Undi BN Boleh Masuk Syurga Juga – Muhyiddin

19 Jun, 2009 8:08 PM

KUALA KRAI, 19 Jun (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) atau pun PAS, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam di negara masuk syurga.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan PAS adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

“Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan (PAS) di bawah pimpinan (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, di sini Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Muhyiddin berkata PAS tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan negara termasuk merancang secara rapi aspek berkenaan.

Beliau berkata justeru penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu memikirkan secara rasional terhadap kebolehan parti mana yang harus dipilih untuk membaiki taraf kehidupan mereka dan membangunkan kawasannya.

“Saya berpendapat kita perlu fikirkan secara rasional dan fikirkan soal masa depan,” katanya.

Menurutnya BN mampu membangunkan negara dan memacu negara ke arah masa depan yang lebih baik untuk rakyat.

Advertisements

Allahyarham Sudirman Haji Arshad dapat gelaran Dato’

18 Jun, 2009 7:20 PM

Selepas 17 tahun kepulangan beliau ke rahmatullah pada 22.02.1992, hari ini penyanyi yang diminati jutaan rakyat Malaysia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lepas.

Anugerah yang disampaikan oleh Sultan Ahmad Shah dalam satu istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini diterima oleh kakak sulung penyanyi itu, Datin Rodziah Arshad. Allahyarham Sudirman, anak kelahiran Temerloh, meninggal dunia pada pada usia 37 tahun.

Sudirman Haji Arshad merupakan penyanyi pertama Malaysia memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia dalam pertandingan Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London pada 19 Mac 1989.

Sudirman telah mengalahkan lapan orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Filipina, China dan Singapura. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan 2 buah lagu Inggeris One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya. Kejayaan beliau telah diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan turut mendapat liputan meluas dari berbagai media di negara ini.

Antara Anugerah-Anugerah yang di perolehinya adalah:
1. Juara Bintang RTM 1976
2. Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1978
3. “Malaysia’s Singing Ambassador” 1985 melalui lagu berjudul To Know Malaysia Is To Love Malaysia
4. Persembahan Terbaik Juara Lagu TV3 1987 melalui lagu Merisik Khabar
5. Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989
6. Asia’s Number One Performer 1989
7. Guinness Awards
8. Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988
9. Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990
10. Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992
11. No. 1 Malaysian singers oleh New Straits Times pada tahun 1993
12. Anugerah khas di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993

Kejayaannya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seharusnya diberi pengiktirafan lebih awal daripada Siti Nurhaliza. Hanya selepas 17 tahun pemergiannya, baru kini jasa-jasa Allahyarham dihargai dan dikenang.

Sudirman Haji Arshad, satu nama besar dalam industri hiburan Malaysia. Meskipun pada saat ini beliau telah tiada lagi untuk terus mewarnai dunia seni suara tanah air dengan pencapaian-pencapaian gemilangnya, bakat istimewa yang dimilikinya akan terus segar di ingatan kita semua. Al-Fatihah.


Dato’ Bung Moktar menghina Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar

17 Jun, 2009 10:00 AM

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Dato’ Bung Moktar Radin berkata, Nizar bertindak sebagai Hang Tuah apabila mengenakan lilitan dan melaungkan slogan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Nasib baik beliau tak bawa keris ke dalam Dewan, jika tidak beliau pun sudah tentu hunus keris, nasib baik beliau tidak bawa pistol,” katanya.

“Beliau kata jurutera, apa punya jurutera… beliau kena menjuruterakan diri beliau dulu,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen BN dari Kinabatangan itu, “Ini Dewan Rakyat, bukan Dewan Undangan Negeri Perak, yang boleh bersidang di bawah pokok.”

Itu adalah di antara kata-kata sinis yang diucapkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan pada Isnin lalu, 15.06.2009. Namun, kata-kata yang diluahkan oleh beliau tidak menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan beliau sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman.

Tidak mungkin ada Ahli Parlimen yang boleh membawa masuk senjata atau senjata api ke dalam sidang Dewan Rakyat. Bung Moktar juga seakan menyindir kelulusan akademik Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru mengangkat sumpah itu. Adakah beliau berasa cemburu dengan jawatan Nizar sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke-10?

Bung Moktar jangan lupa, angkara siapa yang menyebabkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) Perak bersidang di bawah pokok pada 03.03.2009 yang lalu? Kerajaan BN dengan bantuan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, polis dan FRUlah yang telah menghalang ADUN-ADUN PR Perak daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghadiri sidang DUN.

Kepada Bung Moktar, lain kali cakap tu biarlah beralas dan logik, jangan suka nak merapu sahaja sehingga menampakkan sifat kebudak-budakan dalam diri seorang wakil rakyat dan juga pemimpin. Orang bandar berasa malu dengan sikap dan tingkah laku anda sebagai seorang Yang Berhormat.


Tindakan Dato’ Seri Nizar dianggap putus wayar?

16 Jun, 2009 6:16 PM

Tindakan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin melaungkan perkataan hidup rakyat, bubar DUN dan memakai lilitan bubar DUN di kepala selepas mengangkat sumpah jawatan Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam sidang Parlimen pada 15.06.2009 disifatkan sebagai perkara yang amat memalukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Di dalam siaran Berita @ Bernama TV jam 8 malam 15.06.2009, Nazri juga mengatakan bahawa kelakuan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar merupakan tindakan putus wayar atau kurang waras. Nazri juga menambah, apabila perkara gila berlaku macam pagi tadi (semalam), Speaker boleh membuat keputusan berdasarkan pemerhatian beliau apa yang terjadi di dalam sidang Dewan Rakyat.

