Yusmadi kecewa dengan kenyataan Tun Dr Mahathir

4 Jun, 2009 6:27 PM

Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff kecewa dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggelar pejuang bahasa sebagai pelampau bahasa baru-baru ini.

Menurutnya, fakta yang dikemukakan oleh Tun menunjukkan bahawa semenjak mentadbir negara sehinggalah kini, beliau seolah-olah memperlekehkan bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu dan sikap yang ditonjolkan beliau berbeza berbanding pejuang bahasa Melayu yang bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa ibunda,” katanya.

Yusmadi mendakwa, sikap Tun menggambarkan kegagalan kepimpinan beliau selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri di dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Sikap beliau akan menghilangkan lagi keyakinan orang Melayu terhadap keupayaan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu.

“Saya berharap Tun akan memohon maaf kepada pejuang bahasa yang berjuang tanpa mempunyai sebarang kepentingan tersendiri melainkan memartabatkan bahasa ibunda,” katanya.

Beliau juga menyedari dan memahami masalah pembelajaran anak-anak di luar bandar terutamanya tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang masih lemah.

“Penguasaan Bahasa Inggeris murid sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah masih berada di tahap kurang memuaskan malahan persediaan tenaga pelajar juga masih diragui.

Saya risau jika anak-anak bangsa akan tercicir dan menjadi mangsa akibat keputusan mengenai Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bakal diumumkan nanti tanpa mengambil kira masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah luar bandar,” katanya. Sinar Harian


Dr Teng ditegur, kenapa Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh tidak dibidas sama?

16 Mei, 2009 11:18 AM

Tindakan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Dato’ Dr Teng Hock Nan yang mendesak Menteri Besar BN Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya segera memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak bagi membuka jalan mengadakan pilihan raya negeri telah dibidas oleh ADUN Kubu Gajah, Dato’ Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Perkara ini bukannya pelik. Dr Teng mungkin hanya menyatakan pendapat peribadi beliau sahaja mengenai krisis politik di negeri Perak. Takkanlah ahli-ahli daripada parti komponen BN tidak boleh menyuarakan pendapat mereka masing-masing?

Jika mereka tidak boleh menyuarakan pendirian diri sendiri, UMNO kelihatan seperti tidak demokratik dan seakan menuju kepada sikap diktator kepada parti-parti gabungan mereka.

Tetapi apabila Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan di dalam blog bahawa beliau menyokong DUN Perak dibubarkan, tidak ada seorang pun pemimpin yang menyanggah pendapat beliau. Beliau yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Gua Musang dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak sealiran dengan UMNO/BN negeri Perak mahupun Pusat.

Manakala Tun Dr Mahathir pula dilaporkan pernah berkata bahawa tindakan UMNO/BN Perak gopoh ketika mengambil alih pemerintahan negeri daripada Pakatan Rakyat pada bulan Februari 2009 yang lalu.

Persoalannya, mengapa dua orang tokoh lama UMNO ini yang kadang kala mempunyai pendapat yang tidak selari dengan hasrat kerajaan di peringkat Pusat tidak pernah dibangkang langsung? Adakah kerana mereka ini dua nama yang besar dalam UMNO atau boleh dianggap kebal sehingga orang-orang UMNO tidak berani bersuara?


PRK DUN Penanti: Anwar Ibrahim umum calon malam ini di Yayasan Aman, Penanti

28 April, 2009 6:57 PM

Pilihan raya kecil DUN Penanti

Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR yang akan bertanding di DUN N12 Penanti sempena ceramah beliau di Yayasan Aman, Penanti pada jam 9 malam ini.

Ceramah yang dijangka akan dihadiri oleh ribuan penyokong Pakatan Rakyat bagi meraikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, wakil Menter Besar Kedah dan pimpinan PKR negeri-negeri lain.

Lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon PKR dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen di Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan UMNO masih terus mempertimbangkan sama ada mahu bertanding atau tidak. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa UMNO tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja.

Namun, amat sukar buat Najib untuk mengenepikan saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap bertarung demi maruah dan tradisi UMNO-BN.


Kabinet Najib tidak lambangkan perpaduan UMNO

10 April, 2009 9:06 PM
Dato' Husam Musa

Dato' Husam Musa

Barisan Kabinet baru tidak melambangkan perpaduan dalam UMNO kerana mereka yang terpilih adalah penyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak manakala individu yang tidak menyebelahinya digugurkan daripada kumpulan baru itu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Menteri yang tidak tersenarai dalam pilihan Kabinet baru adalah ‘orang kuat’ Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Pengguguran menteri-menteri berkenaan yang ada di kalangan mereka sudah lama dalam Kabinet jelas menunjukkan keretakan dalam perpaduan UMNO sendiri.

