Taktik terdesak Muhyiddin raih sokongan rakyat Manek Urai

20 Jun, 2009 10:39 AM

Taktik terdesak raih sokongan rakyat

SHAH ALAM – PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’ sebagai taktik terdesak meraih sokongan rakyat selepas sedar peluang BN menang di Manek Urai, 14 Julai ini tipis.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu sedangkan BN sebelum ini pernah menghentam PAS menggunakan isu ‘undi PAS masuk syurga’ dalam kempen-kempen pilihan raya umum ke-11 lalu.

“Ini kenyataan terdesak, mungkin dia telah ‘mencium’ bahawa calonnya akan kalah teruk pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti, ini modal lama UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Muhyiddin semalam berkata, sama ada rakyat mengundi BN atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga kerana perkara yang menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Dalam pada itu, Salahuddin menyelar kenyataan Muhyiddin yang dilihat sengaja membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan dengan mengharapkan rundingan mengenainya dapat diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia adalah satu lagi gimik BN bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan hubungan parti dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Saya nak tegaskan, tidak ada apa-apa keputusan untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan ataupun apa yang disebut kerajaan perpaduan itu dan jauh sekali untuk menyertai UMNO. Ini keputusan Muktamar PAS baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sehingga Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi kembali dari luar negara. Sinar Harian

Advertisements

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak yakin BN boleh menang 3 PRK

1 April, 2009 9:07 PM
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mula tidak yakin boleh memenangi pilihanraya di Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Batang Ai apabila meminta rakyat tidak menjadikan pilihan raya kecil ini sebagai suatu ‘pungutan suara’ penerimaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Ini menunjukkan bahawa peluang mereka sudah tidak ada di ketiga-tiga pilihanraya tersebut” kata Dato’ Mahfuz Omar.

“Dia tidak mahu keputusan ini menjadi sebagai suatu referendum rakyat bagi membuktikan penerimaan rakyat kepada kepimpinan baru UMNO kerana mereka menjangkakan akan kalah dalam pilihanraya kecil kali ini.” kata beliau.

Menurut Dato’ Mahfuz, ini merupakan suatu pengakuan yang ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sudah tahu mereka tidak boleh diterima oleh rakyat. “Kami mengucapkan terima kasih atas pengakuan ini” sinis beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu, mempersoalkan mengapa medan pilihanraya ini tidak boleh dijadikan referendum sedangkan inilah medan ujian kepada kepimpinan baru UMNO di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Kalau orang di sini (Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Batang Ai) sudah tidak boleh terima, menunjukkan rakyat sudah tidak yakin dengan kepimpinan Najib” kata beliau.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kepada Bernama bahawa ini bukan pungutan suara kepada kepimpinan Najib melainkan hanya pilihan raya kecil.


UMNO rampas hak rakyat: Nizar

2 Mac, 2009 5:37 PM

Lebih 15,000 orang berkumpul untuk mendengar ceramah perdana yang disampaikan oleh bekas Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang diadakan di Perkarangan Pejabat PAS Kawasan Pokok Sena pada malam terakhir Ekspo Pertanian dan Produk Halal di sini, kelmarin.

Sambutan daripada masyarakat berbilang kaum itu dianggap sebagai isyarat yang jelas bahawa Ir Nizar merupakan MB yang sah dan mewakili rakyat Perak bukan dakwaan kosong Pakatan Rakyat.

Semasa menyampaikan ucapan Nizar banyak menyentuh isu-isu semasa yang berlaku di Perak serta kerakusan UMNO merampas Perak tanpa mengira dengan apa cara sekalipun.

“Apa yang dilakukan Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu kekejaman merampas hak rakyat dengan mengetepikan undang-undang perlembagaan dan merampas amanah rakyat dalam pilihan raya lalu yang diberikan kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Dalam setiap perlawanan termasuk perlawanan dalam politik, kalah atau menang adalah perkara biasa, namun apa yang berlaku di Perak strategi digunakan BN adalah secara kotor dan tidak adil di sisi undang-undang negara,” katanya.

Nizar berkata, selama 51 tahun UMNO memerintah negara, mereka melakukan satu pembohongan besar terhadap rakyat.

“Sebanyak 12 kali pilihan raya mereka tidak pernah kalah di negeri Perak namun pada pilihan raya umum lalu mereka tumpas, tetapi selama 10 bulan PAS menerajui Perak mereka (UMNO) membuat pelbagai kekecewaan untuk merampas semula kuasa mentadbir negeri.

“Saya mencabar kerajaan yang ditubuhkan di Perak secara haram sekarang agar mengadakan pilihan raya dan biar rakyat yang memilih siapa yang harus menerajui Perak sekali gus dapat memuaskan hati setiap pihak dan adil buat rakyat,” katanya.

Turut sama menyampaikan ucapan dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar, Timbalan Presiden PAS dan Dato’ Husam Musa.

Ceramah tersebut mendapat kerjasama yang baik daripada peniaga dan orang ramai serta pegawai keselamatan yang dihantar untuk membantu kesesakan lalu lintas.

Sumber berita : Sinar Harian


P059 Bukit Gantang: suara rakyat bakal diterjemahkan dalam peti undi?

9 Februari, 2009 3:02 PM

Ahli Parlimen PAS yang mewakili kerusi P059 Bukit Gantang, di negeri Perak iaitu Roslan Shaharum, meninggal dunia hari ini. Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaffar dan Ketua Penerangan PAS, Dato’ Mahfuz Omar.

Allahyarham diserang sakit jantung ketika sedang berbasikal dekat rumahnya di Changkat Larang, Batu Gajah pagi tadi. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Safiah Harun bersama 10 orang anak.

Berikutan kematian Allahyarham, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan mengumumkan satu pilihan raya kecil bagi kawasan P059 tersebut dalam tempoh 60 hari. P059 Bukit Gantang mempunyai 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N13 Kuala Sepetang, N14 Changkat Jering dan N15 Trong.

Dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarham Roslan mengalahkan Bendahari Umno, Dato’ Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi. Allahyarham Roslan mendapat 20,015 undi manakala Abdul Azim menerima 18,449 undi. Manakala calon Bebas, M Morgan mendapat 872 undi. Bukit Gantang merupakan kerusi Parlimen majoriti Melayu, dengan 27 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India.

Nampaknya keadaan politik di negeri Perak semakin menarik untuk diikuti. Selain daripada isu siapa kerajaan sebenar yang berkuasa di negeri tersebut, berita pilihan raya kecil P059 bakal menyaksikan suara rakyat sekali lagi akan diterjemahkan dalam peti undi tidak lama lagi. Adakah kemarahan rakyat Perak sama ada yang menyokong pimpinan Pakatan Rakyat ataupun BN akan reda berikutan kemelut politik di sana? Sama-sama kita tunggu, lihat dan nantikan bersama-sama.