Kerajaan Perpaduan: PAS tiada minat bincang dengan UMNO

20 Jun, 2009 11:46 AM

PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Mustafa Ali.

“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan UMNO termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini,” kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan dua hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).


Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian


Undi BN Boleh Masuk Syurga Juga – Muhyiddin

19 Jun, 2009 8:08 PM

KUALA KRAI, 19 Jun (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam di negara masuk syurga.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

“Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan (PAS) di bawah pimpinan (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, di sini Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Muhyiddin berkata PAS tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan negara termasuk merancang secara rapi aspek berkenaan.

Beliau berkata justeru penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu memikirkan secara rasional terhadap kebolehan parti mana yang harus dipilih untuk membaiki taraf kehidupan mereka dan membangunkan kawasannya.

“Saya berpendapat kita perlu fikirkan secara rasional dan fikirkan soal masa depan,” katanya.

Menurutnya BN mampu membangunkan negara dan memacu negara ke arah masa depan yang lebih baik untuk rakyat.


Najib perlu laksana enam langkah pembaharuan

9 April, 2009 7:35 PM
Lim Guan Eng

Lim Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyarankan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan enam langkah pembaharuan baru dalam tujuan menggerakkan konsep ‘One Malaysia, People First and Performance Now’.

Menurutnya, enam langkah pembaharuan ini dicadangkannya berikutan kejayaan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

“Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan pihaknya akan mengadakan post mortem dalam mengkaji bagaimana PR dapat peningkatan dalam undi majoriti.

“Saya berpendapat daripada membuat post mortem berhubung kegagalan, seeloknya mereka melaksanakan enam langkah pembaharuan ini demi kejayaan konsep ‘Satu Malaysia’ yang diasaskan Najib,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dihantar kepada media, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, langkah pembaharuan pertama yang perlu diterapkan Najib ialah membubarkan parti berasaskan kaum yang terdapat dalam Barisan Nasional (BN) yang mana UMNO hanya menjaga orang Melayu, MCA untuk orang Cina dan MIC bagi orang India.

“Beliau juga perlu menghapuskan Akta ISA daripada mengkajinya semula serta membebaskan tahanan ISA tanpa bersyarat.

“Najib juga perlu menghapuskan Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar dalam menyokong kebebasan akhbar dan memberi peluang kepada rakyat negeri ini dalam mengetahui maklumat yang bebas,” katanya.

Guan Eng berkata, Najib juga perlu menunjukkan kesungguhan dalam memerangi amalan rasuah serta mengamalkan sistem tender terbuka yang memberi peluang kepada semua syarikat.

“Langkah yang kelima ialah membantu rakyat negara ini dengan mengurangkan tarif bekalan elektrik, memberhentikan subsidi gas kepada syarikat persendirian serta menghentikan kenaikan bayaran tol melalui pembelian syarikat konsesi lebuh raya.

“Langkah terakhir yang perlu dilaksanakannya ialah memulangkan balik kuasa kepada rakyat dalam memilih pemimpin dengan memberi kebenaran kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya. Sinar Harian Edisi Utara


Tun Dr Mahathir tidak sepatutnya menyertai UMNO semula

4 April, 2009 12:55 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan penyertaannya semula dalam UMNO minggu hadapan. Ia turut diikuti dengan para penyokongnya termasuk seorang lagi anak beliau Mokhzani yang memohon untuk menyertai semula UMNO Bahagian Merbok.

Kenyataan tersebut telah diumumkan oleh Anggota Parlimen Jerlun, Dato’ Mukhriz Mahathir selepas melawat pusat mengundi Tasek Apong, dalam kawasan DUN Bukit Selambau semalam.

Ini bertepatan dengan kata-kata Tun Dr Mahathir sebelum ini, bahawa beliau akan menyertai UMNO semula apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi menjadi Presiden UMNO. Pendirian ini jelas menunjukkan bahawa beliau menyokong kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga MT UMNO yang baru dipilih dalam PAU 2008 yang baru sahaja berakhir pada hujung bulan Mac 2009 yang lalu.

Tetapi, keputusan beliau juga boleh dianggap sebagai tidak tetap pendirian kerana pada satu ketika beliau seakan kecewa dengan isu politik wang yang melanda UMNO, kecewa dengan kekalahan anaknya Mukhriz dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO kepada orang yang tidak disukai iaitu menantu kepada Pak Lah, Khairy Jamaluddin.

