PKFZ: Debat Ong Tee Keat dan Lim Kit Siang di Parlimen Isnin depan?

20 Jun, 2009 12:04 PM

Pertelagahan antara Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ong Tee Keat dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkaitan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), berkemungkinan besar melarat ke Parlimen, Isnin ini.

Dua ahli politik berkenaan, yang saling berbalas kecaman dan tuduhan melalui media dan ruang siber sejak beberapa minggu lepas, akan bertentang muka apabila Ong membentangkan kenyataan Menteri mengenai PKFZ pada hari berkenaan.

Lim telah membidas Ong di Parlimen dengan menuduh Menteri Pengangkutan itu gagal menghadirkan diri di Parlimen bagi menjawab soalan berkaitan skandal PKFZ, termasuk bagaimana kos asal pembangunan projek itu sebanyak RM2 bilion boleh melonjak kepada lebih RM12.5 bilion.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menuduh Ong melarikan diri daripada tanggungjawab memberi penjelasan mengenainya dan dengan sengaja mengatur perjalanan ke luar negara (Paris) bagi mengelak dihujani soalan di Parlimen.

Advertisements

Dr Chua Soi Lek Ketua Penyelaras BN bertaraf orang nombor dua

19 Mei, 2009 8:32 PM

Dewan Tertinggi BN semalam melantik Timbalan Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Ketua Penyelaras BN bagi merampas semula negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Ketika mengumumkan perkara itu, Pengerusi BN, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, ia merupakan jawatan baru yang diperkenalkan untuk memfokus terhadap negeri-negeri yang bukan diperintah oleh BN.

Sementara itu, Presiden MCA, Dato’ Seri Ong Tee Keat berkata, beliau pernah dua kali mencadangkan Chua dilantik memegang jawatan tersebut. Beliau bagaimanapun menafikan bahawa pelantikan itu bertujuan untuk meredakan rasa tidak puas hati Chua yang dilihat dipinggirkan oleh pucuk pimpinan parti.

Sebaliknya, Ong menyifatkan tanggapan bahawa Chua dipinggirkan sebagai satu spekulasi semata-mata.

Penulis berpendapat bahawa jawatan yang diberikan kepada Dr Chua hanya sebagai orang nombor dua sahaja. Ini adalah disebabkan bahawa Pengerusi BN bagi negeri Kedah disandang oleh Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, Pulau Pinang diterajui oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Perak diketuai oleh Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Selangor dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Kelantan Dato’ Mustapa Mohamed.

Jadi, apa fungsi sebenar Ketua Penyelaras BN bagi tiap-tiap satu negeri tersebut? Adakah beliau bertindak sebagai panglima perang manakala Pengerusi BN negeri hanya bertindak sebagai ketua yang mengarahkan orang lain bekerja?

Jika Dr Chua berjaya menawan kembali negeri-negeri tersebut, beliau akan dipuji tetapi jika beliau gagal menjalankan tanggungjawab, mungkin ada hukuman yang bakal menanti.

Beliau dijangka tidak mampu untuk mengembalikan semula negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan rakyat kepada BN. Adakah ahli-ahli MCA atau BN yang sudi memberi pertolongan kepada beliau nanti? Beliau akan melalui jalan yang penuh liku dalam melaksanakan misinya.

Mungkinkah ini salah satu cara untuk menyingkirkan beliau daripada parti dan juga kerajaan? Sejak akhir-akhir ini, beliau telah meluahkan rasa bahawa DUN Perak perlu dibubarkan. Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Dato’ Husam Musa yang dilihat telah membelakangkan kepentingan parti MCA dan BN.

Jika semua perkara tidak lagi berpihak kepada dirinya, ke manakah hala tuju perjuangan beliau dalam arena politik nanti? Mungkinkah beliau akan menyertai salah satu parti gabungan di dalam Pakatan Rakyat? Hanya beliau sahaja yang mempunyai jawapannya.


Asalnya nak kuatkuasakan, kemudian tangguhkan pula?

13 Januari, 2009 7:55 PM
penggunaan tali pinggang keledar dalam bas ekspres

penggunaan tali pinggang keledar dalam bas ekspres

Syarat mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang belakang kenderaan persendirian yang berkuat kuasa 1 Januari lalu tidak akan diperluaskan kepada kenderaan pengangkutan awam buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Katanya, masih terlalu awal untuk melaksanakan peraturan itu bagi kenderaan pengangkutan awam, tambahan pula beliau tidak mahu membuat pengumuman secara tergesa-gesa.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan memfokus kepada pelaksanaan membabitkan kenderaan persendirian dan pada masa sama melakukan kajian susulan keberkesanannya.

Pada pendapat aku, pihak kementerian jangan hanya fokus kepada isu ini sahaja semata-mata, tetapi perlu ambil berat juga kepada isu-isu seperti memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk. Juga masalah pemandu yang memandu secara berbahaya, memandu dengan laju, kesalahan melanggar lampu isyarat dan papan tanda serta pemandu yang tidak memiliki lesen memandu yang sah dan juga cukai jalan.

Diharapkan agar penguatkuasaan ini tidak dilakukan secara bermusim tetapi ianya perlu dipatuhi setiap masa oleh semua pemandu.