LNJ tersingkir, Amir lebih bertuah mara ke final RL3

28 Februari, 2009 11:53 AM

Malam semalam aku berkesempatan menonton rancangan Raja Lawak Astro musim ke 3. Hanya tinggal 4 sahaja peserta, masing-masing 2 peserta solo dan 2 peserta berkumpulan. Mereka ialah Sepah, LNJ, Jihan dan Amir.

Sebelum bermulanya rancangan tersebut, ketika bersarapan pagi dengan rakan-rakan sepejabat, masing-masing bertanyakan siapakah yang bakal tersingkir dalam rancangan malam nanti. Apa taknya, malam semalam adalah minggu ke sembilan dan ini bermakna minggu depan merupakan minggu ke sepuluh yang juga merupakan minggu terakhir untuk menobatkan juara Raja Lawak yang baru.

Semasa program berlangsung, Amir telah dipilih untuk memulakan persembahan. Aku perasan lawak Amir memang tidak menjadi bagi segmen pertama dan juga kedua. Aku dapat dengar penonton tidak ramai yang bergelak ketawa dengan lawak yang Amir cuba sampaikan. Jika penonton tidak ketawa, aku pun tidak rasa persembahan Amir boleh membuatkan aku tergelak sama. I’m sorry Amir.

Kumpulan Sepah melakukan penampilan sebagai peserta kedua. Seperti biasa, mereka membuat persembahan dengan bersahaja dan selamba. Aku lihat mereka bukan seperti berada di atas pentas lawak tetapi seperti berbual-bual dengan rakan masing-masing sahaja lagaknya. Penampilan mereka bertiga semulajadi. Lawak-lawak yang dilontarkan menjadi, punch line banyak dan ramai penonton yang dapat sama-sama bergelak ketawa termasuk diri aku sekali yang menonton di hadapan kaca tv! Tahniah Sepah! Anda bertiga memang berbakat dan bakal berjaya dalam industri hiburan apabila keluar daripada program realiti tersebut selepas ini. InsyaAllah.

Jihan dan LNJ pula, lawak mereka memang OK. Aku senang dengan persembahan mereka malam semalam.

Tiba waktu untuk mengumumkan siapa yang layak ke pusingan akhir minggu depan. Waktu ini, aku jangkakan Sepah, Jihan dan LNJ akan ke final. Nama Amir memang tiada dalam senarai aku langsung. Apabila diumumkan Sepah dan Jihan terpilih, aku gembira. Ketika tinggal satu lagi tempat untuk diketahui, hanya tingga LNJ dan Amir sahaja yang berdiri di atas pentas.

Apabila Fauziah Nawi mengumumkan Amir layak ke peringkat akhir, aku rasa tak setuju dan mungkin ramai juga penonton di dalam studio mahupun di luar yang sependapat dengan aku. Amir kelihatan seperti tidak percaya, seakan mengalirkan air mata walaupun pada awalnya dilihat berada dalam keadaan sedih, sugul kerana komen-komen juri tidak berpihak kepada dirinya selepas tamat membuat persembahan.

Apa boleh buat, keputusan undian SMS adalah muktamad. Aku rasa undian SMS ini juga boleh disifatkan kejam kerana berkuasa untuk menyingkirkan peserta yang berbakat dan layak untuk meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

Cadangan aku, undian SMS bagi rancangan realiti seperti Raja Lawak ini dihapuskan sepenuhnya atau hanya mewakili sebanyak 30 peratus undian daripada penonton sahaja pada masa hadapan. Lebih elok jika juri-juri diberi kuasa penuh untuk menyingkirkan peserta yang gagal memberikan persembahan yang berkualiti. Kita ingin cari kualiti bukan kuantiti.

Secara peribadi dan sejujurnya, aku memilih kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak Astro musim ke 3 yang akan berlangsung pada minggu depan. Kepada Amir, apa yang buat aku berpaling tadah dengan sokongan aku tu pasal, Amir hanya bisa membuat aku ketawa pada dua minngu yang awal sahaja iaitu sewaktu temanya Bebas dan Azam. Minggu-minggu seterusnya persembahan Amir mendatar, percakapan tidak lancar, persembahan seperti membaca skrip, tidak berjaya membuatkan para penonton ketawa dan hanya bernasib baik tidak tersingkir daripada diundi keluar. Harap Amir dan semua penyokongnya tidak berputus angsa ya dengan komen yang aku berikan ini.

