Ekonomi merudum tapi kadar tol naik?

26 Februari, 2009 7:20 PM

Kadar tol akan dinaikkan sehingga 33 peratus mulai 1 Mac ini, antaranya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya Dato’ Ir Mohamad Zin Mohamad, empat lagi lebuhraya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Keputusan yang diambil oleh kerajaan BN adalah tidak bijak, tidak wajar dan bukan pada masa yang sesuai. Di zaman ekonomi merudum, ramai pekerja kilang diberhentikan kerja, kadar pengangguran dijangka meningkat tapi kadar tol pula dinaikkan! Inikah salah satu daripada pakej ransangan ekonomi yang diwar-warkan kepada rakyat?

Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Ini bukan pakej ransangan ekonomi namanya tapi pakej penguncupan ekonomi kepada jutaan rakyat! Habislah semua wang rakyat, tiada yang tinggal berbaki selepas dapat gaji macam ini. Sudahlah dengan harga barangan keperluan pengguna yang sukar turun, beban mereka ditambah pula dengan kadar tol yang baru sahaja diumumkan.

Adakah kerajaan mengharapkan agar rakyat dibiarkan terperap di dalam rumah sahaja selepas ini? Ia seolah-olah menyekat perjalanan rakyat marhain daripada pulang ke kampung halaman atau melakukan percutian domestik dengan menggunakan kenderaan persendirian? Apakah itu maksud sebenarnya?

Pelik benar tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan BN ini. Cogankata Tradisi Membela Rakyat pada tahun 1980an dahulu patut ditukarkan kepada Tradisi Membebankan Rakyat sahajalah.

Adakah kita semua akan bertukar kenderaan dengan menaiki basikal pula selepas ini? Nak buat protes? Jom kita pakat ramai-ramai tunggang basikal pula selepas ini. Mari berkayuh bersama-sama semua!