Kelab Anwar Ibrahim (AIC) kutuk tindakan polis

26 Mac, 2009 7:14 PM
AnwarIbrahimClub.com

AnwarIbrahimClub.com

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) mengutuk tindakan polis menyuraikan penyokong semasa ceramah Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Sungai Petani Isnin lalu dan melabelkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) PDRM sebagai bertindak zalim terhadap rakyat yang berhimpun secara aman.

Setiausaha Agung AIC, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tindakan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap rakyat yang berhimpun secara aman bagi mendengar ceramah Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membunuh profesionalisme PDRM.

“Isu lapuk kononnya perhimpunan yang dianjurkan ini adalah haram dan mengganggu ketenteraman awam amatlah tidak boleh diterima pakai kerana selama ini belum pernah dilaporkan kes ceramah dan perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat mengundang kontroversi atau sebarang salah laku pihak penganjur.

“AIC meminta pihak kerajaan dan PDRM agar tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap demokrasi di negara ini. Tindakan itu menampakkan kerajaan Barisan Nasional terlalu tertekan dan takut dengan kebangkitan dan kesedaran rakyat melakukan perubahan menyeluruh terhadap sistem kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Saifuddin berkata, sepatutnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sedar dan insaf bahawa kekerasan dan paksaan tidak akan mengundang dan memenangi sokongan rakyat.

“Mereka harus tahu untuk berdiplomasi dan menerima kehendak rakyat dengan bertolak-ansur dan bukan menghalangnya. Mungkin rakyat lari bertempiaran tetapi adalah amat mustahil undi mereka juga akan lari kepada Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata, majlis pada hari kejadian tersebut turut mengundang Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan amat menyedihkan apabila lebih 50 kali tembakan gas pemedih mata dilepaskan dan dua kali semburan air kimia water canon dihalakan kepada orang ramai.

“AIC mendesak agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis meluluskan permit-permit ceramah yang dimohon apatah lagi Malaysia di ambang demam pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang serta Batang Ai.

“AIC juga menyeru agar sesiapa sahaja yang ditahan pada insiden malam tersebut diberi layanan yang adil dan hak-hak asasi mereka tidak diketepikan,” katanya. Sinar Harian