Kepada anda yang akan menghantar undian SMS untuk minngu ke sepuluh nanti, nasihat aku mengundilah dengan bijak. Pilihlah peserta yang berbakat untuk ditabalkan sebagai juara semoga industri hiburan Malaysia khususnya pelawak-pelawak yang dilahirkan dapat menyemarakkan lagi persada seni tanahair.

Siapakah peserta pilihan anda? Lu pikirlah sendiri.


Amir bakal juara Raja Lawak Astro musim ke 3?

12 Januari, 2009 7:28 PM

Amir peserta Raja Lawak Astro musim ke 3

Sebenarnya, artikel ini aku ingin poskan ke dalam blog selepas rancangan Raja Lawak Astro musim ke 3 tamat pada minggu pertama yang lalu (02.01.2009). Tetapi disebabkan ada beberapa artikel yang perlu aku poskan terlebih dahulu, maka ianya sedikit terlewat untuk disiarkan.

Setelah dua minggu, aku dapatkan rasakan bahawa Mohammad Amirullah bin Azmi atau nama singkatannya Amir, mempunyai ciri-ciri sebagai seorang juara. Pada minggu pertama, di bawah tajuk bebas, Amir berjaya mencuit hati aku dengan lawak hantu shufflenya. Di akhir persembahan, Amir telah memberitahu kepada penonton, jangan biarkan handphone anda diselubungi missed call. Lawak, lawak sungguhlah Amir! Aku tak sangka perkataan itu yang keluar daripada mulut anda. Hahahaha… 😀

Pada minggu lepas pula, para peserta telah diberikan satu tugasan dengan tajuk Azam. Tapi ada beberapa perkara yang aku kurang gemar dengan beberapa lawak yang cuba disampaikan oleh para peserta. Pada pendapat aku, jika anda ingin membuat penonton gelak dengan lawak anda, cuba elakkan daripada menjadi bangsa lain seperti buat lawak melalui penggunaan suara orang berbangsa Cina, India atau Benggali.

Kedua, aku dah bosan apabila peserta lelaki berpakaian wanita. Seperti kumpulan LNJ pada minggu pertama dan Syem pada minggu kedua. Walaupun ada penonton yang gelak dengan persembahan kalian, tetapi rancangan ini ditonton oleh seisi keluarga. Jadi cuba elakkan watak seperti itu pada masa akan datang kerana ia memberi imej negatif kepada kanak-kanak apabila lelaki seperti ingin menjadi seorang wanita lagaknya! 😦

Ketiga, jangan berlaku biadap seperti kumpulan Sepah pada minggu pertama, di mana salah seorang ahli kumpulan tersebut mengetuk kepala rakan yang lain dengan gayung! 😦 Aku bersetuju dengan pendapat salah seorang juri iaitu Fauziah Nawi, bahawa jangan gelar orang lain gila dengan mudah seperti yang dilakukan oleh kumpulan Chot. Ia seperti memperbodohkan doktor yang merawat pesakit gila atau hina sangat ke jadi orang gila seperti yang digambarkan? Apa perasaan keluarga kepada orang gila kerana sudah pasti mereka tidak minta semua itu terjadi kepada ahli yang bernasib malang.

Keempat, jangan gunakan jenaka double meaning sebagai bahan lawak anda seperti kumpulan Sepah minggu lepas. Jika anda ingin jadi pelawak sebenar, anda tidak perlu gunakan kaedah seperti ini untuk buat orang ketawa.

Banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh para peserta yang masih bertahan pada minggu ini. Buatlah lawak secara semula jadi dan jadilah diri anda yang sebenar. Peserta musim ini perlu imbas kembali persembahan Nabil, juara Raja Lawak Astro musim ke 2. Persembahan beliau begitu bersahaja dan selamba. 🙂

Kepada Johan dan Zizan, anda tidak perlu menggunakan kekurangan diri Amir semasa buat lawak semata-mata untuk meraih gelak para penonton. Amir tidak pernah memalukan atau mengaibkan diri anda berdua semasa membuat persembahan kan? Jadi aku memang bersetuju dengan kritikan Fauziah Nawi kepada kedua-dua pengacara tersebut. Tolong kurangkan perkara ini pada episod-episod yang akan datang.

Kepada Amir, teruskan usaha anda pada minggu-minggu seterusnya. Semoga beroleh idea yang bernas dalam isi kandungan lawak pada masa akan datang. Undi saya adalah untuk anda! 🙂