Peluang BN kalah “cerah” di Bukit Gantang dan Bukit Selambau jika kadar tol naik?

27 Februari, 2009 7:41 PM

Tak tetap pendirian! Semalam umumkan kenaikan kadar tol mulai 1 Mac 2009, hari ini umumkan pula penangguhannya. Boleh pula buat keputusan macam itu? Bila kerajaan dah umumkan penangguhan tersebut, berapa banyak pula ganti rugi yang perlu dibayar kepada syarikat-syarikat konsesi selepas ini?

Inilah caca marba politik di Malaysia. Sekejap boleh, sekejap tidak boleh. Inilah semangat Malaysia Boleh yang sebenar! Apakah keputusan yang dibuat secara kelam kabut ini ada udang di sebalik batu?

Adakah BN sudah terbayang atau dapat merasakan bahawa peluang mereka kalah “cerah” di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Itukah puncanya sehingga mereka membuat satu pusingan U yang besar? Sebelum buat keputusan tidak mahu fikir dulu kesannya kepada kebanyakan rakyat Malaysia, sudah terhantuk baru nak terngadah?

Memang isu kenaikan kadar tol ini akan diguna oleh PR, jadi untuk mengurangkan risiko kekalahan undi majoriti yang besar, rancangan ini terpaksa ditangguhkan dahulu sehingga akhir tahun. Oh Malaysiaku yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang, atau banyak temberang?