Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian

Advertisements

Undi BN Boleh Masuk Syurga Juga – Muhyiddin

19 Jun, 2009 8:08 PM

KUALA KRAI, 19 Jun (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam di negara masuk syurga.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

“Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan (PAS) di bawah pimpinan (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, di sini Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Muhyiddin berkata PAS tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan negara termasuk merancang secara rapi aspek berkenaan.

Beliau berkata justeru penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu memikirkan secara rasional terhadap kebolehan parti mana yang harus dipilih untuk membaiki taraf kehidupan mereka dan membangunkan kawasannya.

“Saya berpendapat kita perlu fikirkan secara rasional dan fikirkan soal masa depan,” katanya.

Menurutnya BN mampu membangunkan negara dan memacu negara ke arah masa depan yang lebih baik untuk rakyat.


DUN Manek Urai: Pilihan raya kecil 14 Julai 2009

28 Mei, 2009 7:00 PM

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai. Demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini.

Pilihan raya ini diadakan berikutan kekosongan kerusi berkenaan apabila penyandangnya Ismail Yaakob meninggal dunia, akibat sakit jantung, 22 Mei lalu.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi dalam kerusi kawasan pedalaman itu di kawasan Parlimen Kuala Krai. SPR akan menggunakan daftar pemilih yang dikemaskini sehingga Jumaat lalu.