Salam Ramadan Al Mubarak 1430 Hijrah

22 Ogos, 2009 2:13 PM

Hari ini 1 Ramadan 1430 Hijrah, umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan bulan yang mulia dan penuh barakah ini secara sederhana. Malam tadi penulis telah berpeluang menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di sebuah masjid yang berdekatan dengan kediaman.

Semasa penulis ingin mengambil wuduk, barulah penulis perasan bahawa tempat mengambil wuduk bagi jemaah lelaki yang biasa digunakan sedang dalam proses pengubahsuaian. Maka, ramailah jemaah lelaki yang perlu mengambil wuduk di luar masjid di mana kebanyakan paip air disediakan di situ.

Inilah kesannya apabila penulis jarang mengunjungi masjid pada hari-hari biasa. Ia adalah kerana pada hari-hari biasa penulis sibuk dengan urusan kerja atau peribadi yang menuntut diri ini pulang lewat ke rumah. Oleh itu jarang sekali penulis dapat berpeluang solat berjemaah dengan ahli kariah yang lain di masjid itu.

Namun, sesungguhnya bulan Ramadan mempunyai pelbagai keistimewaannya yang tersendiri. Apabila tibanya bulan Ramdan, rutin harian penulis boleh pula berubah. Penulis atau mungkin juga para jemaah yang jarang menjejakkan kaki ke masjid pada bulan-bulan yang lain, mula beramai-ramai menuju ke masjid dan surau. Penulis mempunyai banyak masa ke masjid untuk melakukan solat fardu dan solat sunat.

Pelik kan? Kenapa hanya pada bulan Ramadan sahaja penulis atau kita dapat meluangkan masa ke masjid atau surau tetapi apabila berakhirnya bulan Ramadan, kita pun berhenti melakukan ibadah di sana? MasyaAllah! Adakah ibadah puasa kita pada bulan Ramadan tidak dapat mentarbiahkan diri untuk terus istiqamah menunaikan solat di masjid atau surau? Adakah kita tidak mendapat keberkatan dan hidayah di bulan Ramadan sehingga kita terus bertukar kepada seorang individu yang melupakan masjid dan surau apabila berakhirnya bulan Ramadan? Wallahu’alam.

Penulis merasakan permasalahan ini dapat diatasi melalui azam yang kuat, disiplin dan kalbu. Jika kalbu kita percaya kepada janji-janji Allah dan takut akan azab Allah pada hari akhirat, nescaya kita mampu mengubah diri sendiri menjadi seorang insan yang bertakwa. InsyaAllah.

Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapakan selamat menjalani ibadah puasa. Semoga segala puasa dan ibadah-ibadah kita yang lain pada bulan ini dilipat gandakan ganjaran pahalanya dan diberkati oleh Allah S.W.T. Amin. Ingatlah bahawa bulan Ramadan mempunyai 3 hikmah. Permulaan Ramadan adalah rahmat, pertengahan Ramadan adalah pengampunan dan pengakhirannya adalah terlepas daripada azab api neraka. Subhanallah.


Bulan Sya’ban 1430 Hijrah telah sampai ke penghujungnya

21 Ogos, 2009 7:10 PM

Sudah lama penulis tidak mengemaskini entri di dalam blog ini kerana sibuk dengan kerja dan juga menghadiri kelas. Entri terakhir sebelum ini adalah pada 20 Jun 2009 yang lalu. Ini bermakna telah 2 bulan penulis meninggalkan blog peribadi ini tanpa sebarang catatan.

Pejam celik, pejam celik bulan Sya’ban 1430 Hijrah telah sampai ke penghujungnya pada hari ini. Esok seluruh umat Islam di Malaysia dan beberapa buah negara di dunia akan menyambut ketibaan bulan Ramadan pula. Begitu cepat masa berlalu. Tidak sedar yang kita akan melangkah ke bulan yang baru. Hari-hari yang dilalui dalam seminggu juga pantas ditinggalkan. Usia pula semakin meningkat dan bisa mendekatkan kita dengan kematian.

Pada masa yang sama, negara kita dan banyak negara di dunia telah dilanda dengan wabak penyakit influenza A H1N1. Ada yang menyebut dan memanggilnya penyakit selsema babi. Apa pun sebutan dan panggilan namanya, langkah berjaga-jaga telah diumumkan oleh pihak berwajib.

