Kerajaan Perpaduan: PAS tiada minat bincang dengan UMNO

20 Jun, 2009 11:46 AM

PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Mustafa Ali.

“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan UMNO termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini,” kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan dua hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).


Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Nik Aziz minta Nik Abduh padamkan kekeliruan dalam blog

30 April, 2009 5:31 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta anaknya, Nik Abduh supaya menjelaskan kekeliruan dan jangan biarkan kekeruhan bertapak lama berhubung isu dakwaan beliau terhadap pembantu ‘sesat’ bapanya yang dikatakan melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh dalam blognya mencatatkan beliau telah dihubungi ayahandanya dari Mekah, meminta beliau supaya ‘memadamkan kekeliruan’ dan ‘jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama’ berhubung isu itu.

“Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

“Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya katakan kepadanya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu. Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda.

“Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai.

“Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!” katanya yang dipetik daripada blognya.

Nik Abduh dalam blognya sebelum ini, bercerita mengenai pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi. – Sinar Harian