Skim ‘cepat kaya’ mengakibatkan kesan negatif terhadap kakitangan awam memandangkan lebih 50,000 kakitangan kerajaan dipercayai terbabit dalam menganjurkan kegiatan yang mencurigakan itu.
Apa yang lebih membimbangkan ialah ramai pegawai kanan dan ketua jabatan yang menggalakkan kakitangan bawahan mereka untuk menyertai skim seperti itu yang menjanjikan pulangan segera dan berganda bagi sejumlah pelaburan yang kecil.
Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zin memberitahu, kongres itu amat prihatin dengan perkembangan itu kerana ia menghakis keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan awam.
Beliau berkata, masalah itu begitu serius hinggakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling khas yang melarang kakitangan awam daripada menyertai skim sedemikian.
Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009, yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, dan berkuat kuasa pada 13 Januari, melarang kakitangan awam semua peringkat daripada membabitkan diri dalam skim itu sama ada sebagai penganjur, pengantara atau pelabur.
Keputusan yang dibuat adalah tepat. Selain daripada penjawat awam perlu fokus kepada tugas yang diamanahkan, mereka juga perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan skim seperti ini yang bukan sahaja boleh merugikan diri sendiri tetapi ia juga menyebabkan orang lain yang turut serta mengalami kerugian jika satu-satu skim itu diharamkan oleh kerajaan.