Permohonan Nizar didengar 9 Julai

20 Jun, 2009 11:14 AM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pada 9 Julai ini untuk mendengar permohonan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mendapat kebenaran merayu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 3.22 petang di sini, semalam.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar juga memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu digantung jika kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Selain itu, beliau memohon kepada Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi supaya kes itu didengar oleh panel penuh 11 Hakim Mahkamah Persekutuan. Berita Harian

Advertisements

Nizar berhak kemuka rayuan

5 Jun, 2009 3:35 PM

Tindakan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dianggap berhak melalui undang-undang.

Timbalan Menteri Luar Negara, merangkap Ahli Parlimen Kampar, Dato’ Lee Chee Leong berkata, tindakan Dato’ Seri Nizar adalah beliau mempunyai hak dalam undang-undang negara.

Menurutnya, mengikut undang-undang negara, setiap orang mempunyai hak menggunakan saluran yang betul selagi tidak mendatangkan kekecohan dan salah di sisi undang-undang.

“Itu adalah hak beliau untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, jadi terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berhubung pentadbiran Dato’ Seri Zambry sebagai Menteri Besar Perak diumumkan 22 Mei lalu, Chee Leong berkata, Mahkamah Rayuan memutuskan siapakah Menteri Besar yang sah, jadi Dato’ Seri Zambry hanya menjalankan tugas yang diperintahkan.

Katanya, Zambry hanya mengikut apa yang diperintahkan serta menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar yang sah dan berupaya mentadbir Perak. Sinar Harian


Perwakilan Dewan Pemuda PAS Perak berpakaian serba hitam

4 Jun, 2009 7:01 PM

Sekumpulan 17 orang perwakilan Dewan Pemuda PAS Perak menarik perhatian di muktamar dewan tersebut hari ini apabila mereka hadir berpakaian serba hitam bagi menuntut Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Ada antara mereka yang turut memakai ikat kepala berwarna hitam yang bertulis ‘Bubarkan DUN Perak’.

Kehadiran mereka turut menarik parhatian Pengerusi Tetap Muktamar Dewan Pemuda PAS, Misbahul Munir Masduki.

Beliau secara berseloroh berkata: “Mengapa sekuriti di majlis kali ini begitu longgar…macam mana boleh benarkan mereka yang pakai hitam masuk ke majlis ini…”

Selepas itu, barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS yang duduk di pentas turut memakai ikatan berwarna hitam di lengan masing-masing.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Saleh mengajak rakyat Perak dan orang muda memakai baju hitam setiap hari Sabtu sehingga DUN Perak dibubarkan.

Menurutnya, satu perhimpunan kemuncak untuk mendesak pembubaran DUN Perak akan diadakan Ogos depan.

Perak dilanda kemelut politik apabila BN mengambil alih kuasa di negeri itu daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, Perak mempunyai dua Menteri Besar – Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (Pakatan Rakyat) dan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN).

Nizar kemudiannya membawa kes tersebut ke mahkamah untuk mendapat pengisytiharan Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, Zambry telah merayu ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya mengisytiharkan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.


Kes belum selesai, Nizar kemuka rayuan 8 Jun

4 Jun, 2009 6:15 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, panel peguam yang mewakili beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya 8 Jun ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian pada tarikh itu, walaupun belum menerima kertas penghakiman bertulis daripada Hakim Mahkamah Rayuan.

“Walaupun keadaan ini menyukarkan peguam Pakatan Rakyat (PR), tetapi kita akan teruskan proses ini dengan bukti dan fakta yang ada,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan PR di Wisma DAP di sini, semalam.

Pada 12 Mei lalu, Zambry mengemukakan rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN dan dengan itu Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berkata, semua 69 individu termasuk beberapa wakil rakyat PR yang ditahan di kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika sidang DUN pada 7 Mei lalu akan membuat laporan polis.

“Semua mereka akan berkumpul di Wisma DAP pada jam 9.30 pagi untuk membuat laporan, bahawa polis telah menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka tanpa sebab semata-mata kerana memakai baju hitam,” katanya. Sinar Harian


Saya masih MB yang sah – Nizar

13 Mei, 2009 1:25 PM

Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin mengekalkan pendiriannya bahawa beliau masih menjadi Menteri Besar yang sah, kerana penangguhan perisytiharan oleh Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan beliau sebagai MB tidak terjejas.

Sambil menyatakan bahawa penangguhan itu lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan, Nizar berkata secara logiknya beliau masih Menteri Besar.

Pada satu sidang akhbar, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir memperakukan dirinya sebagai Menteri Besar yang sah apabila Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan perisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Nizar memberitahu sidang media bahawa, walaupun ditangguhkan perisytiharan itu, kerajaan Pakatan Rakyat tetap kerajaan yang sah.

Nizar berkata, ia hanya penangguhan perisytiharan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi, yang mengesahkan bahawa beliau adalah MB yang sah, yang secara langsung membawa pengertian bahawa Zambry adalah MB yang tidak sah.

Malahan penangguhan persiytiharan juga bukan bererti ia telah mengesahkan Zambry sebagai MB yang sah, atau tiada siapa yang selayaknya menjadi MB, maka pilihan yang ada hanyalah beliau sebagai MB yang sah. HarakahDaily.net


Status MB: Peguam Nizar kaji rayu keputusan Mahkamah Rayuan

12 Mei, 2009 9:02 PM
Leong Cheok Keng

Leong Cheok Keng

Barisan peguam Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Salah seorang peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan tersebut.

Ketika ditemui di sini pukul 3.30 petang pada sidang media bersama Nizar, Leong berkata, pihaknya akan meneliti kandungan keputusan Mahkamah Rayuan tengah hari tadi.

“Kami sedang meneliti kemungkinan itu, kemungkinan itu (peruntukan undang-undang),” kata beliau sambil menambah, aspek masa rayuan dikemukakan pihak defenden juga akan diteliti.

Nizar pula berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk memberi nasihat mengenainya.

Kira-kira pukul 1.20 tengah hari tadi Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. mStar Online


Mahkamah Rayuan tangguh keputusan Mahkamah Tinggi

12 Mei, 2009 8:53 PM
Dato' Hafarizam Harun

Dato' Hafarizam Harun

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Menurut laporan penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam UMNO, Dato’ Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat Menteri Besar untuk membolehkan Zambry kembali bertugas, demikian lapor Malaysiakini.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi Menteri Besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Dato’ Cecil Abraham berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat. Harakahdaily.net