Indonesia keluarkan fatwa pengharaman merokok, Malaysia pula bagaimana?

31 Januari, 2009 1:00 PM

Perokok-perokok dan pihak pengurusan industri tembakau di Indonesia membidas langkah majlis ulama negara itu yang mengharamkan merokok. Bagaimanapun, aktivis kesihatan menyambut baik pengharaman tersebut tetapi menyatakan kerajaan perlu melakukan lebih banyak usaha bagi menghentikan amalan merokok.

Majlis Ulama Indonesia sebelum ini mengeluarkan fatwa bahawa merokok di tempat awam adalah haram. Wanita serta kanak-kanak yang merokok turut dikategorikan haram. Merokok merupakan amalan meluas di Indonesia. Harga rokok di negara itu adalah antara termurah di dunia di mana ia dijual kira-kira AS$1 atau bersamaan RM3.58 satu kotak.

Fatwa itu turut dibidas oleh syarikat tembakau di negara itu kerana pengharaman dijangka menyebabkan permintaan rokok bakal berkurangan.

Aku sokong fatwa pengharaman merokok yang dibuat oleh Majlis Ulama Indonesia. Merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan, membazir wang malah membeli dan menghisap rokok samalah seperti kita menyumbang kepada keuntungan syarikat-syarikat milik Amerika Syarikat-Israel. Tidakkah para perokok bersimpati dengan nasib semua rakyat Palestin? Jika anda bersimpati dengan mereka berhentilah merokok mulai sekarang!.

Aku juga masih menanti fatwa yang akan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Adakah mereka akan mengeluarkan fatwa yang sama dengan negara jiran tersebut? Walaupun kerajaan telah melancarkan kempen Tak nak! tidak berapa lama dahulu, ia seolah-olah tidak berkesan untuk mendidik perokok daripada menghentikan tabiat yang tidak memberi faedah kepada tubuh mereka.

Advertisements

Iran tuntut Obama minta maaf

30 Januari, 2009 8:52 PM
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta maaf berhubung jenayah yang dilakukan oleh AS ke atas negaranya sejak 60 tahun lalu.

Beliau turut mendesak supaya AS mengundurkan tenteranya dari seluruh dunia sebagai bukti bahawa Obama membuat perubahan dalam dasar luar.

“Anda (Obama) berdiri menentang rakyat Iran sejak 60 tahun lalu.”

katanya dalam satu ucapan di wilayah Khermenshah yang disiarkan secara langsung.

“Mereka yang bercakap untuk melakukan perubahan perlu meminta maaf kepada rakyat Iran dan cuba memulihkan perbuatan buruk dan jenayah yang dilakukan ke atas Iran.”

katanya lagi.

Berhubung penempatan tentera AS, Mahmoud menjangkakan satu perubahan asas oleh Washington akan berlaku.

“Bertemu dengan mereka, bercakap dengan mereka dengan perasaan hormat dan menamatkan dasar perluasan kuasa.”

“Jika anda bercakap mengenai perubahan, ia perlu disertai dengan menamatkan kehadiran tentera AS di dunia.”

tambahnya.

Aku juga sedang menanti tindakan yang akan dilakukan oleh Obama mengenai penempatan tentera-tentera Amerika di Iraq dan konflik Israel-Palestin. Adakah beliau akan melakukan perubahan di dalam pentadbirannya atau terus mengikuti dasar-dasar yang telah dijalankan oleh Presiden terdahulu iaitu George Bush? Sama-sama kita tunggu dan lihat.


PTPTN: kaji bayaran pinjaman Diploma dan Ijazah serentak

30 Januari, 2009 8:35 PM
Dato' Dr Mohd Shahrum Osman

Dato' Dr Mohd Shahrum Osman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengkaji kemungkinan membolehkan peminjamnya membayar pinjaman bagi dua akaun iaitu Diploma dan Ijazah secara serentak menerusi kaedah potongan gaji.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Dr Mohd Shahrum Osman, berkata pihaknya akan meneliti perkara berkenaan dan melihat kesesuaiannya berdasarkan peraturan dan undang-undang yang termaktub mengikut Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566).

“Kita akan kaji perkara ini berdasarkan kepada peraturan sedia ada, malah kita akan merujuknya kepada penasihat undang-undang sebelum mengambil sebarang keputusan.”

