Permohonan Nizar didengar 9 Julai

20 Jun, 2009 11:14 AM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pada 9 Julai ini untuk mendengar permohonan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mendapat kebenaran merayu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 3.22 petang di sini, semalam.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar juga memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu digantung jika kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Selain itu, beliau memohon kepada Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi supaya kes itu didengar oleh panel penuh 11 Hakim Mahkamah Persekutuan. Berita Harian

Advertisements

Nizar berhak kemuka rayuan

5 Jun, 2009 3:35 PM

Tindakan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dianggap berhak melalui undang-undang.

Timbalan Menteri Luar Negara, merangkap Ahli Parlimen Kampar, Dato’ Lee Chee Leong berkata, tindakan Dato’ Seri Nizar adalah beliau mempunyai hak dalam undang-undang negara.

Menurutnya, mengikut undang-undang negara, setiap orang mempunyai hak menggunakan saluran yang betul selagi tidak mendatangkan kekecohan dan salah di sisi undang-undang.

“Itu adalah hak beliau untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, jadi terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berhubung pentadbiran Dato’ Seri Zambry sebagai Menteri Besar Perak diumumkan 22 Mei lalu, Chee Leong berkata, Mahkamah Rayuan memutuskan siapakah Menteri Besar yang sah, jadi Dato’ Seri Zambry hanya menjalankan tugas yang diperintahkan.

Katanya, Zambry hanya mengikut apa yang diperintahkan serta menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar yang sah dan berupaya mentadbir Perak. Sinar Harian


Kes belum selesai, Nizar kemuka rayuan 8 Jun

4 Jun, 2009 6:15 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, panel peguam yang mewakili beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian pada tarikh itu, walaupun belum menerima kertas penghakiman bertulis daripada Hakim Mahkamah Rayuan.

“Walaupun keadaan ini menyukarkan peguam Pakatan Rakyat (PR), tetapi kita akan teruskan proses ini dengan bukti dan fakta yang ada,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan PR di Wisma DAP di sini, semalam.

Pada 12 Mei lalu, Zambry mengemukakan rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN dan dengan itu Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berkata, semua 69 individu termasuk beberapa wakil rakyat PR yang ditahan di kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika sidang DUN pada 7 Mei lalu akan membuat laporan polis.

“Semua mereka akan berkumpul di Wisma DAP pada jam 9.30 pagi untuk membuat laporan, bahawa polis telah menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka tanpa sebab semata-mata kerana memakai baju hitam,” katanya. Sinar Harian


Mahkamah tidak ada hak tentukan kerajaan negeri Perak – Nizar Jamaluddin

30 April, 2009 12:23 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan mahkamah tidak berhak untuk menentukan siapa untuk mentadbir kerajaan sebaliknya hak berkenaan perlu diserahkan kepada rakyat.

Berucap dalam satu ceramah di Kampar, Nizar berkata, terdapat beberapa faktor dan fakta yang bercanggah sehingga Mahkamah Persekutuan terpaksa memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah tidak ada hak menentukan siapa kerajaan yang sebenar, kerana rakyat adalah yang paling berhak menentukan siapakah kerajaan yang sah,” katanya malam tadi di Dewan Tokong Cina Mambang Diawan di sini.

Menurut Nizar lagi, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 7 Mei 2009 akan turut dihadiri oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dan ianya disifatkan sangat mengerikan.

“7 Mei adalah tarikh yang mengerikan kerana hari itu akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga sama sekali, kami akan bermesyuarat esok untuk menyusun strategi. Kami akan hadir mengikut bidang tugas yang ada pada Speaker,” katanya lagi.

Ceramah itu turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Perak, Nga Kor Ming dan Chen Fock Chai, ADUN Titi Serong Drs Khalil Idham Lim, ADUN Malim Nawar Khesvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai.


Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Zambry sebagai MB Perak yang sah

28 April, 2009 6:27 PM
2 Menteri Besar Perak

Pertembungan di antara 2 orang Menteri Besar Perak di Mahkamah Persekutuan. Kes mereka berdua perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry mahu merujuk isu dua Menteri Besar negeri itu terus kepada Mahkamah Persekutuan tanpa menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mahkamah Tinggi kini dalam proses membicarakan isu-isu yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff bersetuju dengan bantahan awal peguam Nizar, Sulaiman Abdullah bahawa isu tertentu harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Alauddin berkata wujud percanggahan jelas dalam keterangan yang dikemukakan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-Undang yang mewakili Zambry. Menurut Alauddin, isu percanggahan fakta itu harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Selain cuba memintas Mahkamah Tinggi, Zambry telah menggerakkan usaha untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Beliau sebelum ini mendakwa bahawa Sultan dan bukan rakyat yang menentukan pihak mana harus menubuhkan kerajaan negeri.


Mohammad Nizar Jamaluddin failkan notis usul cabar Perkara 63 terhadap Zambry

28 April, 2009 2:06 PM
2 Menteri Besar Perak

2 Menteri Besar Perak...Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mewakili Barisan Nasional dan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan notis usul untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah tidak sah dan terbatal.

Mohammad Nizar, 52, memfailkan notis usul itu melalui peguamnya Tetuan Leong & Tan di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, dan menamakan kerajaan Perak, kerajaan Malaysia dan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan pindaan dalam Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar isu-isu perlembagaan berkaitan krisis politik negeri Perak, adalah bertentangan dengan Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang pindaan kepada Perkara 63 selepas Hari Merdeka hendaklah dibuat melalui Perkara 162(1) Perlembagaan Persekutuan, ini kerana bidang kuasa Mahkamah Persekutuan hanya boleh diberikan oleh Parlimen, dan bukan Dewan Perhimpunan Negeri.

Oleh itu Dewan Perhimpunan Negeri Perak tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP dan ia harus dideklarasikan sebagai batal dan tidak sah.

Dengan notis usul yang difailkan, Mohammad Nizar memohon supaya pendengaran prosiding rujukan undang-undang bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, yang ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, ditangguh sehingga permohonan didengar.


DUN Perak bersidang semula pada 7 Mei 2009

17 April, 2009 11:14 PM
Sidang DUN Perak di bawah pokok

DUN Perak akan bersidang di dalam bangunan selepas ini bukan di bawah pokok seperti yang berlaku pada 03 Mac 2009 yang lalu.

Abdullah Antong Sabri, Setiausaha DUN Perak yang digantung perkhidmatannya oleh Speaker DUN, V Sivakumar, memanggil sidang DUN Perak pada 7 Mei nanti, tujuh hari sebelum tarikhnya luput.

Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu, maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.

Abdullah turut mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada tarikh itu kepada semua anggota DUN mulai hari ini. Beliau juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu semalam dan Baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.

Ini bermakna, Menteri Besar BN Perak dan Exco-Exconya yang digantung daripada menghadiri sidang DUN oleh V Sivakumar, boleh hadir pada tarikh yang dinyatakan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan menggantung Zambry dan barisan Exconya adalah tidak sah.