Wabak penyakit ini telah menyedarkan orang ramai tentang pentingnya menjaga kebersihan diri, makanan dan kawasan persekitaran. Ada sebabnya Allah S.W.T. menurunkan penyakit berjangkit kepada manusia agar mereka sedar dan menginsafi diri di atas perbuatan mungkar yang telah dilakukan. Ada hikmahnya juga mengapa Allah S.W.T. mengharamkan babi sebagai makanan umat Islam. Apabila penyakit seperti ini melanda, ia merupakan satu peringatan dan pengarajan kepada manusia yang ingin berfikir.

Sama-samalah kita muhasabahkan diri kerana yang baik itu datangnya daripada Allah, manakala yang buruk itu adalah kelemahan diri kita sendiri. Wallahu’alam.


Ada apa dengan 14 Februari?

14 Februari, 2009 12:23 PM

Tarikh hari ini ialah 14 Februari. Biasanya ramailah orang yang menyambut Hari Kekasih. Sepanjang hidup aku, aku tidak pernah menyambut hari yang dikatakan istimewa bagi pasangan dua sejoli. Jadi, apa perkara menarik yang ingin aku taipkan di dalam blog ini?

Setiap tahun, tarikh ini juga mempunyai makna yang tersendiri dalam hidup aku. Apabila setiap kali tarikh 14 Februari tiba, anak sulung kepada kakak aku akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya. Anak saudara aku itu bernama Nur Dini Qistina binti Abdul Halim. Maksud namanya ialah Cahaya Agama Keadilan. Nama panggilannya pula ialah Dini ataupun Qistina. Dia dilahirkan pada 14.02.2006 di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL). Maka, hari ini dia berusia 3 tahun.

Aku pernah terfikir, apa akan jadi apabila dia meningkat dewasa nanti. Jika dia mempunyai seorang teman lelaki, sudah pasti budak lelaki tersebut akan menghadapi situasi yang sukar. Ini adalah disebabkan harga sejambak bunga mawar dan coklat mahal untuk dijadikan hadiah hari lahir kepada anak saudara aku itu pada tarikh 14 Februari. Nasiblah… 😀

Selamat hari lahir Nur Dini Qistina!


Isu Politik di Perak: apa maksud sebenar SMS ini?

6 Februari, 2009 8:28 PM

Aku dapat SMS daripada Aji AIC petang tadi. SMSnya berbunyi:

Perkara 16(6), Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia, Sultan hanya ada kuasa melucutkan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) tapi tidak MB. MB hanya boleh dilucutkan jawatan melalui pembubaran DUN, undi tidak percaya dalam sidang DUN atau MB sendiri meletak jawatan. Sekarang Ir. Nizar bertindak berani mempertahankan hak rakyat yang memilihnya. Biar rakyat yang menentukan. Media BN memutar belit fakta. Sebarkan.

Aku memang kurang arif tentang Perlembagaan Malaysia tetapi jika benar apa yang termaktub, siapa berada di pihak yang benar atau sebaliknya? Kepada sesiapa yang tahu sila berikan komen anda.


Kisah tukar nama dan alamat emel

15 Januari, 2009 6:35 PM

Hari ini, nama syarikat tempat di mana aku bekerja bertukar buat kali kedua. Kali pertama nama syarikat ini bertukar ialah pada tahun 2007 yang lalu. Bila nama syarikat bertukar, alamat emel pun akan turut sama berubah.

Tujuan ia bertukar nama ialah supaya ia lebih mudah dikenali oleh orang ramai. Tujuan kedua aku rasalah sebab nak mengikut nama piawaian dalam industri.

Aku tak kisah sangat apa yang berlaku. Cuma satu berita baik yang aku dan pekerja-pekerja syarikat ini dapat tahu ialah, syarikat tidak bercadang untuk memberhentikan pekerja atau menawarkan skim pemberhentian secara sukarela (VSS). Maklumlah tahun ini ekonomi dijangka merudum, berita ini sudah tentu melegakan aku dan rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah… 🙂


Sudahkah anda melakukan penamaan simpanan KWSP?