“Jika ia dilaksanakan, ia akan memudahkan peminjam PTPTN membuat bayaran bagi kedua-dua akaun.”

kata Pengerusi PTPTN itu lagi.

Ketika ini, peminjam yang mahu membuat bayaran menerusi potongan gaji hanya dibenarkan untuk membayar bagi satu akaun iaitu untuk Diploma saja, manakala untuk pinjaman Ijazah pula terpaksa melakukannya berdasarkan dua pilihan, sama ada secara manual iaitu dengan membayar di kaunter PTPTN dan bank tempatan ataupun menerusi kaedah dalam talian.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata lebih setengah juta peminjam tidak mampu mengelak membayar balik tunggakan pinjaman jika kementeriannya melaksanakan skim pembayaran melalui potongan gaji, tidak lama lagi.

Mengenai kadar caj perkhidmatan satu peratus, Mohd Shahrum berkata, peminjam tidak perlu bimbang dengan perkara itu kerana kelewatan PTPTN menghantar surat mengemas kini status pinjaman bukan bermakna peminjam akan dikenakan caj tiga peratus.

“Selepas mendapat maklumat yang diperlukan daripada peminjam, PTPTN akan meneliti perkara berkenaan sebelum sebarang pelarasan (kepada caj perkhidmatan satu peratus) dilakukan.”

Cadangan yang dikemukakan rasanya lebih praktikal ditujukan kepada peminjam yang menjawat jawatan tinggi dan bergaji besar sahaja. Kepada peminjam yang mempunyai dua akaun tetapi bergaji kecil pula, ia pasti memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan mereka. Apa sekalipun, diharap peminjam terbabit dapat merancang pendapatan bulanan mereka dengan tepat agar tidak menghadapi masalah untuk melakukan bayaran balik pinjaman mereka.


Henti cadangan naikkan harga gula

30 Januari, 2009 8:18 PM
Gula pasir dan gula perang

Gula pasir dan gula perang

Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Abdul Samad berhenti membuat kenyataan mengenai cadangan menaikkan harga gula kerana menimbulkan panik kepada pengguna.

Presidennya, Mohd Firdaus Abdullah, berkata kenyataan seperti itu menyebabkan pemborong menyorokkan bekalan dan pengguna pula bertindak membeli barang kawalan secara berlebihan untuk stok sebelum harga dinaikkan.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab menjaga kepentingan pengguna, beliau berkata, kenyataan bahawa kemungkinan harga gula dinaikkan dalam tempoh terdekat tidak perlu diumumkan terlalu awal.

“Bila kerajaan sudah putuskan harganya naik, baru buat pengumuman kerana kita bimbang pemborong dan peniaga menyorokkan bekalan gula dan akhirnya menyusahkan pengguna.”

“Ini menyebabkan berlaku masalah kekurangan bekalan komoditi berkenaan yang juga barang kawalan.”

kata Mohd Firdaus.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kerajaan mengkaji kemungkinan menaikkan harga gula berikutan kenaikan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa dengan kira-kira 90 peratus bekalan gula negara adalah dari luar negara.

Shahrir dilaporkan berkata, pengumuman kemungkinan kenaikan harga gula daripada RM1.45 sekilogram selepas sambutan Tahun Baru Cina tidak akan mendorong kepada masalah kekurangan bekalan itu.

Mohd Firdaus berkata, walaupun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kehabisan gula di pasaran, masalah itu mungkin berlaku dalam tempoh terdekat jika orang ramai panik.

Aku harap jangan ada pihak yang menangguk di air keruh ketika pengguna berada dalam keadaan panik akibat ura-ura kenaikan harga gula. Jika pemborong menyorokkan bekalan gula, pihak KPDNHEP perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka dan bukannya menyalahkan peniaga runcit sahaja.


Ramlang Porigi dihukum buang kerja

30 Januari, 2009 7:31 PM
Ramlang Porigi merupakan bekas Imam Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ramlang Porigi merupakan bekas Imam Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bekas Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi, yang dikaitkan sebagai saksi sumpah laknat seorang pemuda yang mendakwa diliwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dikenakan hukuman buang kerja.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, ketika dihubungi di Brunei mengesahkan tindakan itu yang diambil mengikut prosedur biasa tatatertib jabatan kerajaan. Beliau berkata hukuman itu berkuatkuasa minggu ini tetapi tidak dapat memberikan tarikh tepat.

