PKFZ: Debat Ong Tee Keat dan Lim Kit Siang di Parlimen Isnin depan?

20 Jun, 2009 12:04 PM

Pertelagahan antara Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ong Tee Keat dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkaitan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), berkemungkinan besar melarat ke Parlimen, Isnin ini.

Dua ahli politik berkenaan, yang saling berbalas kecaman dan tuduhan melalui media dan ruang siber sejak beberapa minggu lepas, akan bertentang muka apabila Ong membentangkan kenyataan Menteri mengenai PKFZ pada hari berkenaan.

Lim telah membidas Ong di Parlimen dengan menuduh Menteri Pengangkutan itu gagal menghadirkan diri di Parlimen bagi menjawab soalan berkaitan skandal PKFZ, termasuk bagaimana kos asal pembangunan projek itu sebanyak RM2 bilion boleh melonjak kepada lebih RM12.5 bilion.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menuduh Ong melarikan diri daripada tanggungjawab memberi penjelasan mengenainya dan dengan sengaja mengatur perjalanan ke luar negara (Paris) bagi mengelak dihujani soalan di Parlimen.

Advertisements

Semua media dialu-alukan buat liputan DUN Perak – Nizar

4 Mei, 2009 6:28 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengalu-alukan semua media untuk menghadiri mensyuarat sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

“Saya amat mengalu-alukan semua jenis media termasuk ‘Media Baru’ dan mereka bebas membuat liputan semasa persidangan DUN berlangsung dan saya ingin nyatakan Pakatan Rakyat tidak sekali-kali pernah menghalang sebarang liputan media,” jelas beliau semasa sidang akhbar di ibupejabat KeADILan semalam.

Berikutan Setiausaha dewan Abdullah Antong Sabri yang digantung Speaker V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan media membuat liputan semasa sidang DUN pada 7 Mei dan hanya membenarkan media tertentu sahaja dapat masuk ke dewan.

Sivakumar, dalam satu kenyataan beliau hari ini memberitahu bahawa rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri dan hujah wakil rakyat mereka di dalam Dewan Undangan Negeri seiring mendukung prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Sempena hari Kebebasan Media Sedunia 2009 yang disambut semalam, Penasihat Agong DAP, Lim Kit Siang berkata bahawa tindakan tersebut adalah sebagai satu diskriminasi dan ketidakadilan terhadap media yang tidak seharusnya berlaku.

“Saya merasa kesal atas tindakan demikian terjadi pada waktu seluruh dunia memperjuangkan hak dan kebebasan media. Ini adalah satu tindakan yang memalukan,” jelas beliau semasa sidang akhbar tersebut.

Berpegang kepada prisnsip itulah, maka Sivakumar telah membuat ketetapan membenarkan semua pihak media membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei ini.

“Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

“Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya,” katanya dalam kenyataan yang disiar dalam blognya. – SKO.


PRK DUN Penanti: Anwar Ibrahim umum calon malam ini di Yayasan Aman, Penanti

28 April, 2009 6:57 PM

Pilihan raya kecil DUN Penanti

Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR yang akan bertanding di DUN N12 Penanti sempena ceramah beliau di Yayasan Aman, Penanti pada jam 9 malam ini.

Ceramah yang dijangka akan dihadiri oleh ribuan penyokong Pakatan Rakyat bagi meraikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, wakil Menter Besar Kedah dan pimpinan PKR negeri-negeri lain.

Lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon PKR dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen di Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan UMNO masih terus mempertimbangkan sama ada mahu bertanding atau tidak. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa UMNO tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja.

Namun, amat sukar buat Najib untuk mengenepikan saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap bertarung demi maruah dan tradisi UMNO-BN.


Tsunami politik kedua Malaysia

9 April, 2009 6:43 PM
Lim Kit Siang

Lim Kit Siang

Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan kemenangan dalam kedua-dua kerusi di Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikatakan sebagai tsunami politik kedua di negara ini dalam tempoh 13 bulan.

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berkata, keputusan di kedua-dua ‘bukit’ itu juga menunjukkan rakyat menolak pelantikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

“Peningkatan dalam majoriti undi yang diperoleh calon PR juga mengesahkan apa yang berlaku pada 8 Mac tahun lalu bukanlah satu kebetulan.

“Tetapi Barisan Nasional (BN) masih gagal untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakyat ini malah merampas Perak tanpa proses demokrasi dan tidak beretika dua bulan lalu.

