Toyota Camry Exco Pakatan Rakyat Perak akan dijual

20 Jun, 2009 11:01 AM

16 Toyota Camry dijual tidak lama lagi

IPOH: Status 16 kereta Toyota Camry 2.4V yang digunakan bekas pemimpin Pakatan Rakyat dijangka dapat dijual dalam masa satu atau dua minggu lagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim enggan mengulas berapa ramai yang membida kereta terbabit dengan hanya menyatakan jumlahnya sudah memadai.

Selain itu, apabila ditanya berhubung harga bidaan tertinggi yang diperoleh, Dr Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan perlu dirujuk di dalam laporan penjualan kereta terbabit.

“Saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut mengenai status kereta berkenaan. Biarlah kerajaan negeri membuat keputusan dan tindakan lanjut berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Sebelum ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan kenyataan tender menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Kereta itu menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 itu semuanya didaftarkan pada 9 Januari lalu. Berita Harian


Nizar: Lelong Toyota Camry tindakan angkuh, bazir wang rakyat

23 April, 2009 6:36 PM
Toyota Camry Exco PR Perak

Gambar menunjukkan 3 buah kereta Toyota Camry yang pernah digunakan oleh Exco-Exco Pakatan Rakyat negeri Perak satu ketika dahulu.

Keputusan kerajaan BN Perak melelong 16 kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi Exco Pakatan Rakyat disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga mula menampakkan gelagat angkuh mereka kerana mengambil keputusan yang merugikan itu.

Menurutnya, kerajaan BN tidak seharusnya mengambil tindakan drastik kerana dari segi lunas undang-undang, Mahkamah Tinggi belum memutuskan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran kerajaan negeri yang mana sah atau tidak sah.

Toyota Camry Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Gambar kereta Toyota Camry yang digunakan oleh Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Kelihatan di hadapan kereta tersebut ialah perkataan MENTERI BESAR PERAK.

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akan terus menggunakan Camry bernombor pendaftaran AGS 10 selagi mahkamah belum memutuskan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

Ia sebagai simbolik kepada kerajaan yang sah dan Perdana Menteri sendiri pun telah menyatakan segala-galanya perlu tunggu keputusan Mahkamah.


Camry simbol ‘kerajaan sah’ – Nizar

28 Februari, 2009 12:15 PM

Setelah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar pada Ahad lalu, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyerahkan kereta rasmi jenis Toyota Camry dengan alasan kenderaan itu adalah simbol ‘kerajaan negeri yang sah’.

Pegawai khas beliau, Amran Harun berkata, keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan rasmi itu bukan bertujuan mengingkari arahan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim tetapi ingin menjadikan kereta bernombor AGS 10 itu sebagai simbol kerajaan negeri yang sah.

Menurutnya, kereta itu akan digunakan Mohammad Nizar sehingga mahkamah membuat keputusan sama ada beliau atau Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar yang sah.

“Beliau bersedia memulangkannya jika mahkamah mengisytiharkan Zambry adalah Menteri Besar yang sah selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Amran mewakili Mohammad Nizar menyerahkan kunci kediaman rasmi itu kepada Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman di kediaman rasmi itu.

Sumber berita : Kosmo! Online