Namun, wajarkah kenyataan seperti itu diucapkan oleh seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen kepada seorang Ahli Parlimen baru daripada Pakatan Rakyat?

Tetapi, jika perbuatan mengucapkan perkataan seksis yang pernah dilontarkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Bung Moktar Radin mengapa tindakan seperti itu tidak dilabelkan sebagai amat memalukan dan putus wayar juga?

Jelas di sini, ia menggambarkan pendirian kerajaan BN yang takut dengan desakan, kritikan dan permintaan daripada sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan fahaman politik mereka.


Komen Nizar setelah digantung selama 2 hari menghadiri sidang Parlimen

16 Jun, 2009 4:02 PM

Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan bahawa tiada sebab bagi Speaker Dewan Rakyat untuk menggantung beliau dan enam Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain mulai semalam.

Beberapa orang Ahli Parlimen pernah mengenakan lilitan putih bagi membantah penggunaan ISA pada tahun 2001 terhadap pemimpin pembangkang.

“Saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan telah mendapatkan kebenaran Speaker untuk mengatakan sesuatu di Parlimen.”

“Beliau meminta saya menanggalkan lilitan dan saya telah melakukan. Kemudian saya duduk di tempat saya dan tidak sampai 10 saat, beliau mengarahkan saya keluar Dewan,” katanya.

Nizar menambah, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk menyoal penggantungannya apabila kembali ke Dewan Rakyat pada hari esok.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyokong kempen memakai lilitan “BUBAR DUN”.

PAS melancarkan kempen itu pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 minggu lalu.

“Apa yang dilakukan oleh Nizar semalam menunjukkan manifestasi beliau tentang perkara yang berlaku di Perak. Beliau cuba nak sampaikan perkara itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


Pemuda PAS Perak lancar baju hitam setiap Sabtu

5 Jun, 2009 9:08 PM

Pemuda PAS Perak melancarkan kempen berbaju hitam setiap hari Sabtu bagi mendesak UMNO/BN Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dengan segera. Desakan ini kerana tindakan jahat BN merampas pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Perak awal Februari lalu.

Jurucakapnya, Salman Saleh berkata hanya pilihanraya negeri mampu menyelesaikan krisis politik di Perak hari ini.

Perwakilan pemuda Perak hari ini berpakaian berwarna hitam dengan lilitan bubar DUN sebagai tanda bantahan kepada tindakan zalim kerajaan haram Barisan Nasional tersebut.

Salman Saleh yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Perak berkata Pemuda PAS Perak telah mengutuskan satu surat kepada Pemuda UMNO supaya pertemuan dapat diadakan segera bagi menyelesaikan krisis ini.

Salman menegaskan, Pemuda UMNO mesti menunjukkan keikhlasan mereka bagi mengutamakan kebajikan rakyat dalam isu ini. TVAntara


Tuduhan PAS boneka DAP tidak berasas – Misbahul

5 Jun, 2009 8:20 PM

Fitnah UMNO yang mengatakan PAS adalah boneka DAP adalah tidak berasas kerana dalam tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak, DAP banyak memberikan kerjasama.

Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, DAP banyak memberikan kerjasama dalam sebarang keputusan terutama yang melibatkan orang Melayu, jadi tidak timbul masalah di mana PAS adalah boneka kepada DAP.

Menurutnya, semua dasar ketika PR memerintah negeri Perak, dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat yang diwakili PAS, DAP dan PKR, setelah itu barulah dibawa ke mesyuarat Exco.

“Pada pilihan raya ke-12, DAP menentang MCA, MIC dan PPP manakala PAS dan PKR menentang UMNO.

“Fitnah itu sama sekali tidak tepat kerana PR mengutamakan keputusan melalui perbincangan bersama dan tiada unsur siapa jadi boneka atau tidak,” katanya.

Misbahul berkata demikian dalam siri ceramah di Kampung Changkat Legong, Kota Baharu, Perak.

Pada program berkenaaan, Misbahul turut menyerahkan sebanyak 80 sijil keahlian PAS kepada Setiausaha PAS Cawangan Changkat Legong, Hamidin Tajul Mahmud.

“Ini menunjukkan rakyat masih menaruh kepercayaan kepada PR untuk memerintah Perak,” katanya.

Misbahul berkata, rakyat mesti diberikan maklumat jelas mengenai PAS, agar mereka faham dasar perjuangan PAS yang berjuang atas dasar Islam.

“Rakyat mesti diberikan maklumat yang tepat mengenai dasar perjuangan PAS, agar mereka faham bahawa PAS berjuang dalam menegakkan kalimah Tauhid,” katanya.

Sementara itu, YDP PAS Kawasan Tapah, Abdul Rahim Nordin berkata, PR mendapat sokongan padu daripada semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India.

Menurutnya, PAS membawa dasar Islam yang menjadikannya tempat di hati rakyat dan PAS tidak putus menerima sokongan daripada rakyat Perak. Sinar Harian