“Jika mereka (BN) mendapat mesej yang disampaikan itu, kejadian rampasan di Perak tidak akan berlaku. “Kekalahan BN juga menunjukkan Najib telah mendapat dua undi ‘tidak percaya’ dalam tempoh empat hari pemerintahan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini semalam.

Kit Siang berkata, antara sebab kekalahan BN di kedua-dua kawasan berkenaan ialah kerana rampasan kuasa di Perak, ketidakprihatinan Najib untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan beberapa isu termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia.

“Selain itu masyarakat juga menolak kehadiran bekas Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad dan era ‘Kemahathiran’. “Baru dua hari memimpin negara, sumbangan Perdana Menteri yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi diketepikan tetapi Perdana Menteri keempat pula yang diutamakan,” katanya.

Menurutnya, antara kegagalan Najib dalam tempoh empat hari pemerintahannya ialah kegagalan membebaskan tahanan ISA dengan serta merta dan kemenangan PR di dua ‘bukit’ yang mencatatkan peningkatan majoriti.

“Kegagalan terakhir beliau ialah tidak dapat mengumumkan barisan kabinetnya dalam masa yang dijanjikan.

“Beliau seharusnya memanggil persidangan Parlimen untuk memberikan peluang anggota membuang undi untuk tengok berapa orang yang tidak percaya terhadap pimpinannya seperti yang dilakukan oleh Tun Abdullah dan Tun Hussein Onn sebelum menerima jawatan tertinggi negara itu,” katanya.

Sementara itu, berkaitan kekalahan PR di Batang Ai, beliau menyatakan, keseluruhan pimpinan PR akan mencari jalan bagaimana untuk menyampaikan mesej kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

”Kami akan merancang strategi bagaimana untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi di Sabah dan Sarawak. “Saya percaya penghuni kedua-dua negeri itu juga dahagakan pembaharuan selepas lebih 50 tahun ditindas,” katanya. Kit Siang ditemani oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran. Sinar Harian Edisi Perak


Perlantikan Najib sebagai PM diselubungi petisyen Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

2 April, 2009 8:08 PM
Dato' Seri Najib Tun Razak

Bakal Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dikhabarkan akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada pagi esok di Istana Negara, diselubungi petisyen daripada 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengusulkan agar majlis perlantikan tersebut ditangguhkan.

Petisyen itu, yang diserahkan kepada Istana Negara semalam, ditandatangani oleh Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyatakan pelantikan tersebut harus ditunda sehingga satu suruhanjaya bebas dibentuk untuk membersihkan Najib daripada segala tuduhan salah laku.

Mereka juga berkata Najib wajar disiasat berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang menjadi bahan berita media asing sejak akhir-akhir ini seperti akhbar Liberation di Perancis, Kompas di Indonesia malah negara England dan Korea Selatan juga turut melaporkan berita mengenai Presiden UMNO yang baru dilantik dalam PAU yang berakhir pada 28 Mac 2009 yang lalu.


Najib bakal cipta sejarah – Lim Kit Siang

24 Mac, 2009 2:42 PM
Lim Kit Siang

Lim Kit Siang

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berkata, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak bakal mencipta sejarah Malaysia kerana bakal menjadi Perdana Menteri yang diragui rakyat.

“Saya pernah mencadangkan kepada Najib untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja tetapi cadangan itu ditolak,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam yang dihadiri 1,500 penyokong DAP di dewan serbaguna dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, beberapa pemimpin dari DAP iaitu Ahli Parlimen Taiping merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Beruas yang juga ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan ADUN Canning, Wong Kar Ho.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau akan membangkitkan isu di Dewan Rakyat dan cuba mendapat sokongan Ahli Dewan untuk mempertikaikan kredibiliti Najib sebagai Perdana Menteri yang ke-6.

“Semua orang sudah maklum tentang kes yang mengaitkan dirinya seperti kes pembunuhan Altantuya dan isu pembelian kapal selam,” katanya.

Menurutnya, walaupun media tempatan jarang melaporkan tentang isu ini, tetapi laporan media antarabangsa membuat liputan yang meluas terutamanya di Perancis dan England tentang isu dalaman negara kita.

Dalam perkembangan lain, Lim turut menyesali kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menampakkan keberkesanannya. Sinar Harian Edisi Perak