8 Januari, 2009 2:18 PM

logo KWSP

Semalam aku bercuti. Aku jarang ambil cuti pada awal tahun. Tapi semalam aku habiskan baki cuti tahun lepas 2 hari untuk selesaikan urusan yang telah lama tertangguh. Kini, baki cuti aku untuk tahun lepas tinggal 1 hari sahaja lagi. Setakat ini aku belum tahu bila aku akan habiskannya.

Aku ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Aku bercadang untuk melakukan penamaan kepada simpanan KWSP tersebut. Alhamdulillah, urusannya mudah kerana ahli KWSP hanya perlu isi sekeping borang, sertakan sekali salinan MyKad bahagian depan dan belakang di atas sekeping kertas bersaiz A4. Setelah borang dan dokumen sokongan lengkap, ambil nombor giliran anda.

Tiba giliran, serahkan semua dokumen tersebut kepada pegawai yang bertugas di kaunter. Dia akan masukkan semua maklumat ke dalam pangkalan data KWSP. Setelah siap, anda akan diberikan sekeping kertas A4 menyatakan bahawa penamaan KWSP anda telah dikemaskini. Selesai! Urusan tersebut begitu mudah dan cepat. 🙂

Untuk pengetahuan anda semua, bagi ahli yang beragama Islam, penama hanya bertindak sebagai seorang wasi atau pentadbir simpanan tersebut. Beliau dinasihatkan untuk mentadbir dan mengagihkan simpanan ahli berdasarkan undang-undang Islam (Faraid).

Sekiranya penama yang berhak gagal untuk mengemukakan tuntutan selepas 21 tahun ahli meninggal dunia, maka penamaan akan terbatal, dan kes tersebut akan diproses di bawah peraturan Simpanan Tanpa Penamaan.

Sudahkah anda melakukan penamaan bagi simpanan KWSP? Jika belum, bertindaklah segera hari ini untuk kemudahan waris yang ditinggalkan setelah anda meninggal dunia. Renung-renungkan dan selamat bertindak. 🙂


Statistik Blog pada 01.01.2009

1 Januari, 2009 1:18 PM

Di bawah ini adalah maklumat-maklumat mengenai blog aku sehingga tarikh hari ini. Tajuk blog hari ini tidak termasuk di dalam kiraan statistik tersebut. Terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung yang sudi mengunjungi laman blog aku ini. 🙂

Statistik Blog Jadual Ringkasan
Total views: 737
Busiest day: 27 — Wednesday, December 31, 2008
Views today: 6

Jumlah
Entri: 42
Komentar: 0
Kategori: 8
Tags: 104

Spam
Akismet has protected your site from 1 spam comments.

Tulisan Terbaik
Mokhtar Dahari dalam Kenangan… 85 views
Rebet Tunai untuk Subsidi Petrol… 39 views
Tahniah Dato’ Nicol Ann David!… 38 views
Urusniaga BSKL Digantung Selama 1 Hari!… 23 views
Tuanku Muhriz dimasyhurkan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 18 views
Perhimpunan PROTES dan GERAMM 06.07.08 16 views
Ustaz Azizan Abdul Razak bergelar Datuk Seri… 16 views
Presiden PKR Bergelar Datuk Seri Mulai Sabtu ini… 15 views

Paling Aktif
Tuanku Muhriz dimasyhurkan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 18 views
Almarhum Tuanku Ja’afar selamat disemadi 8 views
Mokhtar Dahari dalam Kenangan… 6 views
Pengertian Hijrah Mohd Saiful Bukhari Azlan 3 views
Palestin – Cukupkah sekadar mengecam dan mengutuk serangan Israel sahaja? 3 views


Hijrahku…

29 Disember, 2008 3:45 PM

logo Maal Hijrah

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya aku masih diberi peluang dan kesempatan lagi untuk menaip di dalam blog ini. Jika anda semua perasan, kali terakhir aku menaip artikel di sini adalah pada 4 September 2008 yang lalu. Sudah terlalu lama penulisan aku terhenti lantaran kesibukan aku dengan tugas-tugas yang perlu diutamakan.

