Mahkamah Rayuan tangguh keputusan Mahkamah Tinggi

12 Mei, 2009 8:53 PM
Dato' Hafarizam Harun

Dato' Hafarizam Harun

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Menurut laporan penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam UMNO, Dato’ Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat Menteri Besar untuk membolehkan Zambry kembali bertugas, demikian lapor Malaysiakini.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi Menteri Besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Dato’ Cecil Abraham berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat. Harakahdaily.net


Mahkamah Rayuan bersidang serta merta sebaik permohonan difailkan

12 Mei, 2009 7:34 PM
Dato' Cecil Abraham

Dato' Cecil Abraham

Sebaik sahaja difailkan permohonan, Mahkamah Rayuan terus bersidang jam 11.45 pagi untuk mendengar rayuan dari Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Panel tiga hakim yang diketuai Dato’ Ramly Mohd Ali telah bersidang di Istana Keadilan dekat sini.

Selain membuat rayuan, peguam Zambry juga membuat permohonan agar pelaksanaan keputusan hakim Mahkamah Tinggi semalam ditangguhkan.

Zambry diwakili Dato’ Cecil Abraham dan Sunil Abraham. Turut hadir adalah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Hamzah.

Peguam UMNO, Dato’ Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut hadir.

Peguam Nizar, Haji Sulaiman Abdullah, Ranjit Singh dan Edmund Bon tiba jam 11 pagi tadi.

Turut hadir ke mahkamah adalah dua ADUN Bebas pro BN iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang). SIASAH