Kerajaan Perpaduan: PAS tiada minat bincang dengan UMNO

20 Jun, 2009 11:46 AM

PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Mustafa Ali.

“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan UMNO termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini,” kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan dua hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).


Saya tak rampas kuasa di masjid – Dato’ Seri Nizar

30 Mac, 2009 10:19 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS kerusi Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan, beliau “tidak merampas” kuasa ketika majlis membaca Yassin dan solat berhajat di Masjid Simpang di sini anjuran Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Sebaliknya, kata Nizar, beliau telah diundang oleh imam Masjid Simpang untuk berucap menjelaskan ayat-ayat yang dibacakan semasa mengimamkan solat Maghrib.

“Saya dijemput oleh imam supaya mentafsirkan ayat-ayat yang saya bacakan selama 20 minit sebelum itu… saya juga sejak awal telah diminta supaya tidak menyelitkan elemen politik sebab masjid bebas politik.

“Jadi, saya diminta membuat tafsiran ayat-ayat yang saya bacakan sebelum itu… ketika tazkirah… jadi saya tidak merampas mikrofon untuk berucap, cuma memenuhi kehendak imam,” kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di Markas PAS Bukit Gantang pagi tadi.

Kata Nizar, apabila beliau meminta mikrofon untuk menyampaikan ucapan tafsiran ada pihak yang membantah dengan alasan ia bukan tempat untuk berpolitik.

“Bagi mengelakkan suasana kecoh, saya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan kemudian meninggalkan masjid… apa terjadi selepas itu saya tidak tahu,” katanya.

Nizar mengakui bahawa beliau sejak awal, ketika memasuki masjid, telah dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Dato’ Mustafa Ali pula berkata, pihaknya sudah mengambil pendirian untuk tidak menggunakan masjid sebagai tempat kempen politik.

“PAS hanya akan menggunakan masjid untuk tujuan agama,” kata beliau pada sidang media pagi ini.

Malam tadi, Nizar ‘bertembung’ dengan rombongan BN di Masjid Simpang, sekaligus mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Dato’ Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

“Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman). “Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau,” kata beliau ketika dihubungi. mStar Online


Ustaz Idris Ahmad calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang?

23 Mac, 2009 7:28 PM
Ustaz Idris Ahmad

Ustaz Idris Ahmad

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat PAS, Idris Ahmad dijangka menjadi pilihan parti itu untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang.

PAS akan mengumumkan calonnya malam ini – tiga hari lebih awal berbanding jadual asal.

“Idris dilihat sebagai calon paling sesuai bagi PAS dan Pakatan Rakyat bertanding di Bukit Gantang disebabkan beberapa faktor termasuk kerana beliau merupakan anak tempatan,” kata sumber kepada mStar Online.

Anak kelahiran Bukit Gantang ini telah bertanding di kawasan Parlimen Jerlun pada Mac 2008, tetapi tewas kepada Dato’ Mukhriz Mahathir.

Idris, 45, lulusan pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, juga merupakan bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS.

Beliau pernah mengajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara).

Idris, yang pernah bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, merupakan antara empat nama terakhir yang telah dikemukakan oleh PAS Perak kepada pusat minggu lalu.

Changkat Jering merupakan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri dalam bahagian Bukit Gantang.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat di Markas PAS Bukit Gantang, Air Kuning sebelum diumumkan nama calon di Simpang malam ini.

“Kami akan mengumumkan nama calon esok (hari ini),” kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Selain Idris, nama yang turut disebutkan ialah Ahmad sendiri, Setiausauaha Badan Perhubungan PAS Perak, Asmuni Awi dan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

Bagaimanapun Ahmad dan Asmuni dikatakan telah menolak tawaran tersebut.

Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali berkata, pihaknya akan mengumumkan calon pihaknya hari ini, bukannya 26 Mac yang disebutkan sebelum ini.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia awal bulan lalu.

Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, empat nama dicadangkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu dan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

Beliau berkata, PAS mengambil keputusan untuk mengumumkan lebih awal bagi membolehkan calonnya turun padang dan berkempen untuk menarik sokongan rakyat.

Pada 14 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ismail Saffian, 48, sebagai calon BN.

Beliau juga merupakan anak tempatan lahir di Kampung Kubu. mStar Online


PAS umum calon Bukit Gantang 23 Mac 2009

19 Mac, 2009 7:12 PM
Dato' Mustafa Ali

Dato' Mustafa Ali

PAS akan mengumumkan calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak pada Isnin ini, kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Dato’ Mustafa Ali.

Beliau berkata nama calon parti itu akan diumumkan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Perak.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pada 23 Mac ini dan pengumuman calon akan dilakukan pada sebelah malamnya,” kata Mustafa di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia pada 9 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, berkata empat nama dicadangkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu dan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

Beliau berkata PAS mengambil keputusan untuk mengumumkan lebih awal bagi membolehkan calonnya turun padang dan berkempen untuk menarik sokongan rakyat.

“Berbanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kita buat pengumuman lewat kerana calon kita sudah dikenali rakyat di sini,” katanya.

Mustafa berkata PAS yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu walaupun menjangkakan tentangan sengit daripada calon Barisan Nasional (BN).

“Daripada maklumat yang saya terima, jentera pilihan raya PAS berjalan lancar. Ada sedikit perkara yang perlu dimantapkan menjelang pilihan raya kecil itu,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Safian, 48, sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, 7 April ini.