Hari ini, Isnin 29 Disember 2008 bersamaan 1 Muharram 1430 Hijrah merupakan tahun baru di dalam takwim Islam. Maka pada hari ini, akan bermulalah satu lembaran baru dalam hidup seorang Muslim atau Muslimat. Jika mengikut perancangan awal, aku sendiri ingin memulakan penulisan di dalam blog yang baru. Tetapi setelah difikirkan berkali-kali, aku merasakan sayang untuk meninggalkan atau menghapuskan blog yang telah dibina. Faktor yang menyebabkan aku membuat keputusan tersebut ialah aku telah memulakannya dengan baik pada awal kemunculannya, jadi segala usaha yang telah dilakukan akan menjadi sia-sia apabila aku mengakhirinya dengan membiarkannya begitu sahaja.

Walaupun terdapat pelbagai kekurangan daripada segi kandungan artikel yang dipos pada bulan Ogos dan September 2008 yang lalu, aku berjanji akan memperbaikinya pada masa akan datang. Ia samalah seperti azam seseorang. Bercakap mengenai azam, aku juga mempunyai azam pada tahun baru Hijrah ini. Di antara azam aku pada tahun ini ialah:

1. Memula dan memantapkan pengajian tentang agama Islam.
2. Menyambung pengajian akademik ke peringkat seterusnya.
3. Menutup satu atau dua kad kredit daripada beberapa kad kredit yang aku ada sekarang. 😦
4. Menumpukan perhatian untuk membayar hutang PTPTN setiap bulan supaya cepat habis dan bagi mengelakkan kos pentadbiran bertambah dari masa ke semasa. 😦
5. Menabung untuk masa hadapan yang lebih cerah. 🙂
6. Menghantar artikel ke dalam blog ini setiap hari atau sekerap yang boleh berbanding masa lalu. 🙂

Itu antara beberapa perkara yang telah aku fikirkan sebelum kedatangan tahun baru Hijrah tempohari. Aku berdoa agar segala apa yang aku rancangkan akan membuahkan hasil yang baik pada hujung tahun nanti. Amin…Salam Maal Hijrah 1430 aku ucapkan kepada semua pengunjung blog ini.


Salam Ramadhan Al-Mubarak 1429 Hijrah…

4 September, 2008 9:25 AM

Umat Islam di Malaysia mula mengerjakan ibadah puasa bagi tahun 1429 Hijrah pada hari Isnin, 01.09.2008 yang lalu. Pada tarikh tersebut juga merupakan cuti gantian sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 51 tahun, yang jatuh pada hari Ahad yang lalu. Kebiasaannya, ramai juga orang yang akan memohon cuti pada awal Ramadhan untuk menyambutnya bersama ahli keluarga di kampung halaman. Namun, dengan adanya cuti gantian ini, mereka tidak perlu memohonnya lagi kerana telah diberikan cuti percuma secara automatik. 🙂

Walaupun hari ini telah masuk hari ke 4 kita berpuasa namun, di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua ahli AIC yang mengenali diri ini. Ucapan ini juga ditujukan kepada semua Muslimin dan Muslimat di Malaysia walau di mana jua mereka berada. Semoga segala puasa dan ibadah kita pada bulan yang mulia ini akan dilipat gandakan ganjaran pahalanya oleh Allah S.W.T. Amin.


Aku dan Kenangan di bulan Ogos 2008…

4 September, 2008 8:41 AM

Dah lama aku tidak mengemaskini blog aku ni. Posting aku yang terakhir ialah pada 11.08.2008 yang lalu. Padahal, aku banyak terlibat dalam pelbagai perkara setiap hari dalam hidup ini. Bulan Ogos yang lalu, aku boleh dikatakan tergolong dalam berita besar di Malaysia walaupun wajah dan cerita aku tidak terpampang di dada-dada akhbar. Hahahaha…

Salah satu peristiwa yang aku terlibat secara langsung ialah pada 16.08.2008 di mana, aku telah meyertai konvoi AIC ke penamaan calon pilihanraya kecil P44 Permatang Pauh. Umum telah mengetahui bahawa Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti sebanyak 15,571 undi.

Jika ingin diceritakan semuanya di dalam blog ini, memang kisahnya akan menjadi panjang berjela. Cukuplah setakat itu sahaja. Biarlah semua kenangan indah itu menjadi memori peribadi diri aku sendiri. 🙂