Abdullah serah tugas PM kepada Najib

3 April, 2009 7:40 PM
Tun Abdullah Ahmad Badawi serah tugas PM

SERAH TUGAS SECARA RASMI...Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri petang tadi.

Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tugas Perdana Menteri kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, petang tadi.

Upacara penyerahan tugas itu berlangsung di tingkat lima, Pejabat Perdana Menteri pada pukul 4.50 petang.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ini merupakan sejarah negara apabila buat pertama kalinya anak bekas Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri pula. Najib merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam upacara itu, Abdullah yang berbaju Melayu jingga menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri berwarna biru sebagai tanda penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Najib yang berbaju Melayu merah jambu sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Upacara itu juga menandakan lengkapnya proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib secara tersusun dan berjalan dengan lancar, mengekalkan tradisi peralihan kuasa negara dari dahulu hingga sekarang.


Abdullah dan Jeanne terima anugerah Tun

3 April, 2009 7:21 PM
Tun Abdullah Ahmad Badawi

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan gelaran Tun oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Foto BERNAMA.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah hari ini masing-masing menerima anugerah bergelar “Tun” daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pagi tadi.

Abdullah, 69 tahun, menerima anugerah tertinggi negara Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) manakala Jeanne, 55 tahun, menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM).

Istiadat penganugerahan itu berlangsung selepas majlis mengangkat sumpah jawatan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Abdullah, yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, melepaskan jawatan itu semalam, 02 April 2009 dan telah berkhidmat selama 5 tahun 5 bulan sahaja.


Aznil Nawawi dikurniakan pingat Johan Mahkota Wilayah

4 Februari, 2009 7:24 PM

Bandaraya Kuala Lumpur menyambut ulang tahun ke 35 penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2009 yang lalu. Tema Hari Wilayah tahun ini ialah Wilayah Maju Warga Sejahtera. Bersempena dengan sambutan tersebut, Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat pada hari Selasa, 02 Februari 2009 bertempat di Balai Rong Seri, Istana Negara.

Di dalam senarai 28 penerima Johan Mahkota Wilayah (JMW), salah seorang daripadanya ialah Perunding Kreatif Kumpulan, Astro Entertainment Sdn Bhd, Aznil Nawawi. Beliau juga merupakan pengacara rancangan Macam Macam Aznil, Jangan Lupa Lirik, Tom Tom Bak dan Kring Kring. Semoga pingat tersebut menjadi penyuntik semangat kepada dirinya untuk terus melakukan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas. Tahniah diucapkan kepada beliau. 🙂