Jadi, apa rasionalnya Tun Dr Mahathir menyertai semula parti UMNO jika segelintir ahli dan pemimpin parti itu sendiri belum dibersihkan daripada masalah politik wang? Adakah Tun Dr Mahathir akan merasa gembira apabila masuk semula ke dalam UMNO? Adakah dengan penyertaan semula beliau dapat menghapuskan gejala yang semakin membarah itu? Tidak takutkah Tun Dr Mahathir bahawa diri beliau akan turut terpalit sama dalam kemelut yang melanda UMNO dan akan menjejaskan nama baik beliau sebagai seorang negarawan Malaysia yang disegani?

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri Tun. Fikir-fikirkan sebelum tersilap membuat keputusan.


Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak yakin BN boleh menang 3 PRK

1 April, 2009 9:07 PM
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mula tidak yakin boleh memenangi pilihanraya di Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Batang Ai apabila meminta rakyat tidak menjadikan pilihan raya kecil ini sebagai suatu ‘pungutan suara’ penerimaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Ini menunjukkan bahawa peluang mereka sudah tidak ada di ketiga-tiga pilihanraya tersebut” kata Dato’ Mahfuz Omar.

“Dia tidak mahu keputusan ini menjadi sebagai suatu referendum rakyat bagi membuktikan penerimaan rakyat kepada kepimpinan baru UMNO kerana mereka menjangkakan akan kalah dalam pilihanraya kecil kali ini.” kata beliau.

Menurut Dato’ Mahfuz, ini merupakan suatu pengakuan yang ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sudah tahu mereka tidak boleh diterima oleh rakyat. “Kami mengucapkan terima kasih atas pengakuan ini” sinis beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu, mempersoalkan mengapa medan pilihanraya ini tidak boleh dijadikan referendum sedangkan inilah medan ujian kepada kepimpinan baru UMNO di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Kalau orang di sini (Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Batang Ai) sudah tidak boleh terima, menunjukkan rakyat sudah tidak yakin dengan kepimpinan Najib” kata beliau.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kepada Bernama bahawa ini bukan pungutan suara kepada kepimpinan Najib melainkan hanya pilihan raya kecil.


Saya tak rampas kuasa di masjid – Dato’ Seri Nizar

30 Mac, 2009 10:19 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS kerusi Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan, beliau “tidak merampas” kuasa ketika majlis membaca Yassin dan solat berhajat di Masjid Simpang di sini anjuran Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Sebaliknya, kata Nizar, beliau telah diundang oleh imam Masjid Simpang untuk berucap menjelaskan ayat-ayat yang dibacakan semasa mengimamkan solat Maghrib.

“Saya dijemput oleh imam supaya mentafsirkan ayat-ayat yang saya bacakan selama 20 minit sebelum itu… saya juga sejak awal telah diminta supaya tidak menyelitkan elemen politik sebab masjid bebas politik.

“Jadi, saya diminta membuat tafsiran ayat-ayat yang saya bacakan sebelum itu… ketika tazkirah… jadi saya tidak merampas mikrofon untuk berucap, cuma memenuhi kehendak imam,” kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di Markas PAS Bukit Gantang pagi tadi.

Kata Nizar, apabila beliau meminta mikrofon untuk menyampaikan ucapan tafsiran ada pihak yang membantah dengan alasan ia bukan tempat untuk berpolitik.

“Bagi mengelakkan suasana kecoh, saya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan kemudian meninggalkan masjid… apa terjadi selepas itu saya tidak tahu,” katanya.

Nizar mengakui bahawa beliau sejak awal, ketika memasuki masjid, telah dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Dato’ Mustafa Ali pula berkata, pihaknya sudah mengambil pendirian untuk tidak menggunakan masjid sebagai tempat kempen politik.

“PAS hanya akan menggunakan masjid untuk tujuan agama,” kata beliau pada sidang media pagi ini.

Malam tadi, Nizar ‘bertembung’ dengan rombongan BN di Masjid Simpang, sekaligus mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Dato’ Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

“Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman). “Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau,” kata beliau ketika dihubungi. mStar Online