniakan sendiri” darjah dan pingat kebesaran kepada mereka yang layak, kata Abdul Kadir ketika dihubungi Malaysiakini.

“Tuanku hendak mengurniakan sendiri pingat. Kalau buat sekarang, bukan baginda sendiri yang mengurniakannya,” tambahnya.

Penganugerahan jika dibuat pada tahun ini, tambah Abdul Kadir, akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda dan juga Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

MPPR dibentuk sebagai membantu Tengku Muhammad yang belum mukallaf (cukup umur) sewaktu putera Tuanku Mizan ini dilantik sebagai Pemangku Sultan Terengganu.

Putera baginda diputerakan pada 1 Mac 1998.

Istana Terengganu, buat pertama kalinya, tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-46 Sultan Terengganu itu hujung minggu lalu.

Abdul Kadir, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, menafikan tindakan Sultan itu mempunyai hubungan dengan perkembangan politik semasa di negeri itu.

Keputusan tidak menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran itu juga, menurutnya lagi, dibuat berdasarkan kesibukan baginda sebagai pemerintah tertinggi negara dan terpaksa menghabiskan banyak masa di Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada tahun depan juga tiada sebarang penganugerahan akan dibuat, beliau berkata: “Kalau mengikut amanat itu, tiada.”

Bagaimanapun, selepas tamat tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong, penganugerahan akan dibuat seperti biasa, kata Abdul Kadir.

“Mesti ada,” katanya.

Sumber berita : Malaysiakini.com


Anwar sedia bertanding di Kulim…

30 Julai, 2008 4:17 PM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu jika mahkamah memutuskan kemenangan calon PKR tidak sah.

Zulkifli Noordin, yang berkelebihan majoriti 5,583 undi, kini berdepan dengan petisyen pilihanraya daripada calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Mahkamah Pilihanraya akan mendengar petisyen itu bulan depan selepas menangguhkan prosiding itu yang asalnya dijadualkan minggu ini.

Menurut mantan Timbalan Perdana Menteri itu, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Zulkifli.

Anwar juga sering disebut-sebut bertanding di kerusi asalnya Permatang Pauh yang dimenangi isterinya dan juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Bandar Tun Razak (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Lembah Pantai (anaknya Nurul Izzah).

Abdul Khalid, kini Menteri Besar Selangor, juga memenangi kerusi negeri Ijok.

Anwar berkata, belilau juga telah memberitahu pucuk pimpinan PAS dan DAP mengenai perkara tersebut.

Katanya, beliau memutuskan untuk bertanding kerusi Kulim-Bandar Baru tiga minggu lalu sebelum Mahkamah Pilihanraya membuat keputusan Ahad lalu.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini Anwar berkata, bagaimanapun, mahkamah telah menangguhkan petisyen itu didengar pada 19 Ogos depan.

Dalam sidang media itu juga, Anwar mengumumkan penyertaan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Fauzi Abdul Rahman dalam PKR.

Anwar juga diminta mengulas mengenai perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pucuk pimpinan PAS sejak pilihanraya umum lalu.

“Tiada sebab untuk mempersoalkan kepimpinan PAS, mereka mahu kekal dalam Pakatan Rakyat.

“Kerjasama dan komitmen mereka masih kuat dan Pakatan masih kuat,” katanya.

Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan, beliau tidak mahu DNAnya diambil kerana sudah mempunyai pengalaman buruk mengenai perkara tersebut.

Oleh kerana itu, katanya, beliau mempunyai sebab untuk merasa syak wasangka jika DNAnya diambil.

Sumber berita : Malaysiakini.com


Fauzi Abdul Rahman sertai PKR…

30 Julai, 2008 4:02 PM

Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Datuk Fauzi Abdul Rahman telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Julai 2008 yang lalu. Penyertaan Fauzi dalam PKR itu diumumkan oleh Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Fauzi pernah memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada Oktober 1990 sehingga 1995, Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (1995-1997) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1997-1999).

Beliau yang juga bekas Ketua Umno bahagian Kuantan, mula bertanding kerusi Parlimen Kuantan pada 1990. Pada 1995 beliau bertanding kerusi Beserah (DUN) dan menyandang kerusi tersebut sehingga 2004.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah dua lagi bekas pemimpin Umno yang telahpun menyertai PKR. Mereka ialah bekas Ketua Umno bahagian Kota Setar, Datuk Abdul Hadi Derani dan bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Mentakab, Datuk Mat Lazim Derani.


Sultan Mizan tidak Menganugerahkan Darjah Kebesaran…

30 Julai, 2008 2:36 PM

Istana Terengganu, buat pertama kalinya, tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-46 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada 20 Julai 2008 yang lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong mengesahkan perkara itu melalui surat yang diterimanya dari istana berkenaan tetapi beliau tidak mengetahui sebab-sebab upacara itu tidak diadakan seperti sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata majlis tahlil dan doa selamat tetap diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri itu, mulai malam 19 Julai 2008 serta di Istana Maziah pada tengah hari 20 Julai 2008.

Beliau berkata sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu tahun ini diadakan dalam keadaan sederhana.


Angkasawan Pertama Malaysia kini bergelar Dato’…

30 Julai, 2008 12:12 PM

Angkasawan Pertama Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah dianugerahkan bintang kebesaran Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sempena Hari Keputeraan baginda Ke-86 di Istana Seri Menanti, pada 19 Julai 2008 yang lalu.

Beliau merupakan orang Islam ke sembilan ke angkasa dan yang pertama merayakan Aidil Fitri nun jauh dari bumi. Beberapa isu juga telah timbul berkaitan dengan program angkasawan negara ini. Bermula dengan wang yang begitu banyak yang dibelanjakan untuk menjayakan program ini, akhirnya pihak kerajaan memaklumkan bahawa kosnya merupakan sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003.


Anwar ditahan Polis Bertopeng…

16 Julai, 2008 7:24 PM

kemaskini 3:59pm Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket – dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai “tidak bertamadun” kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.

Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya – Nurul Izzah dan Nurul Nuha – dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan tersebut.

Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk “membangkitkan isu tersebut”.

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.

Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“(Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa,” katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam).

Sementara itu, pada jam 5.40 petang, peguam N Sankara Nair memberitahu, Anwar masih lagi memberi kenyataan kepada pihak polis.

Sumber berita : malaysiakini.com