“Sepatutnya mana-mana kerajaan yang baik mampu berdiri sendiri, tidak dipengaruhi dan tidak dicucuk hidung oleh mereka yang berkepentingan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurutnya, kedudukan Kabinet yang baru itu juga menunjukkan kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan anaknya Dato’ Mukhriz tercapai manakala Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tersingkir.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri itu berkata, sebenarnya kembalinya Dr Mahathir memasuki UMNO membimbangkan rakyat kerana peranan yang bakal dimainkan beliau dalam kepimpinan parti itu dan kerajaan kelak.

Husam berkata, kepimpinan yang baru itu harus mengambil kira kepentingan dan tuntutan majoriti rakyat yang ingin melihat integriti pasukan polis ditingkatkan, pengurangan kadar jenayah dan kerajaan yang bersih.

Terdahulu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dato’ Dr Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Dato’ Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Tambahnya, diharap dengan kedudukan terbaru itu mereka dapat berbincang dan merangka perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan untuk masyarakat Kelantan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) kerana kesalahan membunuh wanita Mongolia, Husam menyatakan keputusan itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat.

“Ini kerana mustahil dua anggota terbabit boleh bertindak sendirian tanpa didalangi sesiapa dalam kes itu dan sehingga kini ia menimbulkan misteri kepada masyarakat.

“Diharap polis dapat menyiasat rangkaian antara dua anggota polis itu dengan arahan yang diterima kerana pihak yang ada kepentingan dalam kes ini tidak disabitkan oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah semalam mendapati Cif Inspektor Azilah Hadri, 33 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37 gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu dan disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 lalu. Sinar Harian Edisi Kelantan


Tsunami politik kedua Malaysia

9 April, 2009 6:43 PM
Lim Kit Siang

Lim Kit Siang

Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan kemenangan dalam kedua-dua kerusi di Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikatakan sebagai tsunami politik kedua di negara ini dalam tempoh 13 bulan.

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berkata, keputusan di kedua-dua ‘bukit’ itu juga menunjukkan rakyat menolak pelantikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

“Peningkatan dalam majoriti undi yang diperoleh calon PR juga mengesahkan apa yang berlaku pada 8 Mac tahun lalu bukanlah satu kebetulan.

“Tetapi Barisan Nasional (BN) masih gagal untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakyat ini malah merampas Perak tanpa proses demokrasi dan tidak beretika dua bulan lalu.

“Jika mereka (BN) mendapat mesej yang disampaikan itu, kejadian rampasan di Perak tidak akan berlaku. “Kekalahan BN juga menunjukkan Najib telah mendapat dua undi ‘tidak percaya’ dalam tempoh empat hari pemerintahan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini semalam.

Kit Siang berkata, antara sebab kekalahan BN di kedua-dua kawasan berkenaan ialah kerana rampasan kuasa di Perak, ketidakprihatinan Najib untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan beberapa isu termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia.

“Selain itu masyarakat juga menolak kehadiran bekas Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad dan era ‘Kemahathiran’. “Baru dua hari memimpin negara, sumbangan Perdana Menteri yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi diketepikan tetapi Perdana Menteri keempat pula yang diutamakan,” katanya.

Menurutnya, antara kegagalan Najib dalam tempoh empat hari pemerintahannya ialah kegagalan membebaskan tahanan ISA dengan serta merta dan kemenangan PR di dua ‘bukit’ yang mencatatkan peningkatan majoriti.

“Kegagalan terakhir beliau ialah tidak dapat mengumumkan barisan kabinetnya dalam masa yang dijanjikan.

“Beliau seharusnya memanggil persidangan Parlimen untuk memberikan peluang anggota membuang undi untuk tengok berapa orang yang tidak percaya terhadap pimpinannya seperti yang dilakukan oleh Tun Abdullah dan Tun Hussein Onn sebelum menerima jawatan tertinggi negara itu,” katanya.

Sementara itu, berkaitan kekalahan PR di Batang Ai, beliau menyatakan, keseluruhan pimpinan PR akan mencari jalan bagaimana untuk menyampaikan mesej kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

”Kami akan merancang strategi bagaimana untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi di Sabah dan Sarawak. “Saya percaya penghuni kedua-dua negeri itu juga dahagakan pembaharuan selepas lebih 50 tahun ditindas,” katanya. Kit Siang ditemani oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran. Sinar Harian Edisi Perak


Dato’ Ibrahim Ali akan sertai UMNO semula?

4 April, 2009 2:02 PM
Dato' Ibrahim Ali

Dato' Ibrahim Ali

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri mengesahkan bahawa mereka telah menyertai semula UMNO pada hari ini, pasti kita akan tertanya-tanya, siapa pula yang akan mengikut jejak langkah pasangan tersebut selepas ini?.