Bagaimanapun, Ramlang boleh mengemukakan rayuan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam berhubung tindakan jabatan itu dan Lembaga Rayuan Tatatertib akan mengkajinya. Wan Mohamad berkata surat berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Sumber Manusia Jakim awal minggu ini.

Apa nak jadi dengan situasi di Malaysia masa kini. Jika penjawat awam membantu pihak pembangkang mereka akan dikenakan tindakan disiplin atau dibuang kerja. Tetapi jika mereka menyebelahi pihak kerajaan, seperti cerita seorang Duta Malaysia ke Mongolia yang turut sama berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008 yang lalu, tiada sebarang tindakan dikenakan kepadanya.

Rakyat seperti tidak boleh menyuarakan pendapat atau pandangan masing-masing dan mesti sentiasa menyokong kerajaan sahajakah? Inikah yang dinamakan kebebasan bersuara dan amalan demokrasi yang selalu dilaung-laungkan? 😦


Dr Juanda Jaya dilantik Mufti Perlis yang baru

30 Januari, 2009 7:19 PM
Mufti negeri Perlis yang baru, Dr Juanda Jaya.

Mufti negeri Perlis yang baru, Dr Juanda Jaya.

Bekas Naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya, 37, akan dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru, menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kontraknya ditamatkan pada akhir November lalu.

Pelantikan Dr Juanda yang juga bekas Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, disahkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, sekaligus merungkai spekulasi mengenai calon Mufti Perlis sejak jawatan itu dikosongkan dua bulan lalu. Malah, pelantikan beliau ke jawatan berkenaan juga sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Berdasarkan kontrak, Dr Juanda dipinjamkan kerajaan Sarawak untuk mengisi jawatan Mufti Perlis bagi tempoh dua tahun dan beliau dijangka memulakan tugas awal Februari ini, selepas urusan pemindahan selesai dengan kerajaan Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jawatan Mufti Perlis kosong apabila kontrak Dr Asri yang dipinjamkan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada kerajaan negeri tamat tempoh pada 1 Disember lalu. Malah, Dr Asri sebelum berangkat ke England untuk membuat kajian berkaitan perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundamentalis dan orientalis di Lampetex, United Kingdom pernah menamakan beberapa calon, termasuk Dr Juanda yang dianggap sesuai sebagai pengganti beliau.

Dr Juanda dari keturunan Melanau adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dan mempunyai Ijazah Sarjana Syariah dengan pengkhususan Penggubalan Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Md Isa berkata selain diperkenan Tuanku Raja Perlis, pemilihan Dr Juanda untuk mengisi kekosongan jawatan Mufti Perlis berdasarkan kelayakan peribadi, terutama akademiknya yang tinggi serta sumbangannya kepada agama Islam. Paling penting, beliau dianggap calon paling sesuai kerana begitu memahami mengenai Mazhab Sunnah Wal Jamaah yang selari dengan perlembagaan negeri.

Nampaknya negeri Perlis ketandusan tokoh agama yang berwibawa untuk dilantik sebagai Mufti. Tokoh agama terkenal yang berasal dari negeri tersebut yang aku tahu ialah Dato’ Dr Haron Din. Perlis perlu melahirkan lebih ramai tokoh agama pada masa akan datang bukan sahaja untuk kebaikan rakyat negeri Perlis khasnya, malah untuk kegemilangan agama Islam buat seluruh rakyat Malaysia amnya.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr Juanda Jaya yang bakal dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru. 🙂


Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI

30 Januari, 2009 10:49 AM
Kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Mari kita jayakan pelancaran Gerakan Memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) yang akan diadakan seperti berikut :

1. Tarikh : Sabtu 31.1.2009
2. Tempat : Sogo, Kuala Lumpur
3. Masa : 3:00 petang
4. Perasmi : Dato’ Dr Hassan Ahmad, Pengerusi GMP (Bekas Ketua Pengarah DBP)
5. Tetamu : Semua badan gabungan GMP daripada NGO, Parti-Parti Politik dan pejuang-pejuang bahasa.

Matlamat GMP adalah untuk mengadakan Himpunan 100 Ribu di Istana Negara pada 7 Mac 2009 – Sabtu. Semua dijemput hadir.

Sumber : Laman web Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)