Toyota Camry Exco Pakatan Rakyat Perak akan dijual

20 Jun, 2009 11:01 AM

16 Toyota Camry dijual tidak lama lagi

IPOH: Status 16 kereta Toyota Camry 2.4V yang digunakan bekas pemimpin Pakatan Rakyat dijangka dapat dijual dalam masa satu atau dua minggu lagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim enggan mengulas berapa ramai yang membida kereta terbabit dengan hanya menyatakan jumlahnya sudah memadai.

Selain itu, apabila ditanya berhubung harga bidaan tertinggi yang diperoleh, Dr Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan perlu dirujuk di dalam laporan penjualan kereta terbabit.

“Saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut mengenai status kereta berkenaan. Biarlah kerajaan negeri membuat keputusan dan tindakan lanjut berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Sebelum ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan kenyataan tender menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Kereta itu menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 itu semuanya didaftarkan pada 9 Januari lalu. Berita Harian

Advertisements

Lelongan Toyota Camry Exco-Exco Pakatan Rakyat Perak kurang sambutan, hanya 7 tender diterima

4 Mei, 2009 7:42 PM
Kereta Toyota Camry Exco-Exco Pakatan Rakyat Perak untuk dilelong

Kereta Toyota Camry Exco-Exco Pakatan Rakyat Perak untuk dilelong

Kereta Toyota Camry yang menjadi perhatian ketika kerajaan negeri Perak dipimpin oleh Pakatan Rakyat, tidak mendapat sambutan sebagaimana dijangkakan. Sekretariat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hanya menerima tujuh borang tender untuk membeli 16 kereta Toyota Camry yang berusia dua bulan.

Tawaran untuk membeli kenderaan itu pada harga pasaran RM148,000 setiap satu dibuka 28 April lalu dan ditutup tengah hari ini. Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Shamshuzaman Sulaiman sebanyak 40 borang telah dikeluarkan sejak minggu lalu.

Setiap pembida yang membida boleh membeli kereta berkenaan secara berasingan atau kesemuanya sekali. Tawaran tender itu akan diteliti oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada tiga orang. Manakala keputusannya dijangka diketahui Rabu depan.

Kereta-kereta itu didaftarkan Januari 2009 yang lalu dan berada dalam keadaan baik dengan hanya telah melalui di antara 2,000 hingga 20,000 kilometer perjalanan. Shamshuzaman tidak menyatakan butiran pihak yang membidanya dan harga yang ditawarkan. Jika tiada pembeli yang sesuai dalam usaha kali pertama itu, pihaknya akan membuka lelongan semula.


Camry simbol ‘kerajaan sah’ – Nizar

28 Februari, 2009 12:15 PM

Setelah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar pada Ahad lalu, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyerahkan kereta rasmi jenis Toyota Camry dengan alasan kenderaan itu adalah simbol ‘kerajaan negeri yang sah’.

Pegawai khas beliau, Amran Harun berkata, keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan rasmi itu bukan bertujuan mengingkari arahan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim tetapi ingin menjadikan kereta bernombor AGS 10 itu sebagai simbol kerajaan negeri yang sah.

Menurutnya, kereta itu akan digunakan Mohammad Nizar sehingga mahkamah membuat keputusan sama ada beliau atau Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar yang sah.

“Beliau bersedia memulangkannya jika mahkamah mengisytiharkan Zambry adalah Menteri Besar yang sah selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Amran mewakili Mohammad Nizar menyerahkan kunci kediaman rasmi itu kepada Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman di kediaman rasmi itu.

Sumber berita : Kosmo! Online