Mulai tahun ini, setiap pasangan beragama Islam yang berhasrat untuk berkahwin disyaratkan agar menjalani ujian saringan HIV. Di antara 2 buah negeri yang aku tahu telah mewajibkan ujian tersebut ialah Johor dan Selangor. Aku menyokong dan membantah ujian ini dilaksanakan. Aku menyokong kerana ujian ini dapat mengesan penyakit yang dihadapi oleh seseorang sebelum mereka mendirikan rumahtangga.
Dalam masa yang sama, aku juga menentang usaha ini kerana beranggapan bahawa ujian ini bukanlah jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah penyakit AIDS yang semakin meningkat di negara ini. Selepas berkahwin, belum pasti seseorang itu tidak terlibat atau tidak mengamalkan cara hidup yang tidak sihat seperti berkongsi jarum suntikan bagi penagih dadah, melakukan seks secara rambang dengan pasangan yang berlainan atau menerima pemindahan darah yang dicemari dengan virus HIV.
Oleh yang demikian, matlamat untuk mengurangkan jangkitan penyakit berbahaya ini tidak tercapai kerana pihak berwajib perlu mengatur langkah susulan yang lebih efektif untuk mencegahnya.