Yang pasti, anak mereka Dato’ Mokhzani juga akan menghantar permohonan untuk menyertai semula UMNO Bahagian Merbok. Adalah dipercayai bahawa Tan Sri Sanusi Junid dan Dato’ Ibrahim Ali juga akan mengikut jejak langkah mentor mereka. Dato’ Ibrahim Ali pernah dikhabarkan sebagai seorang pengikut yang setia kepada seorang ketua, siapa lagi jika bukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jadi, apakah pendirian Dato’ Ibrahim Ali selepas mengetahui bahawa mentor beliau telah menyertai UMNO semula? Adakah Dato’ Ibrahim Ali akan menyerahkan borang keahlian UMNO sedikit masa lagi?.

Kami pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat memohon agar Dato’ Ibrahim Ali menyatakan pendirian beliau sama ada akan menyertai UMNO atau kekal sebagai ahli parti Bebas?. Dato’ Ibrahim Ali patut memikirkan semasak-masaknya sebelum memberikan keputusan yang muktamad.

Jika beliau berhasrat untuk menyertai UMNO semula, beliau seharusnya merasa malu kepada Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat kerana jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas adalah cadangan daripada Menteri Besar Kelantan itu sendiri. Tuan Guru Nik Aziz sanggup mengenepikan pandangan ahli-ahli PAS Pasir Mas kerana beranggapan bahawa Dato’ Ibrahim Ali seorang yang sudah berubah.

Apa lagi Dato’ Ibrahim, gendang sudah ada di tangan hanya menunggu masa sahaja untuk dipalu. Segera umumkan pendirian Dato’ untuk pengetahuan semua orang.


Terkini: Tun Dr Mahathir sah sertai UMNO hari ini

4 April, 2009 1:02 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad serah borang sertai UMNO semula

Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan bersalaman dengan Dato' Seri Najib Tun Razak semasa menyerahkan borang keahlian UMNO pagi tadi. Beliau dan isteri menyertai UMNO semula mulai hari ini. Foto mStar Online.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai semula UMNO mulai hari ini, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pagi tadi, Tun Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengunjungi Najib di kediaman rasminya di Sri Satria. Pasangan itu tiba pada jam 10 pagi tadi.

Tun Dr Mahathir pernah mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Setar pada 19 Mei 2008 atas alasan hilang kepercayaan terhadap parti itu.


Tun Dr Mahathir tidak sepatutnya menyertai UMNO semula

4 April, 2009 12:55 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan penyertaannya semula dalam UMNO minggu hadapan. Ia turut diikuti dengan para penyokongnya termasuk seorang lagi anak beliau Mokhzani yang memohon untuk menyertai semula UMNO Bahagian Merbok.

Kenyataan tersebut telah diumumkan oleh Anggota Parlimen Jerlun, Dato’ Mukhriz Mahathir selepas melawat pusat mengundi Tasek Apong, dalam kawasan DUN Bukit Selambau semalam.

Ini bertepatan dengan kata-kata Tun Dr Mahathir sebelum ini, bahawa beliau akan menyertai UMNO semula apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi menjadi Presiden UMNO. Pendirian ini jelas menunjukkan bahawa beliau menyokong kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga MT UMNO yang baru dipilih dalam PAU 2008 yang baru sahaja berakhir pada hujung bulan Mac 2009 yang lalu.

Tetapi, keputusan beliau juga boleh dianggap sebagai tidak tetap pendirian kerana pada satu ketika beliau seakan kecewa dengan isu politik wang yang melanda UMNO, kecewa dengan kekalahan anaknya Mukhriz dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO kepada orang yang tidak disukai iaitu menantu kepada Pak Lah, Khairy Jamaluddin.

Jadi, apa rasionalnya Tun Dr Mahathir menyertai semula parti UMNO jika segelintir ahli dan pemimpin parti itu sendiri belum dibersihkan daripada masalah politik wang? Adakah Tun Dr Mahathir akan merasa gembira apabila masuk semula ke dalam UMNO? Adakah dengan penyertaan semula beliau dapat menghapuskan gejala yang semakin membarah itu? Tidak takutkah Tun Dr Mahathir bahawa diri beliau akan turut terpalit sama dalam kemelut yang melanda UMNO dan akan menjejaskan nama baik beliau sebagai seorang negarawan Malaysia yang disegani?

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri Tun. Fikir-fikirkan sebelum tersilap membuat keputusan.


Tun Dr Mahathir ingin saksi majlis angkat sumpah Najib esok

2 April, 2009 8:28 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan hasrat untuk menghadiri majlis angkat sumpah Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam esok.

Beliau yang tidak pasti sama ada dijemput ataupun tidak dalam majlis tersebut menyatakan bahawa akan hadir jika mendapat jemputan dari Istana Negara.

Tun Dr Mahathir juga akan menyokong sebarang usaha Najib dalam pembentukan barisan Kabinet barunya yang dikatakan lebih kecil dari sekarang. Beliau berkata cadangan untuk menggabungkan beberapa kementerian adalah satu usaha yang baik.

Pendekatan seperti ini pernah digunakan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat semasa beliau memegang jawatan PM satu ketika dahulu.