Hadiah Tokoh Maal Hijrah 1431 meningkat sehingga RM1 juta!

Hijrah

Lumayan! Mulai tahun ini, Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan dijangka menerima anugerah wang tunai RM1 juta sejajar usaha kerajaan mengangkat martabat golongan ulama yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah sejagat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun hadiah bukan kriteria utama untuk menghargai ulama, meletakkan golongan itu lebih rendah berbanding penyanyi adalah tidak wajar.

Katanya, sebagai golongan pewaris Nabi, ulama yang diberikan penghargaan harus diletak pada tempat sewajarnya kerana sumbangan golongan itu jauh lebih besar berbanding penyanyi walaupun penyanyi sering menjadi idola masyarakat.

Tokoh Maal Hijrah 1430H/2008M menerima hadiah wang tunai RM100,000 daripada kerajaan, manakala RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi serta hadiah iringan.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah tidak dianugerahkan sejak sambutan Maal Hijrah 1427H/2006 sebaliknya digantikan Anugerah Penghargaan Maal Hijrah. Jumlah bagi Anugerah Penghargaan Maal Hijrah dinaikkan daripada RM10,000 pada sambutan Maal Hijrah 1427H kepada RM30,000, tiga tahun lalu.

Sebelum itu, Tokoh Maal Hijrah 1426H/2005 menerima wang tunai RM30,000 sumbangan kerajaan dan RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi serta pingat, sijil dan plak.

Alhamdulillah, ini merupakan satu usaha yang baik. Ia menunjukkan bahawa sudah ada pihak-pihak tertentu yang mengakui sumbangan yang telah dilakukan oleh individu yang memperjuang dan menegakkan syiar Islam di Malaysia mahupun peringkat dunia. Hadiah wang tunai yang besar memang tidak sama nilainya atau setanding dengan keringat dan buah fikiran yang dicurahkan oleh golongan ini untuk memartabatkan Islam di mata masyarakat.

Tinggalkan komen