Tuah masih belum berpihak kepada Datuk Lee Chong Wei

20 Januari, 2009 7:50 PM
Wajah kecewa Datuk Lee Chong Wei selepas tewas.

Wajah kecewa Datuk Lee Chong Wei selepas tewas.

Impian Datuk Lee Chong Wei untuk bergelar pemain negara pertama mengungguli perseorangan lelaki di dalam Kejohanan Badminton Super Series Terbuka Korea Selatan tidak kesampaian apabila kecundang pada saingan final, Ahad lalu.

Kegagalan untuk merangkul dua gelaran berturut-turut itu, selepas kejayaan Terbuka Malaysia minggu lalu, terjelma angkara kekalahan kepada jaguh veteran Denmark, Peter Gade menerusi pertentangan sengit tiga set, 18-21, 21-10, 17-21.

Namun, ia jelas tidak menerbitkan bimbang Chong Wei yang meluahkan rasa puas hati kerana berjaya melakarkan pencapaian terbaik selepas dua kali tersekat pada suku akhir sebelumnya. Namun, Chong Wei juga punya alasan untuk tambah bergembira selepas diumumkan sebagai penerima anugerah Fairplay buat kejohanan kali ini.

Apa yang jelas, Gade lawan yang ditewaskan dalam separuh akhir Terbuka Malaysia, memperolehi kelebihan selepas mendapat kemenangan percuma pada peringkat separuh akhir dan memanfaatkan kelebihan itu dalam pertarungan selama 53 minit.

Kedua-dua pemain bersaing sengit pada set pertama sebelum Gade menang 21-18 dan Chong Wei tampak seolah sudah menjumpai sentuhan terbaik apabila menenggelamkan lawan dari Denmark itu dalam laluan menang set kedua 21-10.

Tetapi permainan kemas serta faktor lebih cergas membantu Gade untuk menyerap asakan Chong Wei dan akhirnya menang 21-17 pada set penentuan. Apa pun, tahniah diucapkan kepada beliau kerana terus berusaha untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.